Apabila ada seekor gajah berwarna merah jambu di dalam bilik yang sama dengan kita, mampukah kita berpura-pura ia tidak wujud atau buat-buat tidak nampak? Begitulah perumpamaan tentang cabaran yang berada di hadapan kita. Pengalaman mengajar kita bahawa dalam dunia ini ada tiga golongan manusia. Satu, mereka yang tidak berbuat apa-apa. Golongan kedua pula terdiri daripada mereka yang sentiasa mengkritik sahaja. Dan golongan ketiga adalah golongan yang berusaha mencari penyelesaian.
Saya tidak mahu membicarakan golongan yang pertama dan kedua kerana ianya pendekatan yang sangat membosankan dan tidak bagus untuk senaman minda kita terutama di hari minggu. Saya ingin berbincang tentang pendekatan yang diambil oleh golongan ketiga kerana ia bagus dari pelbagai segi. Selain daripada senaman minda, ia adalah isu yang agak mencabar yang melibatkan aktiviti berfikir secara kreatif dan inovatif untuk memecah persoalan yang ada bagi maksud mencari penyelesaian yang strategik. Dan aktiviti sihat inilah yang sebenarnya sangat membantu keadaan sedia ada.
Aktiviti berfikir yang melibatkan tahap inovasi tentang cara penyelesaian adalah aktiviti yang tidak banyak dilakukan oleh kebanyakan orang. Tetapi mengumpulkan orang yang mempunyai niat yang sama sebenarnya sangat membantu usaha tersebut. Inilah pendekatan yang disarankan oleh Islam melalui konsep musyawarah. Konsep ini juga diamalkan oleh masyarakat Jepun malah telah menjadi budaya mereka dalam membuat keputusan. Adat Melayu kita juga menekankan usaha tersebut melalui pepatah Melayu lama, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.
PERSEPSI MASYARAKAT
Dalam konteks perundangan Islam, isu utama yang telah dikenalpasti adalah cabaran persepsi masyarakat. Dalam konteks perumpamaan gajah berwarna merah jambu, menukar persepsi negatif tentang agensi perundangan Islam terutamanya Mahkamah Syariah memerlukan usaha yang tekal dan bersungguh-sungguh kerana ia adalah umpama badan gajah tersebut. Besar dan teguh. Walaupun banyak pembaharuan telah dilaksanakan terutama selepas era 1980an, masih terdapat banyak tohmahan daripada masyarakat. Samada masyarakat membuat tohmahan tersebut kerana orang lain termasuk orang yang nampaknya ada autoriti membuat tohmahan atau kerana mereka sendiri berhadapan dengan masalah yang sebenar dengan institusi tersebut. Terdapat juga usaha pihak tertentu yang sengaja memutarbelit fakta supaya Mahkamah Shari’ah yang menjadi syiar Islam itu dipertikaikan. Semua ini masih menjadi satu misteri. Atas sebab itulah IKIM menerajui kajian bersama dengan semua agensi berkaitan dengan perundangan Islam supaya keseluruhan sistem dapat dilihat secara adil. Mengkaji persepsi masyarakat tentang perkhidmatan agensi-agensi yang berkaitan dengan perundangan Islam merupakan langkah pertama sebelum berlari.
Antara perkara yang penting yang perlu diberi perhatian adalah manusia yang berada dalam sistem perundangan tersebut. Secara khususnya, mereka adalah golongan pegawai-pegawai dan kakitangan agensi perundangan supaya dapat menjalankan tugas menegakkan keadilan dengan cekap dan beramanah. Berbalik kepada perumpamaan gajah tersebut, mereka inilah kaki-kaki yang mengerakkan keseluruhan gajah itu. Sekiranya ada kaki yang sakit, gajah tersebut akan berjalan dengan penuh ketempangan. Kaki yang perlu teguh adalah pegawai-pegawai Syariah yang terdiri daripada kalangan pegawai mahkamah dan di bahagian pentadbiran. Ini termasuklah Yang Arif hakim-hakim, pegawai-pegawai pendakwa, peguam-peguam syar’ie samada swasta atau dari kalangan pegawai kerajaan daripada Jabatan Bantuan Guaman. Mereka yang bekerja di barisan hadapan dan di belakang tabir perlu membetulkan saf masing-masing kerana masyarakat memerlukan mereka untuk menegakkan keadilan. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menjaga pentadbiran keadilan tersebut tetapi hanya kepada pegawai-pegawainya sahaja. Antara faktor yang kerap disuarakan oleh JKSM sendiri adalah Yang Arif Hakim-hakim di Mahkamah Syariah perlu diasah kearifannya dari masa kesemasa. Ketiadaan satu institusi khusus bagi latihan yang berterusan untuk hakim-hakim tersebut kini adalah satu perkara yang malang. Inilah nadi keadilan.
Persoalan timbul siapa pula menjaga peguam syarie? Oleh kerana masyarakat Melayu Islam semakin canggih sekarang, mereka mampu mendapatkan perkhidmatan peguam syar’ie bagi membela kes mereka di mahkamah. Ibarat gajah tadi, sekiranya kaki gajah tersebut luka atau patah, siapa doktornya? Bolehkah Majlis Agama Islam Negeri melalui Jawatankuasa Peguam Syari’e dianggap sebagai doktor kerana ia mempunyai kuasa untuk memberi tauliah kepada mereka yang ingin beramal di negeri tersebut? Kuasa jawatankuasa ini termasuk mencadangkan kepada Majlis Agama Islam Negeri kelayakan akademik dan pengalaman yang relevan sebelum diterima masuk untuk beramal di negeri tersebut. Jawatankuasa ini juga nampaknya menerima aduan daripada masyarakat tentang khidmat peguam yang melanggar etika. Persoalannya cukupkah kawalan tersebut? Setakat ini tiada akta yang khusus dan selaras di peringkat semua negeri untuk mengawal etika peguam syarie sepertimana peguam sivil. Peruntukan-peruntukan tertentu di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam di peringkat negeri juga berbeza. Ada peruntukan yang agak longgar sehingga memaksa Jawatankuasa Peguam Syarie negeri membenarkan peguam syar’ie yang telah diterima untuk beramal di negeri lain beramal pula di negeri tersebut. Ramai bakal peguam syarie yang merungut kerana terpaksa menghadiri beberapa siri temuduga di setiap negeri yang mereka ingin beramal. Yang pasti, Persatuan Peguam Syari’e bukan doktor untuk mengubati ketempangan tersebut. Mereka tidak dibenarkan memberi ubat. Sekadar meletak plaster pada kaki yang patah.
Bagi yang tidak berkemampuan pula, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan dari Jabatan Bantuan Guaman yang semakin perkasa sekarang sehingga dikatakan 80% kes dari jabatan ini di bawa ke Mahkamah Syariah. Persoalannya, banyak usaha mereka tidak diketahui kerana tidak terletak di bawah pengawasan Menteri yang menjaga hal ehwal Islam. Kerana isu bidangkuasa, inisiatif-inisiatif positif tidak diketahui dan dikongsi bersama antara agensi-agensi yang mengendalikan perundangan Islam. Kerjasama menjadi agak sukar kerana tiada titik rujukan yang sama.
JANTUNG KEADILAN
Jantung kepada keadilan adalah undang-undang. Dalam konteks ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberi tanggungjawab untuk menyelaras undang-undang Islam di seluruh Malaysia. Tugas ini amat berat kerana terdapat banyak kekangan. Sejak penubuhan Jawatankuasa Teknikal Hukum Syarak dan Undang-Undang, usaha gigih dan bersungguh-sungguh untuk penyelarasan Undang-Undang melalui penyediaan model undang-undang untuk pemakaian di peringkat negeri menghadapi banyak kesukaran. Ibarat menyuruh gajah untuk terbang!
Semua perkara yang dibangkitkan di atas adalah bukan untuk difikirkan sahaja tetapi untuk dilaksanakan. Antara yang agak berjaya adalah penyediaan modal insan untuk sistem perundangan Islam tersebut. Universiti-universiti tempatan dengan silibus-silibusnya selain dikawal selia oleh pihak universiti itu sendiri untuk pemantapan mutu juga terpaksa melalui proses yang ketat di Malaysian Qualifications Agency yang dulu dikenali sebagai Lembaga Akreditasi Negara (LAN). Pelantikan penilai luar dari agensi-agensi perundangan dalam bentuk sarjana pelawat atau profesor pelawat memantapkan lagi silibus supaya sesuai dengan kehendak pasaran. Apa yang masih perlu dipertingkatkan adalah kerjasama yang erat di kalangan ahli akademik dengan agensi-agensi perundangan supaya universiti tidak dianggap menara gading, hanya pandai berteori sahaja. Selain itu, faktor penting adalah untuk menghasilkan graduan yang cemerlang dan bermutu sehingga mereka boleh menyumbang di mana sahaja mereka berkhidmat -“Ibarat benih yang baik, campak ke darat menjadi bukit, dicampak ke laut menjadi pulau.” Walaupun universiti menghadapi cabaran-cabarannya yang tersendiri, usaha-usaha positif terus dilaksanakan supaya kualiti pendidikan sentiasa dipertingkatkan. Gajah pun tidak membesar dalam sehari!
Atas dasar kesemua itu, satu usaha untuk mengemaskan saf agensi-agensi perundangan Islam melalui Konvensyen Transformasi Sistem Perundangan Islam akan dianjurkan oleh IKIM pada 5 dan 6 haribulan April, 2011. Didoakan semoga konvensyen itu akan membuahkan hasil yang diimpikan dan keadilan dapat ditegakkan dengan teguh dan kukuh.