TIGA aspek penting perlu dibina jika umat Islam mahu berjaya dalam urusan perniagaan. Ketiga-tiga aspek itu juga turut relevan dalam konteks membangun ekonomi ummah di negara ini.
Pertama, umat Islam perlu memiliki pandangan hidup yang komprehensif berkaitan Islam. Pengamatan sedemikian akan mewujudkan ummah yang berwawasan semoga dapat berperanan secara relevan dan progresif.
Islam hendaklah difaham dan diyakini sebagai sistem penyusunan umat manusia dalam membina sebuah tamadun mulia dan tinggi bersesuaian dengan sifatnya yang menepati nilai kemanusiaan sejagat. Islam perlu dihayati bukan sebagai reaksi kepada kemusnahan tamadun semasa, bahkan pada awal lagi ia diutus untuk memberi rahmat kepada keseluruhan umat manusia, termasuk yang tidak memeluk Islam.
Prinsip Islam adalah bersesuaian dengan kehendak kemanusiaan walaupun ada perubahan cara hidup dan ruang tempat yang berbeza. Menguasai sains al-Quran dan hadis sangat perlu. Penguasaan itu akan membolehkan masyarakat Islam memiliki perspektif dinamik dan arah tuju dalam amalan perniagaan cemerlang.
Aspek kedua membabitkan usaha membangun keutuhan akhlak peniaga. Akhlak tinggi akan mewujudkan suasana sesuai untuk masyarakat peniaga meningkatkan amalan muafakat dan bantu-membantu dalam perniagaan. Ia melahirkan keikhlasan dan ikatan emosi seseorang kepada perjuangan Islam.
Akhlak tidak boleh difahami sebagai peri laku individu yang jujur dan lurus semata-mata. Ia perlu dilihat dalam rangka menyeluruh yang membabitkan perjuangan ke arah mendaulatkan nilai kebenaran dan kecemerlangan dalam semua aspek kegiatan kehidupan. Ia turut meliputi usaha dan peningkatan ibadat untuk menyuci niat dan sikap. Begitu juga memiliki sifat ihsan kepada saudara manusia yang lain dalam menjalani urusan perniagaan.
Kemuncak kepada nilai akhlak adalah terlaksana nilai dan semangat keadilan yang dapat dipupuk dalam penyusunan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Pada amnya, orang Islam memahami dan masih menganggap bahawa memiliki akhlak mulia akan membentuk seorang yang lurus dan jujur dalam menerajui hidup dan perniagaannya dengan tidak banyak menimbulkan keburukan kepada masyarakat. Kefahaman demikian menganjurkan seseorang supaya membina peri lakunya saja dan tidak ingin berperanan dalam membaiki serta membangun akhlak dalam membina kekuatan perniagaan.
Sebagai insan yang bersifat individu dan sosial, sikap sedemikian tidak menepati peranan seorang Islam yang positif dan berjiwa besar. Umat Islam perlu berkecimpung dalam urusan perniagaan dengan semangat untuk membina kekuatan ekonomi ummah.
Pada masa ini, rata-rata akan bersetuju bahawa akhlak masyarakat Islam khususnya di Malaysia perlu ditingkatkan untuk perubahan positif demi memajukan ummah. Amalan rasuah, menipu, menindas, memfitnah, malas, rakus kepada harta dan memiliki beberapa sifat hina, perlu dikikis dan dihapuskan. Sifat ini adalah penghalang kepada semua bentuk kemajuan, termasuk dalam kegiatan perniagaan. Bahkan sifat hina itu menjadi hijab dalam perhubungan mereka dengan Allah.
Arus kebendaan yang begitu ketara melanda masyarakat masa ini perlu dibimbing. Ia supaya kejayaan perniagaan sesetengah golongan membawa kepada sumbangan yang membangun kepada kebajikan masyarakat dan bukan ke arah memusnahkan sifat kemuliaan kemanusiaan bermasyarakat.
Perpaduan masyarakat akan rapuh jika golongan kaya melupakan tanggungjawab sosial yang jelas dituntut oleh Islam. Prinsip keuntungan melalui tanggungjawab sosial untuk dihayati oleh golongan korporat Muslim sangat menepati hasrat akhlak Islam. Golongan korporat Muslim yang berjaya perlu berperanan positif untuk meningkatkan kualiti hidup umat Islam keseluruhannya.
Akhlak Islam mendidik umatnya supaya dalam menguasai harta ia harus menganggap harta itu hanya sebagai amanah kurniaan Allah. Justeru, harta yang dimiliki perlu dibelanja dan dilabur untuk mencetus peluang perniagaan untuk semua ahli masyarakat demi mendapat keredaan Ilahi. Ia tidak seharusnya menjadi matlamat muktamad dalam kehidupannya.
Perspektif ini yang membezakan antara akhlak Islam dengan ideologi sekular. Islam menganjur kepada hak memiliki harta dengan disertai kepada tanggungjawab keagamaan kepada masyarakat.
Umat Islam yang berakhlak oleh itu tidak patut membisu dengan amalan masyarakat yang bercanggah dengan nilai Islam.
Mereka perlu menangani persoalan itu dengan menyertai usaha membina masyarakat dan bukan menjauhkan diri daripada membaiki keruntuhan masyarakat. Gelanggang jihad termasuk berusaha membina akhlak masyarakat.
Dalam era semasa, sama dengan keperluan silam, tamadun manusia perlu kepada pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat dan negara yang mantap. Oleh itu, aspek ketiga, iaitu menghasilkan ahli profesional Islam adalah sangat perlu dalam menjayakan matlamat itu.
Dalam membangun kekuatan perniagaan dalam suasana yang sangat bersaing tanpa kualiti sumber manusia, masyarakat Islam akan sukar dapat dimajukan. Tanpa kekuatan ekonomi, rata-rata masyarakat Islam akan berada di bawah paras kemiskinan. Rasulullah SAW begitu bimbang jika kemiskinan melanda masyarakat. Baginda sentiasa mendoakan supaya cubaan itu dijauhi. Usaha untuk memajukan ekonomi ummah perlu berpanjangan.
Dalam keadaan semasa menjadi tuntutan bagi sesebuah negara, khususnya negara Islam seperti Malaysia berusaha untuk memajukan ekonomi negara. Ia bukan sekadar untuk menyelesaikan keperluan asasi rakyat.
Info: Pengurusan harta mesti bersih daripada
- Pengurusan yang tidak cekap.
- Pengurusan yang mengandungi unsur pembaziran.
- Pengurusan tidak berdasarkan ilmu.
- Menjadikan harta benda sebagai matlamat.
- Pengurusan yang mengandungi unsur pembaziran.
- Pengumpulan kekayaan tanpa diberikan fungsinya yang sebenar.
- Longgokan tanpa diedarkan untuk pengaliran.