SETIAP insan mengimpikan kehidupan baik. Dalam konteks Islam, kehidupan yang baik adalah yang seimbang dengan wujudnya gabungan unsur kerohanian dan kebendaan dalam kegiatan harian seseorang.
Justeru, ia memerlukan perancangan menyeluruh untuk mencapai objektif itu. Antara yang perlu difikirkan adalah perancangan kewangan.
Kenyataan di atas mungkin agak janggal kerana untuk mencapai kehidupan baik di dunia dan akhirat, kita perlu juga memikirkan perancangan kewangan. Ironisnya, inilah yang ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani bermaksud: “Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.”
Berpandukan hadis itu, pada masa ini, selain kekuatan akidah, umat Islam memerlukan harta untuk membolehkannya mencapai objektif kehidupannya. Dengan kata mudah, kekuatan ekonomi baik pada peringkat mikro atau makro, turut memainkan peranan penting bagi membolehkan umat Islam mencapai apa yang dirujuk sebagai al-falah (kejayaan di dunia dan akhirat).
Hakikatnya, dengan jumlah umat Islam seramai 1.3 bilion atau 21.6 peratus penduduk dunia dan keluasan negara Islam mencakupi 32.2 juta kilometer persegi atau 24.2 peratus keluasan bumi yang didiami manusia pada 2002, umat Islam hanya menyumbang sebanyak 4.4 peratus atau AS$1.3 trilion (RM4.94 trilion) kepada pendapatan dunia.
Senario sama turut dialami Malaysia. Dengan penduduk Islam mewakili lebih 50 peratus penduduk negara, umat Islam (atau lebih tepat lagi kaum Bumiputera yang juga daripada etnik yang bukan beragama Islam) hanya berjaya menguasai 18.7 peratus ekuiti Malaysia. Ia berbanding 40.9 peratus penguasaan oleh bangsa Cina dan 26.9 peratus warga asing.
Untuk membangunkan kekuatan ekonomi pada peringkat makro, kita perlu mempunyai kesedaran dan pengetahuan mengenai mengurus atau merancang kewangan pada peringkat individu terlebih dulu.
Jika tidak, umat Islam menghadapi kesukaran mengurus kewangan pada peringkat organisasi atau negara.
Seiring perkembangan dan inovasi dalam sektor perbankan, urusan perancangan kewangan menjadi lebih senang dengan wujudnya perkhidmatan yang ditawarkan oleh penasihat perancang kewangan.
Dalam konteks ini, perancangan kewangan adalah perkhidmatan profesional yang ditawarkan kepada individu (keluarga atau perniagaan orang itu). Ia bagi membantunya menganalisis dan mengurus aset atau kekayaan yang dimiliki untuk mencapai objektif kewangan atau gaya hidup yang diinginkan.
Strategi kewangan yang bakal diusulkan kepada individu akan mengambil kira status kewangan semasa dan matlamat masa depannya. Antara matlamat mungkin ada di mindanya adalah membeli rumah, simpanan untuk pendidikan anak, perancangan untuk persaraan, modal memulakan perniagaan, pelaburan, perlindungan untuk nyawa dan harta benda.
Sebenarnya perkhidmatan perancangan kewangan adalah sesuatu yang baik untuk masyarakat. Ia bagi membolehkan mereka mendapat khidmat nasihat mengurus kewangan dengan lebih baik. Seterusnya, membantu mereka mencapai objektif kewangan yang diinginkan.
Bagaimanapun, sebagai umat Islam, kita perlu melihat konsep perancangan kewangan ini dari aspek yang lebih luas dan jauh lagi. Hal ini kerana kehidupan kita tidak terhenti setakat di dunia saja. Kita juga mempunyai kehidupan di akhirat.
Allah berfirman bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97).
Kehidupan yang baik (hayatan thoiyyibah) yang dimaksudkan dalam ayat di atas berpunca daripada amal salih yang lakukan. Ia pasti sesuatu yang sejajar dengan perintah syariah.
Oleh itu, dalam urusan perancangan kewangan ini, kepatuhan kepada syariah mesti diambil kira. Perkara ini kerana ia turut membabitkan soal halal haram wang atau harta kekayaan, yang akhirnya digunakan untuk tujuan mencapai al-falah tadi (seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani).
Di sini, kita melihat keperluan kepada kewujudan perancangan kewangan Islam yang menjadi alternatif kepada perkhidmatan yang sedia ada.
Konsep perancangan kewangan Islam diperkenalkan di Malaysiabeberapa tahun lalu, namun kesedaran kepentingannya di kalangan orang Islam di negara ini masih rendah.
Perkara itu dapat diperhatikan melalui pencapaian beberapa sektor atau bidang yang sering diberi perhatian oleh perancangan kewangan Islam seperti pelaburan, perlindungan takaful, zakat, tabungan dan kebajikan (sedekah dan wakaf).
Nilai aset bersih keseluruhan saham amanah syariah dalam industri saham amanah Malaysia untuk tahun 2004, misalnya, hanya berada pada 5.9 peratus atau sebanyak RM6.76 bilion berbanding RM80.63 bilion nilai aset bersih saham amanah konvensional.
Senario sama juga berlaku di sektor takaful. Nilai gabungan asset takaful keluarga dan takaful am bagi 2004, hanya RM5.5 bilion. Angka ini hanya mewakili 5.1 peratus nilai aset keseluruhan sektor insurans negara.
Begitu juga dengan jumlah pungutan zakat di seluruh negara. Jumlah pungutan meningkat dari setahun ke setahun, daripada RM311 juta pada 2002 kepada RM408 juta pada 2003, jika diukur kepada zakat perkapita (dengan mengambil kira jumlah penduduk Islam Malaysia, tanpa mengira umur dan jantina; dan tanpa mengambil kira sama ada mereka membayar zakat atau tidak) ia hanya berada pada tahap RM32.39 untuk 2003.
Jumlah itu agak kecil untuk seseorang, tambahan pula dalam suasana peningkatan harga barangan dan perkhidmatan dewasa ini.
Lain pula ceritanya dengan aspek perancangan kewangan untuk tujuan kebajikan. Dengan mengambil wakaf sebagai contoh. Majlis agama negeri-negeri mempunyai banyak tanah yang diwakafkan. Jika dilihat kepada laporan bahagian penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, pada 2002, negara mempunyai tanah wakaf seluas 20,735.61 ekar. Bagaimanapun, kebanyakan tanah wakaf ini tidak dibangunkan disebabkan beberapa masalah, antaranya kekurangan dana.
Semua contoh di atas secara tidak langsung menggambarkan suasana perancangan kewangan umat Islam yang tidak sistematik, yang akhirnya boleh menjurus kepada kemunduran ummah dalam pelbagai bidang.
Kisah Nabi Yusuf membuat perancangan untuk Mesir yang menghadapi suasana kegawatan ekonomi akibat kemarau panjang selama tujuh tahun patut diteladani dan dicontohi. Hal ini kerana al-Quran tidak akan menceritakan kisah ini hanya untuk bacaan semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu difahami dan dijadikan panduan supaya kita sentiasa bersedia dengan sesuatu perancangan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ia juga menghuraikan bahawa dengan perancangan yang baik dan pengurusan teratur, sesuatu sumber itu dapat dioptimumkan manfaatnya bagi perancangan masa depan.
Di samping itu, kita perlu sedar bahawa perancangan kewangan Islam tidak bermotifkan untuk mencapai kepuasan peribadi semata-mata seperti yang dilaungkan oleh golongan kapitalis. Begitu juga untuk tujuan agihan kekayaan secara sama rata dalam ideologi sosialis. Golongan kapitalis dan sosialis berpandangan sedemikian kerana sumber yang digunakan untuk menjana kekayaan pada hemat mereka adalah terhad.
Bagaimanapun, Islam berpandangan sebaliknya. Harta kekayaan menurut Islam adalah anugerah daripada Allah. Oleh itu, ia tidak bersifat terhad kerana Allah yang bersifat Maha Kaya. Hal ini dijelaskan melalui firman-Nya bermaksud: “Ingatlah, kamu ini orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka antara kamu ada yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah yang Maha Kaya, sedangkan kamulah adalah orang yang fakir.” (Surah Muhammad, ayat 47)
Justeru, konsep harta dalam Islam perlu difahami dengan jelas. Harta kekayaan dalam Islam adalah satu amanah Allah dan kita perlu mengurusnya dengan baik dan mengikut aturan yang digariskan Islam.
Di samping itu, matlamat pengurusan kekayaan atau kewangan ini perlulah bermatlamatkan al-falah.
Sehubungan itu, konsep perancangan kewangan dalam Islam perlu mengambil kira unsur keseimbangan iaitu selain mengandungi unsur pengembangan kekayaan melalui proses pengumpulan dan pelaburan, ia perlu mengambil kira unsur penyucian seperti aspek zakat dan sedekah.