Forum Jihad Ekonomi yang dianjurkan oleh Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) baru-baru ini membuka fikrah baru ke arah menyempurnakan perjuangan mengangkat martabat ekonomi bumiputera dan wadah keseimbangan ekonomi kebangsaan. Syarikat Milik Kerajaan (GLC) telah melaksanakan perancangan yang wajar ke arah ini. Kesannya, banyak syarikat bumiputera pelbagai kluster merasai nikmat pasaran dan kelangsungan syarikat dengan mendapat mandat pengusaha daripada syarikat GLC atau rakan kerjasama GLC lain di peringkat antarabangasa. Namun masih terdapat ketempangan aturan agihan apabila masih banyak rungutan berlaku di kalangan syarikat bumiputera. Pendekatan baru perlu diperkenalkan bagi mengatasi masalah ini.
Perkara meruncing yang lebih menarik perhatian ramai iaitu berkenaan dengan ketirisan. Permasalahan ketirisan yang dikatakan menjadi punca kegagalan aturan berlaku bukan berpunca dari GLC. Ketirisan ini berlaku apabila syarikat bumiputera sendiri tidak mempunyai jati diri serta tidak mampu berdikari sesama bumiputera dalam pasaran tanpa melibatkan golongan bukan bumiputera. Kelangsungan syarikat bukan bumiputera bergantung kepada kecekapan mengurus sumber yang dimiliki. Dalam hal ini, sikap syarikat bukan bumiputera yang gigih perlu dijadikan contoh. Masalah yang berlaku di kalangan syarikat bumiputera ialah apabila projek diberikan kepada syarikat bumiputera untuk dilaksanakan, syarikat tersebut samada secara sengaja telah memberikan projek kepada syarikat bukan bumiputera atau secara tidak sengaja terpaksa mendapatkan bekalan dari syarikat bukan bumiputera kerana syarikat bumiputera gagal menyediakan barangan atau perkhidmatan pada harga yang wajar ataupun tiada mempunyai kepakaran yang mencukupi.
Syarikat terbabit hanya akan memperolehi sekitar 10-20 peratus potongan kecil dari kuih yang besar, manakala bakinya dibaham oleh syarikat yang berdaya saing yang tinggi yang rata-ratanya syarikat bukan bumiputera. Masalah penguasaan rantaian ekonomi bumiputera telah lama dibincangkan namun satu jalan penyelesaian belum ditemui. Selama mana syarikat bumiputera bergantung harap kepada ehsan kerajaan melalui GLC selama itulah syarikat ini tidak akan berupaya mengawal rantaian kepenggunaan dan ekonomi.
Ketahanan syarikat bumiputera amat rapuh sekali apabila dilihat bagaimana pemilikan ekuiti jatuh daripada 22% kepada 12% dalam tahun 1997 apabila krisis ekonomi berlaku dahulu. Begitu juga nasib sekiranya syarikat bumiputera masih leka, anggaran sekitar 60-70% daripada peruntukan RMK9 berjumlah 220 Billion akan terus tiris dan menjejaskan keseimbangan ekonomi nasional. Tidaklah pelik kalau kita tinjau, sesetengah pihak beranggapan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak berjaya. Syarikat bumiputera perlu bangun dan berani berdiri walaupun tanpa dokongan dari pihak kerajaan. Oleh yang demikian, bagi merangsang pertumbuhan ini, adalah diharapkan agar GLC sendiri meletakkan kayu ukur supaya mereka yang diberi tongkat bukanlah syarikat yang tidak berupaya berdiri langsung tetapi syarikat yang telah terbukti dengan pencapaian yang memberangsangkan.
GLC telah menjalankan pelbagai bentuk sumbangan dan perlaksanaan rancangan kepada para usahawan, syarikat dan masyarakat bumiputera. Sumbangan mereka bukan sekadar dalam bidang ekonomi melalui sistem vendor, peluang perniagaan, rangsangan pasaran dalam acuan payungan, tetapi juga meliputi pembangunan modal insan. Banyak tenaga mahir dan pakar dihasilkan oleh GLC yang kemudiannya keluar daripada syarikat dan menubuhkan syarikat sendiri. Syarikat-syarikat GLC terpilih yang diketuai oleh Khazanah Nasional Berhad telah menjayakan program alihan dan agihan melalui pelbagai pendekatan. Dari masa ke semasa, program tranformasi ini telah melalui beberapa penambahbaikan bagi menjamin keberkesanan.
Dari pihak yang lain, wakil syarikat bumiputera telah mengakui peranan ini tetapi menjelaskan tentang hakikat sebenar yang dihadapi. Beberapa cadangan dilemparkan agar GLC menumpukan kepada memenuhi kehendak syarikat bumiputera, antaranya mengadakan satu rumah dagang atau ‘trading house’ mengikut kluster ekonomi tertentu. Melalui forum anjuran GABEM ini menampakkan bahawa usaha GLC masih boleh dipersoalkan. Beberapa kluster dan bidangan ekonomi sewajarnya menjadi peranan GLC supaya dibangunkan diabaikan kerana orentasi keuntungan GLC menyekat mereka mengambil risiko yang terlalu tinggi. Bidang ekonomi yang berisiko tinggi serta memerlukan teknologi tinggi dan modal yang besar seperti jentera, perlombongan, pembekalan barangan asas pembinaan, pembangunan teknologi dan bidang lain yang berpotensi masih tidak dapat diharapkan.
Banyak bidang ekonomi dikenalpasti melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) tidak dilaksanakan dan masing-masing menunding jari mencari tanggungjawab siapa. Kesempatan penemuan baru ini telah digunakan sebaik mungkin oleh kaum bukan bumiputera kerana mereka melihatnya sebagai satu peluang. Sebagai contoh, kita lihat bagaimana institusi penyelidikan menghasil kayu tiruan melalui kitar semula, penghasilan sumber bio-diesel dari alga atau rumpai laut dan kaedah jentera baru lebih murah dan mudah. GLC perlu menjadi wakil peneraju mengenalpasti dan mengumpul penemuan ini serta merancang ke arah pembangunan barangan baru dengan penglibatan syarikat bumiputera. Bagi syarikat-syarikat bumiputera, masalah peruntukan dan risiko pasaran telah mematikan usaha untuk membangunkan bidang ini.
Bagi mencapai maksud sebenar jihad ekonomi bumiputera, beberapa cadangan baru perlu diberi perhatian bagi menambahbaikan lagi kegiatan buku merah ini. Perkara utama yang perlu ditanam ke dalam diri usahawan bumiputera ialah memahami hakikat ijtihad yang meletakan maqasid syariah sebagai asas utama, bukan keuntungan semata-mata dalam mencapai kemilangan Malaysia.
Penubuhan ‘Trading House’ dalam kluster ekonomi terpilih dengan sistem telus dan bukan berkecenderungan pilih kasih untuk memberi sesuatu projek perlu diberi perhatian. Kadang-kadang kita leka dengan kegalakan pasaran saham yang sebenarnya bukanlah satu petunjuk muktamad kecambahan ekonomi terutamanya bumiputera kerana ada faktor lain yang lebih penting dijadikan sebagai kayu ukur. Pasaran saham umpama perhiasan (accessories) kepada gambaran ekonomi tetapi bukan hakikat induk ekonomi. Penilaian perlu diberi kepada banyak aspek lain lagi yang lebih berbentuk pencapaian. Wadah muzakarah seperti yang dianjurkan GABEM perlu diadakan dengan lebih kerap supaya penyelarasan dapat dibuat dari masa ke semasa. Pengukuhan struktur & perlaksanaan GABEM perlu ditingkatkan terutamanya dalam bidang perundingan antara syarikat-syarikat yang memerlukan sokongan dan pandangan.
Mewujudkan satu aturan pentadbiran manfaat melalui pendekatan “Waqaf Korporat GLC” boleh menyediakan tadbir urus berhemah ke arah mengalirkan faedah kepada kelompok perniagaan atau masyarakat awam. Waqaf telah terbukti mendokongi pembangunan dan kecemerlangan Islam di zaman Rasulullah dan Empayar Uthmani dalam kurun ke-17. Waqaf ini tidak terhad kepada pihak GLC semata-mata, malah mana-mana agensi yang mempunyai hasrat membantu ijtihad ekonomi (sinergi dan kelangsungan ekonomi melayu) boleh menyertai mengikut kepakaran. Sekiranya terdapat institusi penyelidikan yang ingin menyumbang penemuan mereka sebagai satu yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, mereka boleh berbuat demikian. Sebagai contoh, hasil kajian yang IKIM terajui iaitu Muslim Ummah Development Index (MUDI) dengan sokongan beberapa pihak lain boleh dijadikan sebagai salah satu asas di dalam waqaf korporat ini.
Melalui kaedah ini, dijangkakan persoalan mengenai peranan GLC atau kedudukan ekonomi, sosial dan politik bumiputera dapat dipulihkan dan diselaraskan seiring dengan matlamat rancangan pembangunan Malaysia. Permasalahan pegangan ekuiti, jurang pendapatan, orentasi perniagaan berlandaskan keuntungan dapat dirawat malah hasrat Perdana Menteri terhadap wawasan 2057 mengangkat Malaysia sebagai negara yang tinggi dari sudut kerohanian dan keharmonian antara kaum tidaklah mustahil. Jangkamasa 13 tahun menuju Malaysia negara maju wawasan 2020, bukan satu mimpi malah dapat dicapai dalam tempoh yang lebih singkat.
Waqaf Korporat merupakan satu mekanisme perlaksanaan di samping usaha-usaha sedia ada GLC. Ini adalah satu kaedah ‘Blue Ocean Strategy’ yang berupaya membendung banyak masalah pasaran dan persaingan antara syarikat bumiputera dan GLC sendiri. Matlamatnya ialah untuk menyediakan aturan pengurusan sumbangan faedah GLC dan pengaliran sesuatu yang boleh dimanfaatkan kepada syarikat bumiputera, seterusnya masyarakat dengan lebih berkesan.
Sumbangan dalam bentuk cair, separa cair atau faedah berbentuk teknologi dan pengetahuan dijadikan sebagai barang yang diwaqafkan. Pengiktirafan seperti kemudahan menembusi pasaran, keutamaan pembidaan dan sebagainya boleh dijadikan sebagai penggalak kepada mereka yang memberi sumbangan. Sekiranya perlaksanaan Waqaf Korporat dengan pentadbiran yang teratur, semua pihak akan mendapat manfaat secara adil dan saksama.
Semestinyalah, usaha pemurnian waqaf ini akan dapat mengatasi masalah gejala masyarakat yang tidak mendapat habuan dalam perebutan kekayaan di Malaysia. Setelah menyedari bahawa tidak dapat dielakkan di mana-mana negara akan wujud satu pihak yang tidak bernasib baik berada di dalam kemiskinan, satu sistem pengurusan manafaat sumbangan sebegini dapat dijadikan sebagai salah satu perintis jalan penyelesaian.
Berdasarkan kepada cadangan dan pandangan ini, diharap agar masalah bangsa bumiputera yang semakin cenderung kepada suasana hiruk-pikuk dapat diredakan, dibangunkan dan dipertahankan semula. Kita perlu mencari asas ijtihad iaitu dengan berada di dalam keadaan rela berkorban. Tanpa pengorbanan bukan sahaja kelangsungan ekonomi menerima padah malah nasib keharmonian antara kaum akan akhirnya dicabar.