Ekosistem laut dan sungai merupakan anugerah Allah SWT yang sewajarnya dipelihara dengan baik. Ini kerana, kedua-dua ekosistem berkenaan merupakan elemen yang sangat penting kepada kelangsungan hidup manusia. Namun malangnya pada hari ini, ekosistem berkenaan tidak terkecuali daripada terdedah kepada ancaman pencemaran ekoran sikap tidak bertanggungjawab segelintir anggota masyarakat.
Misalnya, daripada paparan akhbar yang terbaharu, dilaporkan sebanyak 13,000 kilogram atau 13 tan sampah dikutip pada setiap minggu di sepanjang pesisir pantai Kuala Perlis sehingga Kuala Sanglang yang jaraknya sejauh 13 kilometer dengan 80 peratus sampah terbabit adalah terdiri daripada plastik seperti botol.
Malah, turut dilaporkan juga bahawa sebanyak 30.7 tan metrik atau 30,700 kilogram sampah telah dikutip di lokasi-lokasi pelancongan utama di negeri berkenaan seperti Bukit Ayer, Bukit Jernih, Empangan Timah Tasoh, Gua Sami dan Pesisir Pantai Kuala Perlis sepanjang tempoh 2019 hingga 2021.
Selain isu ini yang hangat diperkatakan, turut tular juga tentang isu di kawasan air terjun Sungai Pisang, Gombak, Selangor yang dipenuhi oleh sampah sarap yang ditinggalkan oleh para pengunjung yang tidak bertanggungjawab. Situasi ini secara jelas memberi cerminan bahawa mentaliti anggota masyarakat yang suka membuang sampah di merata-rata tempat masih lagi tidak berubah dan berada di tahap yang sangat rendah.
Malahan, musibah pandemik Covid-19 yang melanda dunia seolah-olah langsung tidak mampu menjentik hati nurani segelintir kita untuk kembali merenung sejauh mana etika masing-masing terhadap alam dan segala kompenan yang ada di dalamnya. Ini terbukti apabila segelintir daripada kita masih lagi melakukan kemungkaran dengan sewenang-wenangnya mencemar dan menodai alam sekitar. Tanggungjawab yang diamanahkan oleh agama untuk menjaga keseimbangan alam dan memakmurkan bumi seolah-olah langsung tidak diendahkan tanpa memikirkan natijah ke atas alam sekitar dan ekosistem.
Sedangkan, sejak berlakunya penularan Covid-19 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, terdapat begitu banyak sekali pengajaran dan juga hikmah yang sewajarnya dijadikan iktibar. Misalnya, sepanjang tempoh berkenaan dapat dilihat bahawa dari satu sudut bumi dapat direhatkan buat sementara waktu apabila aktiviti seharian masyarakat dihadkkan sehingga pada satu ketika, kadar pencemaran dapat diminimumkan daripada sebelum berlakunya penularan Covid-19.
Namun, malangnya keadaan berkenaan hanya bersifat sementara sahaja. Ini kerana, sebaik sahaja pelbagai sektor dibuka semula, masyarakat kembali melakukan tabiat buruk suka membuang sampah di merata-rata tempat sehingga kadar pencemaran alam sekitar kembali meningkat. Apabila situasi ini berlaku, ia memberi petanda jelas seolah-olah masyarakat kita langsung tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada musibah Covid-19. Buktinya, mereka masih lagi tidak peduli tentang aspek kebersihan dan tanpa segan silu melakukan pencemaran ke atas alam sekitar.
Malahan, sikap yang ditonjolkan ini juga secara jelas mencerminkan bahawa tahap kesedaran dan penghayatan agama dalam kalangan masyarakat juga masih lagi cetek. Ini kerana, sekiranya mereka betul-betul fahami tentang tuntutan agama dalam aspek menjaga kebersihan, pastinya mereka tidak sewenang-wenangnya melakukan pencemaran ke atas alam sekitar. Apatah lagi, perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga merupakan salah satu daripada perbuatan maksiat yang sangat ditegah oleh Islam.
Seorang Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran agama pastinya menyedari bahawa menjaga kebersihan merupakan perkara asas yang begitu ditekankan oleh Islam kerana ia seterusnya turut menjamin kesihatan. Selain itu, menjaga kebersihan juga merupakan satu ibadah yang diwajibkan ke atas manusia, dan konsep kebersihan dianjurkan oleh Islam turut memastikan alam sekitar terurus dan terpelihara.
Malah, jika ditinjau dalam mana-mana buku syariat Islam, bahagian pertama yang dibahaskan ialah bab thaharah atau bersuci. Dalam erti kata lain, aspek kebersihan merupakan pelajaran pertama yang dipelajari oleh setiap umat Islam apabila mempelajari bidang fiqh. Ini kerana, kebersihan merupakan kunci kepada kesempurnaan dan diterimanya ibadah.
Penyucian pula pada dasarnya hanya dapat dilakukan dengan air. Persoalannya, bagaimana proses ini dapat dilakukan dengan baik jika semua punca bekalan air menjadi tercemar dan memerlukan kos yang sangat tinggi untuk dirawat dan dipulihkan dengan sempurna? Apatah lagi jika bahan-bahan alternatif lain yang turut boleh digunakan dalam proses penyucian (seperti debu tanah) juga tercemar sama.
Ketika membincangkan bab thaharah juga, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman” (Hadith Riwayat Muslim). Rasulullah SAW juga sering berpesan supaya menjaga kebersihan mulut dan gigi, serta menganjurkan supaya menggunakan siwak iaitu sejenis tumbuhan yang digunakan untuk membersihkan gigi. Sabda Rasulullah SAW: “Siwak itu merupakan pembersih mulut dan diredhai Tuhan”.
Penjelasan secara terperinci dalam al-Quran dan hadith berhubung aspek kebersihan diri memberi gambaran yang begitu jelas bahawa menjaga kebersihan merupakan perkara yang sangat penting dan wajib dititikberatkan oleh setiap individu dalam kehidupan seharian bukan sahaja kebersihan diri, tetapi juga kebersihan persekitaran.
Rasulullah SAW pernah memberi peringatan kepada setiap orang Islam supaya menjaga kebersihan rumah dan halaman yang berada di sekeliling mereka, sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Bahawa Allah itu indah dan dia sangat menyukai keindahan, dan Dia sangat menyenangi kebaikan, maka bersihkanlah dan janganlah meniru-niru kelakuan Yahudi.”
Setiap daripada kita perlu menyedari bahawa tanpa alam sekitar yang bersih dan sihat, kesihatan manusia dan makhluk hidupan lain di atas muka bumi juga akan terganggu dan terjejas. Justeru, bagi memastikan alam sekitar yang sihat dan bersih, maka setiap individu perlu bersedia untuk mengubah sikap agar lebih prihatin terhadap aspek kebersihan melalui tindakan yang betul dan sewajarnya sebagaimana yang dituntut oleh Islam.
Hal ini bertepatan denagn Firman Allah SWT dalam Surah ar-Raad, ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan oleh kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya”