PERISTIWA atau pengalaman trauma adalah satu perkara yang berlaku tanpa diundang atau dijangka. Malah kebanyakan individu tidak sanggup untuk berdepan dengan pengalaman traumatik.
Ini kerana peristiwa traumatik amat menakutkan, mengejutkan dan mengerikan. Sesuatu peristiwa dianggap terlalu mengerikan atau menakutkan mampu mencetuskan pengalaman traumatik yang akan mendatangkan kesan mendalam terhadap kestabilan mental dan emosi seseorang individu.
Trauma sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu trauma fizikal dan psikologikal. Trauma fizikal ialah peristiwa yang mendatangkan kecederaan atau kecacatan secara lahir seperti kemalangan atau kebakaran. Trauma psikologikal pula ialah satu kejutan mental dan emosi yang amat mendalam, berlaku akibat daripada peristiwa mencemaskan dan menakutkan seperti kemalangan, kematian atau kecurian.
Tetapi trauma psikologikal boleh juga berlaku disebabkan kesan daripada kecederaan fizikal. Selain daripada kecacatan anggota fizikal, menghidapi sesuatu penyakit berbahaya sering kali juga menjadi punca seseorang menghidapi trauma psikologi yang kronik.
Sememangnya tidak dinafikan bahawa trauma psikologi kronik akan mendatangkan risiko gejala gangguan mental dan penyakit fizikal lain. Selain itu, ia turut mengganggu fungsi sosial, akademik dan kerjaya mereka yang terbabit. Sebagaimana gejala gangguan mental boleh berlaku akibat kesan trauma yang kronik sama ada kerana faktor fizikal mahupun psikologikal, gangguan mental kronik juga turut mendatangkan kesan trauma psikologikal lain.
Sebagai contohnya, individu yang mengalami trauma kerana terbabit dengan kemalangan jalan raya yang mengerikan, sama ada mengakibatkan kecederaan parah ataupun kecacatan fizikal kepadanya sudah pasti mengalami kejutan dahsyat yang boleh menjejaskan kestabilan mental dan emosinya.
Kebiasaannya ketidakstabilan psikologikal seperti rasa terkejut, takut dan cemas selain rasa sedih dan mungkin juga rasa bersalah dalam dirinya akan berlaku dalam tempoh beberapa hari selepas insiden. Dalam tempoh itu, besar kemungkinan individu berkenaan yang dihantui oleh pengalaman menakutkan itu, merasakan satu kelainan dan perubahan besar dalam diri dan kehidupannya berpunca daripada peristiwa berkenaan.
Mangsa akan mendapati dirinya kini sudah serba kekurangan, ada kecacatan dan mungkin juga penyakit, tidak sesihat dan secergas seperti dulu lagi dan berasa satu kehilangan besar berlaku dalam hidupnya.
Akibatnya, mangsa mengalami lebih banyak gangguan mental dan emosi seperti kemurungan, gangguan tidur dan bermimpi ngeri, tahap motivasi dan tumpuan yang semakin menurun dan hilang selera makan. Akhirnya, ketidakstabilan mental dan emosi ini berterusan sehingga berbulan-bulan lamanya sehingga memerlukan rawatan psikologikal pula. Ini ialah contoh bagaimana trauma fizikal yang dialami mengakibatkan trauma psikologikal.
Sebenarnya ia satu bonus kepada mana-mana individu sekiranya mereka mampu mengawal diri ketika berhadapan dengan suasana traumatik sama ada berbentuk fizikal, lebih-lebih lagi psikologikal. Ini kerana trauma psikologikal lebih sukar dan kabur untuk dikenal pasti, menjadikan usaha rawatan dan pemulihan turut menjadi rumit. Memahaminya akan mendatangkan kebaikan dari segi penyembuhan dan pencegahan terhadap gangguan jiwa sebelum terlambat dan menjadi lebih parah.
Hakikatnya, langkah seperti yang akan dijelaskan nanti akan memberikan nafas baru kepada individu apabila bergelut dengan suasana traumatik. Ia akan mendatangkan persediaan yang mantap bagi mereka untuk menghadapi keadaan tidak menentu pada suatu masa nanti kerana dalam kehidupan akan sering berlaku kejadian yang tidak diingini, biasanya yang menakutkan dan mengganggu minda dan emosi, berlaku tanpa diundang atau tanpa dapat dijangka dan dihalang oleh sesiapa pun.
Antaranya:
Memahami bagaimana peristiwa mendatangkan kesan trauma itu berlaku – Bagaimana manusia boleh terjebak ke dalam perangkap trauma dan adakah bentuk peristiwa yang traumatik itu boleh menggugat kestabilan jiwa mereka perlulah difahami.
Sememangnya banyak peristiwa yang berlaku di sekeliling kita tidak diduga kejadiannya terutamanya peristiwa yang tidak disukai seperti kemalangan atau kematian. Lumrah manusia mencari perkara yang disukai saja, manakala mereka akan menjauhkan diri daripada semua perkara dibenci atau menakutkan.
Namun kebanyakan manusia tidak memahami pengertian di sebalik setiap peristiwa yang berlaku kerana ketakutan menguasai diri. Kesan traumatik menjadi kurang jika mereka melihat peristiwa yang berlaku dari perspektif positif dan lebih rasional.
Mengenal pasti apakah kesan belenggu trauma ke atas diri – Beberapa peringatan boleh diberi perhatian seperti menilai tahap kestabilan mental dan emosi sendiri apabila berdepan peristiwa traumatik. Kesan ini boleh dirasai seperti sering teringat peristiwa yang berlaku, mengalami perubahan mental dan emosi berbeza daripada biasa atau sering berfikir dan berusaha dengan pelbagai cara untuk melupakan peristiwa itu.
Memang sudah pasti, individu yang mengalami sendiri peristiwa trauma sering menerima kesan lebih kuat berbanding individu yang hanya melihat atau mendengarnya saja. Begitu juga individu yang paling hampir dengan mangsa traumatik sama ada melalui pertalian darah atau emosi juga akan menerima kesan traumatik kuat. Perubahan ini berlaku kerana mereka sedang berdepan dengan suatu peristiwa yang amat signifikan dalam hidup mereka, tetapi dilihat dari perspektif trauma.
Menerima peristiwa trauma secara positif – Ini adalah langkah paling sukar untuk dilakukan kerana majoriti manusia amat sukar menerima perkara yang mereka benci atau takuti, lebih-lebih lagi jika ia berlaku kepada diri atau sesiapa jua yang mempunyai hubungan penting dalam hidup mereka seperti kemalangan atau kematian, kecurangan, kegagalan perniagaan, kehilangan kerjaya atau harta benda serta peperangan.
Individu perlu menerima bahawa peristiwa trauma yang berlaku ialah lumrah kehidupan yang biasanya boleh berlaku kepada sesiapa saja dan menganggapnya sebagai peningkatan kepada pengajaran, pengalaman dan kematangan hidup. Dalam Islam, umatnya diajar bahawa mereka akan sering menempuhi banyak halangan dan cubaan, semuanya ialah ujian Tuhan yang bertujuan menghapuskan dosa mereka, seterusnya akan menjadikan mereka lebih bertakwa dan bersabar dalam menjalani kehidupan.
Memantau tahap daya tahan diri terhadap trauma – Perkara lain yang sama penting dalam kemahiran menghadapi trauma ialah kebolehan menilai dan memantau tahap keupayaan diri untuk berdepan dengan peristiwa traumatik. Ini adalah peringkat kemuncak kesedaran individu selepas memiliki kemahiran mengendalikan trauma. Dengan kebolehan ini, mereka akan menjadi lebih bersedia dan terbuka serta mampu bertindak secara lebih matang apabila berdepan dengan perkara yang tidak diduga.
Peristiwa dan kejadian trauma sudah tentu akan mengakibatkan keresahan dan gangguan kepada manusia dan mendatangkan kesan buruk. Perlu difahami bahawa ada perbezaan individu ketika berdepan dengan peristiwa mencemaskan atau mengerikan kerana ada sesetengah individu mempunyai keupayaan tersendiri ketika berdepan dengan suasana traumatik.
Lantaran itu, tidak hairanlah jika kita dapati ada mereka yang seolah-olah tidak menunjukkan sebarang gangguan diri yang ketara apabila menghadapi kepayahan hidup berbanding individu lain walaupun mereka berdepan dengan masalah sama.