KEMERDEKAAN serta kebebasan yang dikecapi kita hari ini mungkin dihargai dan difahami dengan sebenar-sebenarnya oleh sebilangan kecil rakyat negara ini, khususnya mereka yang melalui zaman pra merdeka, merdeka dan sesudah kemerdekaan. Mereka inilah yang tahu menilai erti kesengsaraan, perjuangan dan kenikmatan melayari kehidupan di bumi bertuah ini.
Keupayaan itu juga membolehkan mereka membuat perbandingan antara kenikmatan yang dikecapi rakyat negara ini dengan penderitaan ditanggung oleh rakyat negara yang dijajah, dicengkam kuasa asing atau negara dilanda peperangan.
Kemerdekaan bagi mereka amat bermakna dan berharga, tiada tolok bandingnya dengan segala nikmat di dunia ini.
Bagi sesebuah negara, hanya melalui kemerdekaan sajalah ia dapat merancang pembangunan rakyat dan menentukan agenda masa depan bagi memastikan kemajuan dapat dicapai.
Peranan dan tanggungjawab berat itu tersandar di bahu pemimpin untuk memimpin rakyat pelbagai lapisan dan memastikan mereka memahami matlamat yang mahu dicapai. Bagi rakyat pula, kepemimpinan pemimpin yang dipilih perlu diberikan sokongan dengan apa juga cara sama ada sokongan dalam bentuk khidmat bakti mahupun pandangan serta kritikan bernas demi kebaikan nusa bangsa.
Kemerdekaan sangat dituntut Islam. Kerana itu Islam mewajibkan peperangan bagi mempertahankan diri (termasuk negara).
Bahkan, rancangan dan tindakan Rasulullah dalam membentuk negara Madinah juga menunjukkan bahawa kemerdekaan menjadi wadah utama untuk menegakkan negara yang berdaulat, aman serta makmur.
Tradisi ini diteruskan oleh sahabat Baginda yang membuktikan bahawa dengan kemerdekaan, Islam berjaya meluaskan pengaruh dan menambah bilangan penganutnya.
Keimanan perlu diletak sebagai asas utama dalam kita mengisi kemerdekaan di samping sikap bekerjasama, saling mengasihi, bersatu padu, sanggup berkorban harta dan nyawa demi negara.
Pendek kata, setiap rakyat perlu memiliki keimanan serta ketakwaan dan keperibadian serta akhlak yang mulia kerana kemerdekaan yang dimiliki sudah tentu tiada nilainya jika rakyat tidak tahu menghargainya.
Jika masa yang ada dibazirkan begitu saja dan peluang yang diberikan dibiarkan tanpa dimanfaatkan, negara akan berada di ambang kehancuran.
Al-Quran mengingatkan kita bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya.
Peringatan al-Quran itu sebenarnya amat bertepatan dengan realiti kehidupan kita, sama ada pada peringkat individu, keluarga mahupun negara.
Seseorang yang miskin dan daif akan terus miskin dan hidup melarat sekiranya ia tidak mahu berusaha sendiri meningkatkan taraf hidupnya, begitu juga dengan keluarga yang tidak terurus dan longgar ikatan ahlinya.
Pada peringkat negara, hanya pemimpin bertanggungjawab dan dedikasi serta rakyat yang mahu berusaha dengan gigih untuk memantapkan negara daripada semua aspek saja akan dapat melihat negara maju dan disegani negara lain.
Menyentuh mengenai urusan pemerintahan negara, Rasulullah pernah mengingatkan, “Akan wujud kemudian nanti pemerintah yang menjalankan tugas dengan penuh pengetahuan dan melakukan apa-apa yang ditugaskan. Akan tetapi, akan wujud juga nanti pemerintah yang menjalankan tugas tanpa pengetahuan dan membuat apa-apa yang tidak ditugaskan. Sesiapa yang membetulkan pemerintah sedemikian, ia telah menjalankan tugasnya dan sesiapa yang menyekat pemerintah sedemikian, ia akan selamat.” (Hadis riwayat Abu Ya`la)
Manusia atau rakyat adalah khazanah negara paling berharga seperti yang dikatakan Dr Yusuf al-Qardawi, “Sebaik-baik anugerah daripada manusia ialah zaman muda atau belianya. Ini kerana, zaman belia ialah zaman produktif, zaman membangun dan membina.”
Masa depan sesebuah negara bukan saja dirujuk kepada kekuatan ekonomi, politik dan sosial, lebih utama ialah semangat, kekuatan dan kesedaran belia negara.
Belia Muslim zaman silam meninggalkan kisah perjuangan yang menakjubkan untuk dihayati dan diteladani oleh generasi belia hari ini.
Sebagai contoh, Muhammad ibn al-Qasim dan Muhammad al-Fatih yang berkali-kali memohon kebenaran sepupunya, al-Hajjaj al-Thaqafi untuk menyertai tentera Islam membuka Benua Kecil India.
Akhirnya, permohonan itu diterima dan beliau ditugaskan memimpin tentera Islam bagi menawan negeri yang beliau sendiri tidak mempunyai maklumat mengenainya pada usia menjangkau 17 tahun.
Dalam perjuangan itu, Muhammad ibn al-Qasim akhirnya menawan Benua Kecil India malah, merintis jalan kepada umat Islam dengan menawan sebahagian kecil wilayah India. Islam tersebar di seluruh India secara tidak langsung kemudiannya melalui pedagang dan orang awam Islam yang menyebarkan agama suci itu ke seluruh Benua India.
Muhammad al-Fatih atau nama sebenarnya Muhammad ibn Murad pula seorang belia berbangsa Turki berjiwa besar yang menemui hadis Rasulullah, diriwayatkan al-Hakim yang menjanjikan bahawa pada suatu ketika, Istanbul akan ditawan oleh Islam.
Menurut hadis itu lagi, sebaik-baik gabenor ialah gabenor yang mentadbirnya dan sebaik-baik tentera pula ialah tentera yang berjihad untuk menakluki Istanbul.
Muhammad al-Fatih bercita-cita untuk menjadi orang pertama yang merealisasikan janji-janji Rasulullah dan pada usia lewat dua puluh tahun, Muhammad mula merancang untuk menawan Istanbul.
Niat yang tulus dan murni itu akhirnya termakbul dengan kejayaan yang diraihnya pada 20 Jamadilawal 857 Hijrah bersamaan 29 Mei 1453 Masihi.
Perjuangan menuntut kemerdekaan dan menegakkan kedaulatan negara adalah jihad atau perjuangan yang mulia, tetapi jihad menentang nafsu dianggap semulia-mulia jihad.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, kemenangan yang paling besar dan kemerdekaan yang hakiki ialah bebas daripada belenggu nafsu.
Hadis itu secara tidak langsung memberikan cabaran kepada umat Islam hari ini untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baik kekuatan dan keteguhan jiwa kerana cabaran yang dihadapi mereka tidaklah sepadan dengan keupayaan diri.
Jelaslah bagi kita bahawa hanya berbekalkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, kita mampu mengatasi cabaran dan selain kemerdekaan fizikal, kita perlu merdeka mental dan rohani.
Jiwa kita perlu bebas daripada belenggu nafsu yang sentiasa mendorong kita melakukan kemungkaran dan dosa yang mengundang kemurkaan Allah.
Inilah bentuk kemerdekaan yang lebih utama dan paling penting dalam hidup seorang hamba kerana dengan jiwa merdeka, seseorang insan akan berjaya dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan diri serta negaranya daripada manusia lain.
Sebagaimana dijelaskan hadis diriwayatkan oleh Muslim, “Kesucian itu ialah sebahagian daripada iman. Alhamdulillah memenuhi segala ruang dan Subhanallah memenuhi apa-apa yang ada di antara langit dengan bumi. Doa itu ialah cahaya, bersedekah itu ialah bukti, kesabaran itu ialah sinaran dan al-Quran itu ialah apa yang memihak atau menentang (perbuatan) kamu. Setiap orang memulakan harinya dan menjadi pemiliknya, iaitu sama ada ia hendak membebaskan (jiwanya) atau menghancurkannya.”
Mudah-mudahan kita menemui jalan untuk mencapai kemenangan dalam perjuangan yang penuh cabaran ini.