Asas bagi umat Islam adalah yakin dengan sebenar-benarnya bahawa penyakit itu datangnya daripada Allah berdasarkan sebab musabab yang selalunya dikaitkan dengan gaya hidup manusia dan Allah jugalah yang menyembuhkan sesuatu penyakit itu berdasarkan sebab musabab dengan penemuan-penemuan ubat bagi penyakit tersebut. Gaya hidup manusia ini membawa makna yang luas. Sebagai contoh, gaya hidup aktiviti seks songsang akan menyebabkan dijangkiti HIV, gaya hidup perokok tegar akan menyebabkan sakit yang berkaitan sakit jantung dan seumpamanya, gaya hidup yang berlebihan mengambil gula akan menyebabkan kencing manis, gaya hidup yang memusnahkan alam dengan penggunaan plastic, dan begitu juga bagi mereka yang gemar memakan makanan eksotik seperti ular, kelawar, tikus yang terdedah kepada dijangkiti 2019-nCoV.
Gaya hidup manusia ini telah disebut di dalam al-Quran sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Ruum ayat 41, mafhumnya “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Kalau kita merujuk kepada Agensi Xin Hua yag memetik wakil Institut Kebangsaan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit sebagai berkata 33 daripada keseluruhan 585 sampel yang diperolehi dari pasar Huanan, Wuhan, China mengandungi asid nukleik 2019-nCoV. Laporan media sebelum ini menyebut kebanyakan kes penyebaran penyakit berjangkit dari segi kedudukan geografi itu menunjukkan hubung kait yang rapat antara epidemik dan pasar malam laut. Dalam bahasa yang mudah difahami dapat dikatakan sebagai coronavirus berpunca daripada virus yang berasal daripada haiwan yang sakit, khasnya haiwan yang berbisa dan eksotik. Perkatan yang menarik di sini ialah haiwan berbisa dan eksotik yang sakit. Sakit di sini mungkin sakit yang dialami oleh haiwan tersebut apabila hendak dibunuh untuk dijadikan sajian atau haiwan tersebut sememangnya sakit.
Dalam media cetak atau media sosial hampir setiap hari telah ada tulisan-tulisan atau artikel-artikel yang berkaitan dengan Nobel Coronavirus ini sama ada dari segi, perubatan, mikrobiologi, data jangkitan dan banyak lagi yang rasanya tidak perlu lagi saya ulang dalam tulisan ini.
Apa yang saya ingin ketengahkan dalam tulisan saya ini ialah berkaitan dengan pengajaran-pengajaran atau langkah-langkah yang patut kita ambil untuk dijadikan iktibar dan juga langkah persediaan pada masa akan datang sekiranya peristiwa seperti ini berulang lagi.
Pertama sekali kita mestilah amalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan yang halalan tayyiban kerana setiap tegahan atau larangan daripada Allah itu mempunyai sebab-sebab tertentu.
Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 168 mafhumnya, “Wahai sekelian manusia!, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu”.
Allah SWT juga memperincikan makanan yang diharamkan itu seperti mafhumnya,
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir) , dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah , dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu menengok nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik (surah al-Maidah: 3).
Kedua, wabak yang berlaku kini telah memberi ruang kepada kita untuk mengkaji atau menjalankan penyelidikan dan seterusnya mencari vaksin atau penawar. Kita tidak boleh selama-lamanya mengharap negara-negara yang maju sahaja untuk mencari vaksin tersebut. Sudah tiba masanya negara-negara Islam mengabungkan tenaga untuk mencari penyelesaian. Vaksin adalah antara penemuan yang paling penting dalam bidang perubatan oleh kerana membawa manfaat yang sangat besar. Dengan adanya vaksin, banyak penyakit dan wabak hampir hilang di dunia seperti polio. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini wujud pengaruh gerakan anti-vaksin yang semakin kuat. Keadaan ini amat membimbangkan terutama jika mempunyai anak kecil kerana pengurangan dalam kadar program vaksin akan membawa kesan mudarat kepada seluruh masyarakat. Penyakit seperti demam campak (measles) makin menjadi-jadi kerana penolakan vaksin
Ketiga, peranan netizen di media sosial. Apabila berlaku sesuatu isu sama ada di dalam negara atau luar negara, kita dapat lihat munculnya “pakar-pakar yang tidak berkelayakan” di media sosial seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan. Ini merupakan satu fenomena yang amat membimbangkan kepada negara jika tidak dibendung. Mereka memberikan komen-komen yang jauh tersasar dari segi fakta dan data. Keadaan ini akan menimbulkan panik dalam masyarakat. Masyarakat di Malaysia ini seharusnya dididik dengan asas-asas pemikiran saintifik yang berasaskan data dan fakta serta bersumberkan dalil-dalil yang sahih. Apabila sesuatu perkara itu dibiarkan kepada orang yang bukan ahli untuk bercakap mengenai perkara tersebut, maka tunggulah kehancurannya. Keadaan ini amat membimbangkan apabila media sosial dijadikan tempat untuk melepas geram, menabur fitnah dan yang paling parah ialah menyebarkan berita-berita palsu. Mereka ini sepatutnya harus dipertanggungjawabkan dengan yang apa mereka kerjakan.
Keempat, apabila berlaku sesuatu wabak seperti yang dihadapi sekarang, langkah pertama yang dilakukan oleh masyarakat kita ialah memakai topeng mulut atau disebut sebagai mask. Mask ini dijual di farmasi dan juga di kedai-kedai dalam berbagai-bagai bentuk dan harga. Walau bagaimanapun, terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan diri semata-mata dengan mengumpul semula mask yang telah dibuang serta dijual semula. Dengan kata lain, mask yang dijual adalah “recycle mask”. Penjualan mask ini seharusnya dipantau oleh pihak berkuasa supaya tidak ada pihak yang menjual “mask recycle”dan yang seperkara lagi mask ini seharusnya dalam bentuk mesra alam. Pada masa kita cuba menghindari dijangkiti wabak virus tersebut, pencemaran alam sekitar juga harus diberi keutamaan.
Akhirnya, banyak pengajaran untuk kita renungkan kerana setiap yang berlaku itu bukanlah sia-sia sahaja tetapi sebaliknya diambil ikhtibar untuk langkah pengawasan jangka masa panjang. Sejarah mungkin berulang lagi walaupun dalam konteks yang berbeza.