Baru-baru ini, kerajaan Jerman telah meminta nasihat para ahli falsafah, ahli teologi, etika dan sejarawan, di samping para pakar dalam bidang sains dan perubatan untuk memikirkan strategi keluar terbaik daripada perintah berkurung.
Namun dalam konteks kepimpinan Malaysia dan negara-negara yang dipimpin oleh pemimpin Muslim, penulis berpendapat bahawa di samping persoalan strategi keluar daripada perintah berkurung, adalah mustahak bahawa pandangan para pemikir, ahli falsafah dan sejarawan juga dirujuk untuk memberi suatu panduan berkenaan faham dan hala tuju kemajuan pada peringkat ketamadunan memandangkan situasi semasa menunjukkan keadaan akan bertambah parah dari pelbagai sudut sekiranya tidak dirancang dengan cermat.
Persoalan tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘kemajuan’ sangat penting dalam hal ini kerana ia merupakan antara istilah kunci yang banyak diterima-pakai oleh pelbagai pihak tanpa diteliti andaian falsafahnya dengan lebih mendalam.
Seperti yang pernah disebut dalam majalah ternama Barat, The Economist, pada tahun 1999: “Pada zaman moden ini, pegangan kepada konsep kemajuan mempunyai hubungan erat, jika tidak sepenuhnya dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi yang didorong pasaran (market-driven economic growth). Adakah ini satu kesilapan?”
Sekiranya ditinjau penulisan-penulisan pemikir kebudayaan Barat pada abad ke-20 seperti Mortimer Adler dan Will Durrant, kita akan dapati bahawa konsep ‘kemajuan’ seperti yang sering diguna pakai hari ini hanyalah mula digunakan secara meluas sekitar abad ke-19 atau 20.
Pada abad ke-21 pula, individu-individu berpengaruh di dunia Barat seperti Bill Gates (pengasas Microsoft), Yuval Harari (penulis dari Israel), Steven Pinker (profesor sains kognitif di Universiti Harvard), Klaus Schwab (pengasas Forum Ekonomi Dunia) dan sekutu mereka banyak cuba mempengaruhi erti kemajuan secara langsung dan tidak langsung melalui pertuturan, penulisan, serta wacana-wacana yang diketengahkan di peringkat antarabangsa.
Sekiranya kita tidak berhati-hati, umat Islam akan mudah terpesona dengan konsep kemajuan yang dianjurkan mereka tanpa menyedari bahawa andaian-andaian falsafah yang tersirat dalam anjuran ini bercanggah dengan hakikat kewujudan yang difahami Islam. Malah di kalangan individu-individu ini ada yang menyindir (mock) secara halus akan peranan dan pandangan hidup agama-agama tertentu termasuk Islam.
Yuval Harari contohnya pernah menyebut, “Tempat yang paling menarik di dunia daripada perspektif agama bukanlah Timur Tengah, tetapi Silicon Valley. Di situlah agama-agama baru abad ke-21 diciptakan. Yang saya maksudkan ialah Data Religion, yang menjanjikan kepada manusia kebahagiaan, kedamaian, kemakmuran dan bahkan kehidupan abadi.”
Kita juga tidak perlu mengikuti cara berfikir Bill Gates contohnya, apabila beliau menyatakan (dalam penulisan MIT Technology Review, Februari 2019) bahawa persoalan-persoalan besar kewujudan (seperti: Bagaimanakah kita membuat orang lebih bahagia? Bagaimanakah kita membina hubungan yang bermakna? Bagaimanakah kita menolong semua orang menjalani kehidupan yang memuaskan?) boleh ditangguhkan selepas kita berjaya melawan penyakit dan menangani perubahan iklim—beliau sasarkan sekitar tahun 2040—dan inilah petanda kemajuan bagi Bill Gates.
Oleh itu kita harus insaf bahawa ada keperluan untuk menggali kembali khazanah pemikiran dan kesarjanaan tamadun Islam yang menerangi sejarah demi memandu perbincangan semasa perihal falsafah ekonomi, falsafah sains dan teknologi, serta falsafah pembangunan amnya—yang sangat perlu diungkapkan sekiranya umat Islam hari ini ingin membina masa depan yang lebih cerah (lihat contohnya, tulisan Profesor Dr Wan Mohd Nor Wan Daud bertajuk “Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna”).
Menangguhkan persoalan-persoalan besar dalam kehidupan yang terpaut dengan Rukun Iman ini ialah sesuatu yang ganjil buat Kaum Muslimin kerana setiap insan itu bakal menemui ajalnya pada bila-bila masa. Malah usaha untuk mencari kebenaran mengenai persoalan-persoalan besar kewujudan ini tidak bermakna usaha-usaha untuk mencari penawar kepada penyakit-penyakit besar dunia serta penyelesaian kepada kerosakan alam sekitar perlu diabaikan.
Sebagaimana yang boleh dilihat dalam sejarah tamadun Islam, kemajuan merujuk kepada pergerakan ke arah cara berfikir serta corak hidup dan pendekatan tadbir-urus (governance) yang lebih akrab dengan kecenderungan semula jadi insan (fitrah) serta ketertiban alam tabii. Ini kerana Muslim yang peka akan pandangan hidupnya, mengerti akan hakikat rohani pada diri dan alam jasmani ini serta tuntutan untuk berlaku adil kepadanya.
Kemajuan yang mesra insan dan mesra alam ini mensyaratkan kefahaman yang lebih mendalam tentang ilmu-ilmu Fardu Ain (bukan hanya hukum hakam tetapi termasuklah persoalan-persoalan hakikat kewujudan yang dibahaskan ulama ilmu kalam dan ahli-ahli tasawuf) khususnya pada peringkat pengajian tinggi dan golongan profesional supaya Kaum Muslimin berupaya untuk menjelmakan adab yang lebih menyeluruh dalam pelbagai lapangan hidup.
Contohnya apabila nafsunya ditundukkan dengan akal-budinya, alam sekitarnya diatur mengikut aturan Ilahi, reka-bentuk dan perancangan bandarnya tidak melibatkan urbanisasi dan penebangan hutan (deforestation) yang tidak terkawal, sistem ekonominya bermatlamatkan keadilan bukan pembaziran (isrāf) dan pertumbuhan berterusan (takathur)—maka kemajuan tulen boleh dianggap tercapai kerana tidak melampaui batas sesuatu ciptaan itu.
Oleh itu bagi umat Islam, kemajuan tidak semestinya melibatkan peniruan yang tidak kritis terhadap model “modenisasi” Barat, akan tetapi ia melibatkan proses penapisan aspek-aspek kemodenan yang tidak berlawanan dengan pandangan hidup Islam—suatu proses ilmiah-rohaniah yang pernah berlaku dalam sejarah tamadun Islam yang perlu dihidupkan kembali.
Sebagai contoh, ilmuan tersohor negara Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyarankan pada 1992 lagi bahawa “Kajian kesusasteraan dan warisan (pemikiran) umat manusia tidak boleh dilupakan walaupun Malaysia sedang menuju ke arah menjadi masyarakat saintifik dan progresif pada abad berikutnya … manusia tidak dapat hidup dengan sains sahaja kerana dia juga memerlukan santapan (kemanusiaan) untuk fikirannya. “
Ungku Aziz juga menekankan bahawa “Kita mempunyai contoh negara maju di mana kemajuan sains diimbangi oleh sistem pendidikan yang mendorong para pelajar untuk menghargai karya-karya besar masa lalu dan masa kini, dan untuk mengetahui sekurang-kurangnya sebahagian karya kreatif dan wacana manusia sepanjang sejarah dan dari pelbagai pelosok dunia. ”
Antara pihak-pihak yang penulis mengenali secara dekat yang berusaha untuk menyumbang ke arah ini di Malaysia termasuklah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sendiri, pusat pengajian Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS), Akademi Jawi Malaysia (AJM), Halaqah Muamalah, Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM), Peace Meal, Pelita Dhihin dan Kafilah Buku.
Untuk mencapai kemajuan yang digambarkan ini, kita perlu lebih menghormati sumbangan mereka yang berperanan untuk memberi peringatan kepada manusia tentang hakikat kewujudan ini—termasuklah para pemikir dan sarjana semasa yang ikhlas pada diri mereka, supaya hikmah dan kebijaksanaan mereka boleh menjadi sumber bimbingan dan inspirasi kepada kita dalam pelbagai bidang pada hari ini dan masa depan.