Pendedahan tentang ancaman kemusnahan sistem terumbu karang terbesar di dunia iaitu Great Barrier Reef merupakan suatu yang amat membimbangkan. Ini memandangkan, gugusan terumbu karang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 1981 itu merupakan ekosistem yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyokong kelangsungan biodiversiti (kepelbagaian hidupan) marin yang menjadi tunjang penting kepada kehidupan sejagat.
Daripada kajian yang diterbitkan menerusi Proceedings of the Royal Society Journal mendedahkan bahawa, sebahagian daripada terumbu karang terbesar di dunia itu telah mati sejak tahun 1995 lagi ekoran daripada suhu air laut yang semakin panas akibat daripada fenomena perubahan iklim global. Malah, daripada kajian berkenaan juga mendapati bahawa kadar penurunan yang begitu membimbangkan ialah membabitkan pelbagai saiz terumbu karang di kawasan pesisir Timur Laut Australia seluas 2,300 kilometer.
Turut dilaporkan bahawa spesies lebih besar seperti terumbu karang bercabang dan berbentuk meja merupakan antara spesies yang paling teruk terjejas dan hampir pupus, yakni jumlahnya berkurangan sebanyak 80 atau 90 peratus berbanding 25 tahun yang lalu. Malah, keadaan lebih meruncing apabila ekosistem berkenaan telah mengalami kejadian pelunturan besar-besaran pada tahun 2016 dan 2017 sehingga memusnahkan dua pertiga daripada ekosistem terumbu karang tersebut, dan kejadian pelunturan terus berlaku sehingga ke hari ini.
Menurut analisis himpunan data yang disimpan di arkib Coral Core Australian Institute of Marine Science (AIMS), pertumbuhan karang dijangka akan sama sekali terhenti menjelang tahun 2050 sekiranya trend kemerosotan gugusan terumbu karang tersebut berterusan. Hal ini pastinya memberi tamparan yang hebat kepada kita, kerana ia berlaku di ekosistem terumbu karang yang menerima perlindungan dan pengurusan terbaik dunia.
Didapati, antara penyumbang utama kepada kemerosotan ekosistem terumbu karang ini adalah disebabkan oleh peningkatan suhu permukaan laut dan juga pengasidan laut. Dalam konteks ini, peningkatan suhu laut akan memberi tekanan kepada karang dan menyebabkan berlakunya pelunturan dan kematian ke atas hidupan karang.
Selain itu, laut menjadi lebih berasid apabila berlaku peningkatan karbon dioksida di dalam laut yang menyebabkan keseimbangan alkali-asid atau nilai pH laut menjadi lebih rendah. Malah, daripada laporan yang dikeluarkan mendapati bahawa nilai pH laut telah pun jatuh sebanyak 0.1mata memandangkan laut menyerap kira-kira satu pertiga daripada lebihan gas tersebut.
Sekiranya keadaan ini berterusan, nilai pH laut dijangka akan jatuh sebanyak 0.4 mata lagi dalam tempoh kurang daripada 100 tahun akan datang. Justeru, bagi mengelakkan jangkaan ini daripada menjadi realiti, maka kadar serta magnitud perubahan dalam komposisi kimia laut dan suhu mesti di beri perhatian yang sewajarnya. Hal ini penting bagi memastikan masa hadapan gugusan terumbu karang berkenaan dan ekosistem laut secara keseluruhannya dapat dipertahankan kemandiriannya demi kesejahteraan kehidupan sejagat.
Jika dilihat kepada perubahan komposisi kimia laut dan suhu saban tahun, ia merupakan kesan daripada fenomena gas rumah hijau yang menyumbang kepada peningkatan suhu dunia. Didapati, antara gas rumah hijau utama yang banyak dibebaskan daripada aktiviti manusia ke udara ialah gas karbon dioksida, misalnya melalui aktiviti pembakaran bahan api seperti petrol, arang batu, gas asli dan diesel bagi menghasilkan tenaga untuk menjana elektrik dan juga menggerakkan operasi sistem pengangkutan.
Gas karbon dioksida yang larut dalam air pula adalah berasid, dan peningkatan komposisi gas ini di udara akan menyebabkan laut menjadi semakin berasid, seterusnya memberi ancaman yang lebih besar kepada ekosistem terumbu karang.
Selain itu, perubahan dalam komposisi kimia laut juga akan mengganggu dan memperlahankan kemampuan hidupan karang untuk menyerap kalsium daripada air laut yang diperlukan untuk membina rangka skeleton nya. Pertumbuhan skeleton (rangka keras) baharu ini secara berterusan amat penting memandangkan peranannya sebagai tulang belakang kepada ekosistem terumbu karang yang amat kompleks ini, yang menjadi habitat dan tempat bergantung kepada puluhan ribu spesies tumbuhan dan haiwan marin. Malah, penghasilan skeleton baharu juga amat diperlukan bagi mengimbangi kehilangan karang akibat hakisan semula jadi dan juga penyerpihan.
Selain faktor-faktor berkenaan, pencemaran ekosistem laut juga tidak dapat ditolak sebagai salah satu punca yang menyumbang kepada kemerosotan ekosistem terumbu karang baik melibatkan gugusan Great Barrier Reef mahupun rangkaian ekosistem terumbu karang yang lain. Malah, pencemaran ekosistem laut yang tiada titik noktahnya turut memberi ancaman kepupusan kepada kepelbagaian spesies hidupan marin yang menghuni dalam persekitaran ekosistem terumbu karang.
Melihat kepada ancaman-ancaman yang menyumbang kepada kemerosotan dan kemusnahan ekosistem terumbu karang berkenaan saban tahun, peranan proaktif daripada semua pihak merentasi sempadan dunia amat diperlukan. Sementelah, gugusan ekosistem terumbu karang terbesar ini menghadapi masa depan yang tidak menentu dan agak mustahil untuk ekosistem ini pulih secara semula jadi dengan tekanan perubahan iklim global yang kian menghimpit lantaran pelbagai aktiviti tidak sihat manusia terhadap alam sekitar.
Ancaman ke atas sistem terumbu karang ini perlu diletakkan sebagai ancaman sejagat memandangkan kepupusannya akan memberi kesan yang besar kepada kepelbagaian hidupan di atas muka bumi, termasuk manusia yang banyak bergantung kepada sumber laut. Justeru, langkah memulihara ekosistem terumbu karang perlu diletakkan sebagai agenda utama yang memerlukan komitmen bersama melangkaui sempadan benua agar usaha menyelamatkan kelangsungannya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sementelah, usaha memelihara kepelbagaian ekosistem di atas muka bumi ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita selaku khalifah di atas muka bumi, bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya” (Surah Hud, Ayat 61).