Kematangan fahaman Islam di Malaysia perlu diiktiraf dengan memberi ruang kepada keseimbangan dalam rekayasa pembangunan tamadun dengan keselarian di antara tata-aqidah dan muamalah. Bertambahnya sifat ketidakcukupan moral, kemiskinan adab, pengabaian tanggungjawab, penguncupan keseimbangan serta kegagalan perundangan hasil dari kerangka kapitalis dan sekular jelas memerlukan pemulihan. Masa untuk kembali kepada aturan Islami sudah lama tiba, apatah lagi dengan wujudnya desakan keadaan yang ketara.
Semua ini berlaku kerana terdapat ketempangan dalam penekanan baik di peringkat diri, institusi keluarga, masyarakat atau negara. Masyarakat telah terpengaruh dengan acuan sekular dan kapitalis yang berjaya mengubah sistem kepercayaan mereka. Banyak tela’ah boleh diperhalusi, secara umumnya seperti kefahaman tentang konsep kebebasan, kewajaran, kesahihan, keadilan, kekayaan dan sebagainya. Neraca logik sering digunakan berbanding neraca taklifi syarak atau justifikasi iman untuk mengawal selia tingkahlaku.
Masalah tahap kebijaksanaan dalam memacu kemajuan, ternyata memberi gambaran bahawa aturan tamadun islami tidak seimbang atau secara khususnya sistem kepercayaan Islami mulai pudar. Persoalan mencari keredhaan Allah dalam melaksanakan aktiviti seharian makin diabaikan. Apalagi ketetapan hati terhadap keperluan unsur-unsur keimanan lain seperti persoalan pembalasan, dosa dan pahala dan sebagainya.
Penggunaan laman web, media, telefon bimbit dan berbagai kemajuan lain sering menjerumuskan kepada gejala yang bukan saja tidak sihat tetapi parah di kalangan generasi muda seolah-olah segala tindakan tersebut tidak akan diadili dan dunia dianggap kesempatan untuk mencari kepuasan.
Dalam konteks yang lebih besar, memang tidak dinafikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpotensi menjadi medan pusat kebangkitan Islam dari pelbagai sudut. Sebut saja pasaran kewangan dan perbankan, pendidikan dan pelajaran, pasaran barangan dan perkhidmatan, busana dan penampilan, kajian dan penerbitan, pengurusan dan banyak lagi. Penekanan kepada muamalah islami amat ketara berkesan malangnya persoalan pegangan dan akhlak diabaikan di dalam sistem. Kes-kes sosial seperti pergaulan dan seks bebas, pembuangan bayi, keruntuhan institusi kekeluargaan dan banyak lagi bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan.
Kemungkinan ini ada kaitan dengan kecenderungan masyarakat. Apa yang dipentingkan ialah rupa luarnya nampak Islam, maka aspek keimanan diabaikan. Imam Malik pernah menukilkan bahawa barangsiapa yang berfekah dengan tanpa bertasauf, maka mereka akan tergolong dalam golongan yang fasik (rosak). Kebenarannya ternyata apabila berlaku kerosakan dalam sistem akhlak masyarakat terutamanya golongan pelapis baru.
Memang iman tidak boleh diwarisi tetapi bukanlah tiket untuk mengabaikan. Penekanan kepada sistem kepercayaan sebenar berupaya memancarkan jatidiri. Apa yang disimbahkan oleh kemajuan, media, sains dan teknologi atau sumber-sumber pendidikan tamadun di negara ini agak tempang atau mungkinkah virus fahaman sekular telah sebati menyerapi sistem ketahanan kepercayaan.
Memang tidak dinafikan bahawa masyarakat terdedah dengan berbagai pilihan, apalagi pengaruh budaya yang sifatnya tiada sempadan. Namun, membuat keputusan dan memilih masih menjadi salah satu dari amanah yang telah dipikulkan ke bahu mereka yang bertanggungjawab. Ibubapa, guru-guru dan masyarakat masih boleh menyedari dan berperanan.
Kebimbangan yang perlu ada ialah, kecenderungan semasa akan menjadi kepompong faham rupa dan bentuk berbanding asas aqidah. Itulah menjadi sebab kenapa anak-anak atau muda-mudi sering ditekankan tentang apa dan bagaimana berbanding kenapa dalam melaksanakan sesuatu. Apa dan bagaimana sebenarnya boleh hadir kemudian atau dicetuskan hanya sekiranya telah wujud landasan justifikasi kenapa.
Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa dan harta, tetapi melihat jiwa dan amalan yang dilaksanakan. Saringan berpandukan al-Quran dan sunnah merupakan asas kepada keseluruhan aturan Islami disokong dengan penjelasan intelektual lampau yang digali dari khazanah ilmu. Dasar ini merupakan asas utama untuk menapis segala kepincangan yang berlaku kerana berupaya memberitahu apa dan bagaimana sesuatu sewajarnya dilakukan. Al-Quran sendiri menekankan aqidah dengan melihat tempoh penurunannya yang mengambil masa 13 tahun (di Mekah), berbanding hal-ehwal siasah diri, institusi dan negara selama 10 tahun (di Madinah). Begitulah juga sirah yang memahatkan perjuangan dakwah terhadap aqidah.
Batas-batas akhlak akan roboh sekiranya sistem kepercayaan dan keimanan mula pincang. Kita telah menyaksikan gelombang kikir dan resah menanam symptom penyakit-penyakit orang tidak bersyukur dan tekanan perasaan riak. Persaingan meningkatkan perolehan harta dan kemewahan berlaku dengan kasar sekali sehingga ada yang melanggar syarak apalagi soal dasar dalam tata-aqidah. Wujud pula sombong, bangga diri serta pentingkan diri sendiri. Bangkitlah pencemaran akhlak yang bakal menempangkan masyarakat dengan kemusnahan bermula dari dilemma diri, institusi kekeluargaan seterusnya struktur masyarakat. Sempadan-sempadan adab yang sepatutnya menjadi corak yang indah dalam kehidupan menjadi semakin lengang. Pegangan kepada aqidah keagamaan telah menghakis kemuliaan pekerti. Inilah masalah besar yang berlaku dalam cernaan pembangunan tamadun, yang kebanyakkannya mengambil kemajuan agar menjadi diri yang terjajah.
Masyarakat sering didedahkan dengan berbagai kaedah-kaedah atau ‘parameter’ untuk membentuk amalan muamalah islami tetapi meminggirkan kaedah pembentukan aqidah dan akhlak. Akhirnya menjadikan masyarakat sebagai individu yang nafsu nafsi dan mementingkan penampilan luaran yang bersifat islami berbanding pegangan dan keyakinan islami. Sudah terlalu lama masyarakat dibiarkan keintelektualannya terjajah dengan kerangka ciptaan kapitalis dan sekular. Islam telah mengangkat aturannya menjadi terulung dalam sejarah menandingi kemajuan tamadun barat kerana kesyumulannya. Intipati agama yang mendasari kemajuan ini adalah asas murni sebagai tonggak pembinaan tamadun.