Ketika wabak Covid-19 diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai sebuah pandemik, sebanyak 20 ribu kes jangkitan dilaporkan dan 1000 kematian direkodkan di serata dunia. Sehingga ke hari ini, kes jangkitan yang dilaporkan sudah berjumlah lebih daripada 232 juta kes dengan hampir 4.8 juta kematian direkodkan. Covid-19 bukan hanya melanda sebahagian negara-negara di dunia, tetapi juga merupakan ancaman utama bagi kebanyakan negara di dunia. Malaysia tidak terkecuali daripada berhadapan dengan ancaman virus SARS Cov-2. Negara ini telah berhadapan dengan ancaman Covid-19 selama hampir 2 tahun. Sepanjang tempoh ini, banyak yang telah dilalui oleh rakyat Malaysia yang memerlukan perubahan dilakukan kepada cara hidup dan juga tindakan khusus dalam mengekang penularan wabak pandemik Covid-19.
Kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang diperlukan dalam aspek kesihatan awam, ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat dalam mengekang penularan Covid-19 serta kesannya bagi memastikan keselamatan nyawa dan kelangsungan hidup rakyat terjamin. Oleh kerana pandemik ini bukanlah sesuatu yang biasa dan pernah berlaku dalam skala yang sebegini besar di seluruh dunia, kebanyakan negara-negara akan mengadaptasi langkah-langkah menangani Covid -19 bersesuaian dengan keadaan semasa Covid-19 dan juga kemampuan negara masing-masing.
Bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada 18 Mac 2020 serta pengenalan Prosedur Operasi Standard atau SOP, rakyat Malaysia hari ini seharusnya sudah peka tentang Covid-19, ancamannya, bagaimana ia menular dalam kalangan masyarakat serta apa yang perlu dilakukan bagi mengekang penularan virus ini. Justeru, setelah hampir 10 bulan rakyat tidak menikmati kebebasan pergerakan rentas negeri, Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan bahawa penilaian kepada perkara ini sedang diperhalusi dan dalam beberapa minggu lagi, rakyat akan dapat menikmati kelonggaran tersebut. Sudah pasti ini adalah antara perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Ada antara kita yang sudah berbulan lamanya tidak dapat pulang ke kampung halaman dan menjenguk ibu dan ayah di kampung, ada yang sudah lama tidak bertemu sahabat handai dan saudara-mara dan ada juga yang tidak berpeluang mengunjungi tempat-tempat yang biasa di dikunjungi atau melancong. Namun, dengan kebebasan pergerakan ini, rakyat perlu cakna akan tanggungjawab dan kesedaran yang harus ada dalam diri masing-masing bagi memastikan lonjakan jumlah kes Covid-19 tidak berlaku.
Sebagai manusia, kita mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan masyarakat. Apabila Kerajaan melonggarkan SOP dan pergerakan, ini tidak bermakna kita mempunyai kebebasan mutlak untuk berbuat apa sahaja. Kelonggaran yang dinikmati kelak perlu diiringi dengan rasa tanggungjawab dan kesedaran bahawa kita masih lagi berperang dengan Covid-19. Kita masih lagi perlu mengamalkan SOP yang telah digariskan seperti menjaga penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, kerap membasuh tangan serta mengelakkan berhimpun beramai-ramai. Ini adalah kerana amalan-amalan tersebut merupakan benteng pertama kita terhadap virus ini. Setiap individu bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan dan keselamatan diri serta mempunyai tanggungjawab juga terhadap individu lain dalam masyarakat. Dalam Islam, kita dilarang meletakkan diri kita dalam keadaan bahaya dan kemudaratan dan kita juga perlu ada rasa tanggungjawab untuk tidak memudaratkan orang lain. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalanya ” (Al-A’raf, 7: 56)
Rasulullah SAW juga bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Selagi mana tiada penawar yang dapat menyembuhkan jangkitan Covid-19, selagi itu kita akan terpaksa hidup bersama virus ini. Oleh yang demikian, kita perlu mengambil langkah yang sepatutnya bagi memastikan penularan virus ini dapat dikawal. Walaupun akan ada kelonggaran SOP dan kebenaran untuk merentas negeri, kita perlu mengadaptasi kehidupan seharian kita dalam suasana norma baru. Aktiviti rentas negeri yang akan dinikmati kelak harus dilakukan dengan kesedaran dan tanggungjawab.
Tempoh 2 tahun 7 bulan yang telah kita lalui dalam memerangi Covid-19 ini seharusnya menjadikan kita lebih berpengalaman dalam menangani virus ini. Yang paling penting adalah bahawa pengalaman ini seharusnya menjadikan kita bersedia dengan sebarang kemungkinan pada masa akan datang. Covid-19 memberi pengajaran kepada kita tentang perlunya kita sentiasa bersedia, patuh kepada nasihat mereka yang lebih pakar dan bersatu hati menghadapi sesuatu cabaran itu secara bersama. Kebersamaan rakyat dan kerajaan adalah penting kepada sebarang usaha yang dirangka bagi menjayakan sesuatu perkara. Mesej kebersamaan ini adalah penting bagi memastikan langkah yang diambil dalam menangani suatu cabaran seperti pandemik Covid -19 ini bersifat lebih menyeluruh, tersusun dan mampan. Kepentingan rakyat harus dinilai dari pelbagai sudut dan juga mengambil kira kebajikan rakyat dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi, kaum, agama dan budaya. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab pula, kita harus memainkan peranan secara proaktif dengan menyumbang kepada negara berdasarkan kemampuan diri dan juga dalam kapasiti masing-masing. Sinergi yang baik perlu wujud antara rakyat dan kerajaan agar perancangan negara menghadapi Covid-19 sebagai satu endemik akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.