Ramadan kini berada dalam bahagiannya yang terakhir dan hampir sampai ke penghujungnya. Bagi mereka yang melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan demi mengharapkan keredaan Allah s.w.t., pastilah saat-saat akhir ini menjadikan mereka lebih bersemangat menggandakan amal salih dan kebajikan. Semuanya dengan tujuan bagi mencapai matlamat ibadah puasa disyari`atkan, iaitu bagi mencapai tahap muttaqin (golongan yang bertaqwa). Sehubungan itu, dalam usaha mencapai tahap tersebut sudah pastilah hidayah dan petunjuk diperlukan. Hidayah dan petunjuk Ilahi ini pula ialah al-Qur’an atau al-Kitab yang penurunannya berlaku pada bulan Ramadan. Allah s.w.t. berfirman, “Kitab al-Qur’an ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 2 : 2)
Demikian pula dijelaskan seterusnya dalam ayat 185, surah yang sama, “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Qur’an menjadi pentunjuk bagi sekalian manusia….” Al-Imam al-Ghazali r.h. dalam kitabnya, “Bidayah al-Hidayah” (Permulaan Jalan Hidayah) menegaskan bahawa permulaan jalan hidayah ialah ketaqwaan zahir dan kesudahan jalan hidayah merupakan ketaqwaan batin. Menurut beliau, petunjuk hanya akan diperoleh oleh orang yang berusaha menyediakan dirinya supaya menjadi orang yang bertaqwa. Imam al-Ghazali turut menjelaskan bahawa ketaqwaan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan kedua, dengan meninggalkan larangan-Nya.
Setelah berlalunya bahagian pertama dan kedua Ramadan, wajarlah kita bermuhasabah sama ada kita benar-benar berusaha mencapai matlamat kita melaksanakan ibadah puasa, iaitu bagi menyemai ketaqwaan dalam diri atau pula sebaliknya kita sama sekali tidak berusaha bagi mencapai matlamat tersebut. Ibadah puasa dilaksanakan hanya dengan menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula dengan terbit fajar sehingga terbenamnya matahari dan tidak lebih daripada itu. Dengan kata-kata lain, ia hanyalah merupakan peringkat puasa umum atau puasa orang awam. Jika itu keadaannya, maka jadilah kita sebagai sebahagian daripada orang yang rugi dan tercela. Maka sesudah berlalunya Ramadan kelak tiada sebarang peningkatan yang dicapai dalam jalinan hubungan dan ketaatan terhadap Allah s.w.t. Terdapat satu kaedah dalam Islam yang mengatakan, “Apa yang tidak dapat dilakukan keseluruhannya maka usahlah ditinggalkan keseluruhannya.” Kita tidak akan dicela jika tidak dapat mencapai peringkat ketaqwaan tertinggi tetapi kita dicela kerana tidak melakukan sebarang usaha, sedangkan kita masih berkemampuan.
Selain bermuhasabah tentang hubungan kita dengan Allah dan ketaatan terhadap-Nya dalam mematuhi perintah serta menjauhi larangan-Nya, kita juga wajar menilai sejauh mana ibadah puasa yang telah dilaksanakan dapat mendorong kita untuk memperbaiki serta mengukuhkan hubungan kita dengan sesama manusia. Justeru itu, hitung dan nilailah sama ada kekusutan dan perbalahan yang berlaku telah pun dileraikan. Atau sebaliknya sehingga saat ini kita masih belum bertegur sapa dan bersedia memaafkan rakan sekerja, ahli keluarga dan sahabat-handai? Amat malang bagi kita sekiranya pada bulan yang menjanjikan keampunan Allah ini, kita pula masih bersengketa dan bermusuhan serta tidak bersedia untuk saling memaafkan antara satu dengan yang lain. Sedangkan pada hakikatnya kita mengetahui bahawa kesepakatan, perpaduan dan kesatuan amat penting bagi kemajuan dan keutuhan ummah selain dapat mematahkan perancangan musuh bagi menghancurkan agama Islam serta umatnya.
Al-Qur’an merakamkan pujian terhadap orang yang lebih suka memaafkan dan menjernihkan hubungan. Allah s.w.t. berfirman, “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang yang melakukan perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali `Imran 3 : 133). Sementara dalam Hadith daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, (maksudnya) `Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta dan tidaklah Allah menambahkan bagi hamba yang suka memaafkan (kesilapan orang lain) melainkan kemuliaan, dan tidaklah seseorang itu tunduk tawaduk kepada Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.”
Dalam persoalan pemeliharaan hubungan antara sesama Muslim ini juga sebenarnya ini, agama Islam menggariskan peranan yang perlu dilaksanakan oleh pihak ketiga, iaitu pendamai bagi menjernihkan hubungan antara pihak-pihak yang bersengketa. Al-Qur’an menggariskan peranan penting ini kerana ia akhirnya dapat mengelakkan kezaliman terhadap salah satu pihak tersebut dan akhirnya dapat menyatukan kembali kedua-duanya. “Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka tentanglah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujurat 49 : 9)
Dalam hubungan ini, amat wajar tindakan yang diambil oleh al-Hasan bin `Ali r.a. bagi mengelakkan perpecahan dan pertumpahan darah umat Islam terus berlaku, dijadikan iktibar. Selepas `Ali r.a. meninggal dunia, penyokong-penyokong beliau terus memberikan bai`ah kepada puteranya, al-Hasan. Penyokong-penyokong tersebut mahu meneruskan niat mereka untuk membunuh Mu`awiyah namun dibantah oleh al-Hasan. Sebaliknya al-Hasan mengutus surat perdamaian kepada Mu`awiyah yang diterima oleh Mu`awiyah dengan perasaan gembira. Mu`awiyah pun berangkat ke Kufah pada bulan Rabi`ul Awal tahun 41 H., iaitu selepas enam bulan al-Hasan menjalankan tugas sebagai khalifah. Al-Hasan dan al-Husain memberikan bai`ah kepadanya dan langkah itu dituruti oleh sekalian umat Islam. Dengan yang demikian, tertegaklah Kerajaan Umayyah secara rasmi dan Mu`awiyah menjadi khalifah bagi umat Islam keseluruhannya.
Umat Islam begitu gembira dengan perdamaian yang dapat diwujudkan dan mereka bersyukur kerana segala bentuk fitnah serta pertumpahan darah dapat dihentikan serta-merta. Majoriti `ulama’ Ahl-Sunnah memuji tindakan yang diambil oleh al-Hasan sehingga berjaya menyatukan kembali umat Islam yang dilanda persengketaan, kebencian dan permusuhan. Mereka juga menegaskan bahawa tindakannya itu menegaskan lagi kenabian datuknya, Muhammad s.a.w. yang bersabda, “Kanak-kanak ini merupakan penghulu, semoga Allah mendamaikan dengannya dua buah kumpulan umat Islam yang besar.”