Kita baru sahaja menyambut Aidilfitri pada 2 Mei 2022 yang bersekali dengan sambutan Hari Buruh pada 1 Mei 2022 iaitu hari Ahad yang dianjak ke hari Rabu. Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan amalan yang disyariatkan oleh Allah SWT supaya kita bertakbir pada 1 Syawal untuk mengagungkan Allah SWT dan seterusnya supaya kita sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT berikan ini sebagaimana firman Allah SWT mafhumnya “ … dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah:185).
Apa yang menarik, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2022 ini adalah secara mengejut berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini yang sudah tentu memberi kita pengalaman menarik. Berbagai-bagai pengalaman ini dikongsikan di media sosial.
Namun, apa yang saya ingin kongsikan dalam tulisan ini ialah berkaitan dengan satu isu besar yang sentiasa berulang-ulang setiap kali sambutan Hari Raya. Isu tersebut ialah kesesakan di jalan raya atau traffic jam. Isu kesesakan jalan raya tidak pernah selesai setiap kali menyambut Hari Raya dan kita tidak tahu sampai bila perkara ini akan berlanjutan. Namun, saya percaya bahawa tidak ada masalah yang tidak boleh diselesai selama mana kita cuba menyelesaikannya.
Mari kita renung sejenak dari segi sejarah pembinaan lebuh raya di Malaysia yang merupakan idea Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada peringkat awal pembinaan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ialah di antara Kuala Lumpur dengan Seremban yang telah siap dibina oleh Kerajaan Malaysia bawah kelolaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Pembinaan seterusnya adalah melalui projek penswastaan bermula dari tahun 1988 dan siap pada tahun 1995 yang meliputi jarak 772 kilometer dari sempadan Thailand sehingga ke Johor. [Doktor Umum 2012, muka surat 583].
Pada sekitar tahun 1986 hingga sekarang, saya merupakan antara berjuta pengguna jalan raya dan pada ketika itu saya masih ingat lagi Projek Lebuhraya Utara Selatan menjanjikan keselesaan kepada pengguna dari segala segi. Pada waktu itu, memandu di dua lorong di antara Ipoh dengan Kuala Lumpur amat selesa kerana kenderaan tidak begitu banyak. Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) sentiasa menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi. Garisan putih putus-putus di lebuh raya sentiasa terang dan jelas terutama ketika memandu pada waktu malam walaupun hujan lebat. Saya kerap kali melihat kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi. Setiap kali musim perayaan, ramai yang memilih untuk menggunakan lebuh raya kerana keselesaan untuk balik ke kampung masing-masing.
Begitu juga dengan Lebuhraya Timur Barat (Laluan Persekutuan) yang mula dibina sekitar tahun 1970 hingga tahun 1982 bagi menghubungkan Gerik di negeri Perak dengan Jeli di Kelantan. Projek ini menelan belanja RM296 juta meliputi jalan sepanjang 123 kilometer. Pada peringkat awal saya melalui laluan ini, ia memberikan pemandangan yang cukup menarik dengan udara segar dan nyaman. Hampir sepanjang jalan terdapat kem tentera yang menjaga keselamatan pengguna ketika itu.
Namun kini setelah hampir 36 tahun berlalu, keadaan kedua-dua lebuh raya ini telah jauh berbeza. Projek Lebuhraya Utara Selatan tidak lagi mampu untuk menampung kebanjiran pengguna pada musim perayaan. Jalan raya yang penuh sesak dan R&R yang padat dengan manusia sehingga amat sukar mencari tempat untuk meletak kereta. Jalan dua lorong di antara Ipoh dengan Slim River amat mencabar pada waktu malam yang penuh dengan berbagai-bagai jenis lori. Setelah 36 tahun berlalu, saya sebagai pengguna membayangkan kita telah mempunyai laluan sekurang-kurangnya tiga lorong dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atau mungkin hingga ke Perlis.
Begitu juga Lebuhraya Timur Barat yang berlubang di sana sini. Jika kita melalui perjalanan dari Kuala Kangsar melalui Lenggong dan Gerik, pemanduan melalui jalan ini amat mencabar sekali terutama pada waktu malam. Keadaan gelap gelita sehingga tidak kelihatan lagi garis putih putus-putus di atas jalan. Kita hanya mampu bertawakal agar tidak ditimpa kemalangan ketika kita memandu.
Data daripada firma bebas Zutobi mendedahkan Malaysia berada di kedudukan 10 teratas sebagai negara paling berbahaya di dunia untuk dipandu kenderaan. Data juga menunjukkan Afrika Selatan masih lagi negara paling berbahaya di dunia untuk dipandu kenderaan dengan skor yang membimbangkan iaitu 3.41 daripada 10.
Menurut Zutobi lagi, Malaysia mencatatkan markah keselamatan hanya 5.63 daripada 10 markah penuh. Malaysia juga merekodkan 22.5 markah untuk kematian laluan trafik bagi setiap 100,000 penduduknya, iaitu kedua tertinggi selepas Thailand yang mencatatkan skor 32.3. (New Straits Times, 14 Mei 2022).
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razaruddin Husain sebanyak 113 kes kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam “Op Selamat” baru-baru ini, dan juga sejumlah 9,816 kemalangan dilaporkan. (Bernama, 5 Mei 2022).
Baru-baru ini, pada tengah malam Rabu 11 Mei 2022, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan yang menyebabkan lima penuntut Universiti Azlan Shah, Perak rentung apabila sebuah treler melanggar kenderaan mereka berhampiran Terowong Menora di kilometer 245.2. Memandu di laluan ini bagi sesetengah pengguna jalan raya amat menggerunkan. Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Anis, daripada 17 kemalangan di laluan ini dalam tempoh setahun, 11 kes melibatkan kenderaan berat iaitu lori dan treler yang terbabit dalam kemalangan disebabkan terbabas dan terbakar. (Sinar Harian, 14 Mei 2022).
Saya berpandangan lebuh raya ini perlu ditambah lorong-lorong atas faktor keselamatan. Jika kita lihat lebuh raya di luar negara, misalnya Interstate 10, Amerika Syarikat mempunyai 26 lorong, lebuh raya Naypyidaw, Myanmar mempunyai 20 lorong, King Highway401, Kanada mempunyai 18 lorong, New Jersey Turnpike, Amerika Syarikat mempunyai 18 lorong dan Interstate 75, Amerika Syarikat mempunyai 16 lorong.
Akhir sekali, agama Islam amat menganjur umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara keselamatan diri, akal, nyawa, harta dan agama yang disebutkan juga sebagai maqasid syariah. Agama kita juga menganjurkan umatnya supaya berikhtiar sedaya-upaya menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan dan membawakan kebinasaan dengan menjaga lima perkara tersebut. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah al-Baqarah ayat 195:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan agama Allah) dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihani orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”