Tajuk ini amat perlu diberi perhatian hari ini kerana isu-isu mendesak yang dihadapi secara glokal. Beberapa contoh termasuklah isu-isu alam sekitar seperti perubahan cuaca yang drastik, kepupusan sumber alam, jurang perbezaan yang kian meningkat di antara golongan yang miskin dengan yang kaya dan keruntuhan akhlak dalam dimensi keluarga, pekerjaan serta pentadbiran dan pengurusan misalnya. Setelah diteliti ternyata yang menyebabkan semua ini berlaku adalah kerana terkikisnya nilai di dalam dunia yang penuh dengan teknologi canggih kini.
Jika diperhatikan juga, sesebuah masyarakat mahu pun tamadun sebenarnya terbina di atas 2 komponen. Komponen fizikalnya terbentuk daripada bangunan, jalan raya dan pelbagai infrastruktur material. Setiap unsur komponen fizikal ini perlu mempunyai asasnya sendiri. Contohnya sebuah bangunan – kekuatan dan keutuhan bangunan tersebut adalah berdasarkan rangka / foundation yang akhirnya adalah batu, konkrit dan simen yang disusun atur dalam ukuran-ukuran tertentu. Sekiranya dikurangkan mana-mana komponen ini atau / dan diubah sukatan-sukatannya di dalam hubungannya di antara satu sama lain, maka runtuhlah bangunan tadi.
Jelaslah bagaimana di dalam konteks yang fizikal pun ada “undang-undang” dan spesifikasi yang pasti dan perlu (wajib) dipatuhi. Di dalam dunia sains dan teknologi, spesifikasi/prinsip dan peraturan ini digelar atau dikaitkan dengan “natural law” / hukum alam tabii. Untuk mendapatkan bangunan tinggi yang kukuh, perlu tiang-tiangnya di tanam ke dalam tanah pada kedalaman yang tertentu, sepertimana sebatang pokok yang kuat sebenarnya ditunjangi oleh akar-akar yang hidup ke dalam tanah sedalam jarak yang sama dalamnya dengan jangkauan ke atas atau ke udara, batang, ranting dan daun pokok di atas tanah.
Selain daripada aspek fizikalnya, seperti yang kita semua tahu, sesebuah masyarakat dan tamadun jua terbentuk daripada komponen sosial dan kemanusiaannya. Komponen sosial termasuklah institusi keluarga, institusi pendidikan, kesihatan, ekonomi, undang-undang dan politik. Apakah ‘unsur’/faktor/elemen yang mengukuhkan perfungsian institusi yang pelbagai ini dengan baik agar kesejahteraan manusia tercapai melalui institusi-institusi yang pelbagai tersebut semuanya? Jawapannnya adalah nilai. Nilai merupakan kepercayaan tentang prinsip-prinsip kebaikan yang memberitahu apakah sebenarnya “patut” dan “yang boleh” dan sebaliknya. Sebagaimana hukum fizikal tidak boleh diabai atau dilanggar begitu jugalah nilai khasnya nilai spiritual, memastikan keutuhan kehidupan sosial manusia sebenarnya. Dalam dunia sekular di mana Tuhan tidak wujud atau masih di cari-cari bukti kewujudannya seperti yang ditonjolkan oleh filem-filem dokumentari tertentu (contohnya History Channel saluran 550; 19.4.2014) di kaca TV tempatan. Misalnya, nilai tidak mutlak iaitu relatif, lantaran agama telah pun ditolak. Namun sebenarnya nilai-nilai hanya diajar oleh agama dan nilai-nilai kebaikan tersebut adalah mutlak. Nilai atau kepercayaan dan hukum-hakam agama adalah asas “bangunan-bangunan” institusi-institusi sosial masyarakat. Tetapi masyarakat yang mempercayai Tuhan dan agama (cara hidup yang dianjurkan) tidak cukup sekadar menghafal secara teori nilai-nilai agama tersebut. Bagaimana prinsip-prinsip agama mereka sebenarnya berfungsi ke arah merealisasikan keadilan sosial yang terzahir dalam bentuk keperluan hidup mampu diperolehi oleh semaksimum mungkin anggota masyarakat (aspek ekonomi); bekalan/sumber-sumber alam tidak dieksploitasi tanpa mengambil kira keperluan generasi akan datang (aspek alam sekitar) misalnya perlu difikirkan agar pelbagai-pelbagai fungsi hidup terjamin. Iaitu tugas agama sebenarnya adalah untuk menegakkan keadilan sosial yang pula akan dapat menangani isu-isu kritikal yang dijelaskan di awal makalah ini.
Di dalam Islam misalnya kerangka memikir apa yang disebut sebagai maslahah/kepentingan/manfaat dan kebaikan awam/ummah dijelaskan oleh prinsip maqasid syariah (matlamat syariah) melalui Al-Quran dan Hadith. Bagi mukminin kehidupan di dunia amatlah penting dan ia juga adalah jalan menuju ke akhirat. Surah Al-Baqarah: 201 menyatakan;
“Dan di antara mereka pula ada yang berdoa dengan berkata ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan periharalah kami daripada azab api neraka“.
Mufasir mengatakan perkataan “dunia” disebut 115 kali di dalam Al-Quran, sama banyaknya dengan perkataan “akhirat” di sebut. Maqasid syariah adalah untuk memastikan pemeliharaan dan kesejahteraan nyawa, iman/agama, keturunan harta dan akal.
Di dalam membuat keputusan-keputusan bagi masalah-masalah yang baru timbul sistem perundangan Islam mempunyai kaedahnya sendiri yang bertunjangkan prinsip darurat (al-Masalih al-daruriyah) / keperluan (al-Masalih al-Hajiyyah) dan keinginan (al-Masalih al-tahsiniyyah).
Dalam konteks sains dan teknologi yang begitu canggih hari ini begitu banyak pengaruh ke atas kehidupan masyarakat dari segi gaya hidup dan kelakuan/akhlak. Dalam keadaan ini amat penting sekali nilai memainkan peranan. Sehingga dan bagaimanakah sesuatu teknologi tiu bermanfaat dan memenuhi atau tidak menggugat 5 prinsip maqasid syariah yang dihuraikan amat perlu dikaji dan diberi perhatian oleh saintis-teknologis. Panduan nilai al-Quran boleh dirujuk di sini. Sebagai contoh Quran 3:186-187 juga memperingatkan:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini tiada lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Demi sesungguhnya kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu“.
Begitu juga di dalam komponen kehidupan/sosial/bukan fizikal yang lain-lain, katakanlah soal pengurusan dan perekonomian air yang begitu relevan di negeri-negeri yang menghadapi kekurangan yang teruk, perlulah difikirkan dan kemudiannya diimplementasi prinsip-prinsip maqasid shariah tersebut dengan cara yang seiring dengan polisi awam dan data saintifik yang berkaitan.
Kita sering mendengar ungkapan “Islam is a total way of life” / “Islam adalah satu cara kehidupan yang menyeluruh” dan kebaikan yang timbul dari sistem Islam sebenarnya dapat dinikmati oleh manusia Islam dan bukan Islam, haiwan, tumbuhan dan seluruh alam tabii atau alam sekitar.
Dalam konteks sains dan teknologi, Shah Waliullah (kurun ke-18), seorang ahli fikir Muslim India yang terkemuka pernah menyatakan bagaimana di zaman menjelangnya kurun ke 20 dan selepasnya (kurun sains dan teknologi) umat Islam tidak dapat lari dari menangani cabaran memastikan ilmu tersebut dilihat sebagai satu wahana mengenal Maha Pencipta dengan lebih dekat lagi tetapi juga untuk memastikan sains dan teknologi tersebut tidak menjadi wahana kezaliman dan pembaziran dan yang membelakangkan istislah dan kepentingan awam.
Tanggungjawab menghidupkan nilai-nilai spiritual yang berasaskan prinsip-prinsip agama bukan terletak pada pihak-pihak tertentu sahaja. Mungkin boleh dikatakan segalanya bermula dengan Ilmu holistik yang merupakan cahaya yang menunjukkan jalan yang lurus (tujuan nilai dan etika). Ini bermakna yang amat perlu ialah perkongsian ilmu dan kemahiran (know-how) di antara mereka yang fasih dengan ilmu agama yang merupakan batu-bata nilai dan mereka yang sarat dengan ilmu-ilmu dunia yang berbagai.