Dari sudut perundangan, kemerdekaan negara yang telah kita capai 65 tahun yang lalu merupakan hasil 1001 pengorbanan orang terdahulu. Satu kebebasan yang bukan sekadar menuntut pengorbanan dari aspek material, tenaga dan masa, bahkan proses kemerdekaan untuk sebuah negara tercinta menuntut idea yang bukan calang-calang bentuknya serta pemikiran berstrategi tinggi.
Tidak sedikit keringat dan darah para pahlawan yang mengalir; tidak sedikit juga air mata yang gugur dalam bersedianya mereka menggadaikan nyawa demi kebebasan ibu pertiwi, sesuai dengan peribahasa ibunda, “Biar putih tulang, jangan putih mata.”
Nikmat kemerdekaan hasil penat lelah para pejuang, pemimpin negara terdahulu serta nenek moyang kita diraikan setiap tahun bertujuan untuk menginsafi bahawa sebelum nikmat itu dapat dikecapi, rakyat tidak diberikan hak untuk membina negara mengikut acuan sendiri. Hal ini juga memberi makna bahawa tanpa kemerdekaan negara, kita tidak mungkin mempunyai kebebasan dalam menentukan hala tuju negara sendiri.
Walaupun demikian, adakah ulang tahun kemerdekaan yang saban tahun disambut itu mampu dihayati oleh setiap warganegara tanah air ini? Sementelah tercapainya kemerdekaan itu sudah pun menghampiri tujuh dasawarsa menjadikan sesuatu yang lumrah untuk mana-mana generasi manusia yang beransur-ansur melupakan jerih-perih pengorbanan dan pengalaman getir generasi sebelumnya. Apatah lagi, tidak dapat dinafikan pada zaman milenium ini, kita berhadapan dengan cabaran-cabaran besar dan hebat. Sedangkan, pada masa yang sama penghayatan tentang kemerdekaan ialah sesuatu yang perlu kekal supaya bangsa kita akan terus memiliki jiwa dan minda yang merdeka.
Inilah konflik yang perlu kita fikirkan secara bersama agar berapa lama pun tahun kemerdekaan itu jauh meninggalkan kita, momentum penghayatan kemerdekaan itu mampu dikekalkan.
Makna jiwa dan minda yang merdeka tidak sekadar lepas bebas daripada belenggu penjajahan secara fizikal, tetapi masyarakat perlu memiliki pemikiran yang mandiri dan bertunjangkan suatu prinsip yang teguh dan bersumberkan wahyu ilahi. Sekiranya penghijrahan Baginda Rasulullah SAW dari kota suci Mekah ke kota Madinah itu dititipkan ibrahnya sesuai dengan zaman milenium dalam konteks kemerdekaan, maka kemerdekaan itu ialah pencapaian mengawal hawa nafsu dengan kekuatan pemikiran yang rasional.
Namun, kekuatan pemikiran yang rasional itu harus dipandukan dengan iman yang teguh sehingga seseorang itu memiliki rasa penghambaan untuk menjalani kehidupan menurut apa yang telah disyariatkan oleh agama, sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud, “Dan ingatlah! Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
Pemahaman terhadap firman Allah SWT seperti inilah meneguhkan akidah dan keimanan seorang hamba sebagai khalifah yang peranannya menguruskan muka bumi ini. Hasilnya, jiwa dan minda yang benar-benar merdeka akan bersungguh melindungi diri, masyarakat dan tanah air daripada sebarang ancaman sama ada secara terang-terangan ataupun sebaliknya; akan mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan Undang-undang; akan sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang baik; dan yang paling utama adalah terus memastikan negara ini memiliki kedaulatan.
Sebagaimana yang penulis nyatakan pada bahagian awal bahawa tanpa kemerdekaan, mana mungkin sesebuah bangsa itu mampu membangunkan peradabannya yang tersendiri. Maka, kemerdekaan itu merupakan asas kepada peradaban sesebuah bangsa atau negara.
Menyentuh tentang peradaban, Malek Bennabi sebagai seorang sarjana Islam telah menyebutkan bahawa konsep peradaban diasaskan kepada moral dan material. Menariknya, beliau menambah bahawa permasalahan atau isu kemanusiaan tidak akan mampu diselesaikan hanya melalui kemajuan sains. Pada beliau, pembangunan masyarakat Islam dan peradabannya mestilah ada gabungan ilmu dan jiwa; akhlak dan seni; serta alam tabii dan metafizik.
Begitu juga yang disebut oleh sarjana Islam bernama Syed Qutb bahawa masyarakat berperadaban dinilai oleh beberapa aspek termasuklah dari sudut akidah, sistem nilai, tingkah laku, hubungan dan aturan sosialnya. Sebaliknya, hal itu bukan diukur semata-mata dari aspek kemajuan kebendaan dan kemudahan dalam kehidupan. Menariknya, ujar Syed Qutb lagi, di mana-mana wujudnya sesuatu kemajuan, di situ juga terdapatnya sifat jahiliah.
Walaupun kedua-dua sarjana ini, Malek Bennabi dan Syed Qutb, telah lama meninggalkan kita tetapi pandangan mereka masih relevan dengan kehidupan hari ini. Kemajuan sains dan teknologi tidak akan mampu menyelesaikan permasalahan manusia sekiranya prinsip keagamaan atau syariah tidak dijadikan teras dalam kehidupan bermasyarakat.
Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam surah al-Shu’ara’ ayat 128–132 yang bermaksud, “Patutkah kamu mendirikan di tempat-tempat yang tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya untuk tujuan yang baik. Dan kamu pula bersusah-payah mendirikan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak hidup kekal selama-lamanya? Dan apabila kamu memukul atau menyiksa, kamu lakukan dengan kejam. Oleh itu takutlah kamu akan kemurkaan Allah, dan taatlah kepada-Ku. Dan bertakwalah kamu kepada Allah yang telah menolongmu dengan pemberian nikmat-nikmat-Nya yang kamu sedia mengetahuinya.”
Sebagai rumusan, penghayatan makna kemerdekaan perlu diisi dengan keimanan dan akidah yang kuat sehingga memberi kesan dari satu generasi ke satu generasi agar jiwa dan minda merdeka berkekalan sehingga akhirnya.