Saban tahun bermula dari 1992, tanggal 10 Oktober dikhaskan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Pada tahun ini, hari berkenaan disambut dalam suasana masyarakat manusia seluruh dunia diuji dengan wabak COVID-19.
Pada tahun ini juga, kira-kira dua bulan lebih awal, iaitu pada 6 Ogos, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, melancarkan karya umum berjudul Minda Maqasid yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Tanpa dapat dinafikan, kesihatan mental kini lebih mendapat perhatian dan liputan berbanding beberapa dekad terdahulu.
Wacana dalam pelbagai bentuk, termasuk karya digital dan bercetak, perihal kesihatan mental semakin mudah didapati untuk bacaan awal atau rujukan lanjut.
Namun, mauduk ini masih belum betul-betul digarap secara ilmiah dalam ruang-lingkup perbahasan Maqasid Shariah, khasnya yang berkaitan pemeliharaan akal (hifz al-‘aql) dan pemeliharaan diri atau nyawa (hifz al-nafs).
Sekiranya usaha ilmiah sebegini hendak dilakukan, antara perkara-perkara yang perlu diteliti adalah persoalan-persoalan yang berkaitan dengan kenisbian atau kemuktamadan fahaman perihal kesihatan mental dan penyakit mental.
Apakah fahaman tentang kesihatan mental dalam kalangan masyarakat terpelajar, khasnya dalam jurusan perubatan, betul-betul objektif?
Atau apakah semua itu kategori konseptual yang berubah-ubah, malah dapat dimanipulasi mengikut acuan, agenda dan percaturan kuasa pihak-pihak tertentu?
Mengapa, misalnya, kecenderungan homoseksual dikategorikan oleh American Psychiatric Association (APA) sehingga 1973 sebagai penyakit mental tetapi kini tiada lagi digolongkan sedemikian itu?
Mengapa tindakan yang sama juga dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1990?
Apakah kategori-kategori ini serelatif pembahagian normativity-abnormality sebagaimana yang cuba dihujahkan oleh pemikir Barat seperti Michel Foucault lewat beberapa karyanya?
Malah, satu usaha asas yang tidak dapat dielakkan dalam menjawab persoalan-persoalan di atas adalah penjelasan yang tuntas tentang apa yang dimaksudkan dengan “minda” (mind) justeru kerana perkataan “mental” itu ialah kata sifat yang berkait dengan minda atau terbit daripadanya.
Justeru, penting untuk kita turut fahami susur-galur penggunaan perkataan dan konsep “minda,” khasnya sebagaimana yang berlaku dalam sejarah Tamadun Barat Moden.
Apa kaitan kata dan faham itu dengan istilah-istilah lain seperti reason, intellect, dan intelligence yang turut digunakan?
Apa pula persamaan dan perbezaan semua itu apabila dibandingkan dengan istilah-istilah yang kerap dirujuk dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam dan Peradaban Melayu seperti akal, roh, kalbu, jiwa, diri, nyawa dan yang lain-lain seumpamanya?
Bagaimana kedudukan penyakit-penyakit hati atau jiwa yang dibahaskan dalam Ilmu Psikologi dan Akhlak Islam (khas Ilmu Tasawwuf) seperti hasad-dengki, kesombongan-takabbur, kebakhilan, keborosan, kebaculan, keraguan, was-was dan yang lain-lain seumpamanya berhubung dengan penyakit-penyakit mental dalam senarai antarabangsa semasa?
Tatkala sampai kepada peringkat perbahasan yang sangat mendasar ini nanti, kecenderungan-kecenderungan asing yang sangat bermudarat seperti reductionism, naturalism, physicalism, dan materialism sebagai pelbagai jelmaan anutan sekular, akan perlu diselidiki dan disaring agar ketinggian dan keluasan makna hakikat dan kebenaran yang terkandung dalam istilah-istilah Islami itu tidak disempitkan kepada yang rendah semata-mata, yakni yang zahir dan jasmani sahaja.
Semua isu yang disebutkan di atas, lebih-lebih lagi apabila dibahaskan dalam ruang lingkup insan sebagai makhluk istimewa dan dikaitkan pula dengan hakikat hubungan antara akal sebagai kewujudan rohaniah dan otak sebagai kewujudan jasadiah, lambat laun akan menjurus kepada hakikat kehidupan juga.
Pada tahap ini nanti, timbul pula persoalan-persoalan lain yang lebih mendasar, seperti: apakah ada tujuan dan makna dalam kehidupan ini?
Apakah kehidupan yang sedang kita alami kini satu-satunya kehidupan?
Apakah selepas hidup ini, akan ada kehidupan lain yang gerbangnya ialah kematian?
Apa hakikat kehidupan seterusnya itu?
Apakah kehidupan tersebut rohaniah semata-mata, atau bersifat kesepaduan roh dan jasad?
Semua yang dinyatakan di atas sedikit-sebanyak menayangkan luasan ruang-lingkup pencarian yang memerlukan para ahli ilmu perihal Agama Islam dan pengetahuan sains (termasuk jurusan perubatan) duduk berbahas dengan tekun dalam suasana tertib dan beradab.
Sebagai satu langkah untuk memulakan perbahasan itu, IKIM sendiri dengan kerjasama Jabatan Neurosains, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan satu kajian bersama yang antara lain menghasilkan karya rujukan awal bertajuk Islam, Kesihatan Mental dan Neuropsikiatri yang diterbitkan pada pertengahan tahun ini.
Namun, langkah permulaan ini perlu diteruskan oleh pelbagai pihak yang berkelayakan kerana masih banyak isu dan tema berkaitan kesihatan mental yang mustahak digarap secara ilmiah dari sudut pandang Islam.