Di samping kehilangan, kita juga sentiasa dipaparkan dengan berita kanak-kanak cedera bahkan meninggal dunia dek dilanggar kenderaan ibu bapa atau saudara di halaman rumah. Begitu juga ada kes kanak-kanak meninggal dunia kerana tertinggal di dalam kereta ketika ibu bapa tanpa sengaja atau sibuk melakukan perkara lain sehingga terlupa anak mereka. Dalam kes sebegini semua pihak tidak tergamak menunding jari kepada mana-mana pihak kerana ia berlaku tanpa sengaja dan melibatkan keluarga terdekat mangsa.
Sememangnya negara kita mempunyai Akta Kanak-Kanak 2001 yang antara lain menekankan bahawa adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak dan sebagainya. Akta Kanak-kanak, Seksyen 33 ada menyebut mengenai kesalahan ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak-anak tanpa pengawasan orang dewasa atau meninggalkan anak-anak untuk suatu tempoh yang tidak munasabah atau membiarkan mereka dalam keadaan yang tidak munasabah, ibu bapa atau penjaga yang melakukan kesalahan ini, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali tetapi pelaksanaan hukuman ini dilihat seperti bak peribahasa “ditelan mati emak, diludahkan mati bapa”. Ini merupakan satu dilema dari aspek penguatkuasaan undang-undang negara.
Dari aspek lain, untuk mengurus risiko keselamatan kanak-kanak ialah melalui pendidikan dan kesedaran masyarakat khasnya ibu bapa dan penjaga. Adalah satu yang fitrah ibu bapa dan penjaga menyayangi dan merasa bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka. Dengan itu, ia amat selari dengan perspektif Syariah yang menekan tanggungjawab ibu dan bapa serta penjaga terhadap anak-anak mereka bukan sahaja dari aspek keselamatan fizikal bahkan juga keselamatan kerohanian anak-anak.
Dalam hal ini nabi SAW menegaskan bahawa setiap kita termasuk ibu bapa adalah penjaga, pemimpin yang mengemudi dan memelihara orang di bawah jagaan khasnya anak-anak. Ini dapat dilihat dalam sabda baginda SAW yang bermaksud “Kamu semua adalah penjaga (pemimpin). Dan kamu semua bertanggungjawab terhadap penjagaan (orang yang dipimpin)”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Jadi menjaga keselamatan anak-anak adalah wajib bagi ibu bapa.
Dalam konteks melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak, maka termasuk juga keperluan menjaga dan mengurus risiko-risiko atau jalan-jalan yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak.
Ini membawa maksud jika situasi tertentu yang pada asalnya nampak selamat kepada keselamatan kanak-kanak tetapi ada ruang yang boleh menjadi sebaliknya maka situasi ini juga perlu dihindari oleh ibu bapa. Ini seperti contoh menyuruh anak yang berumur 6 tahun ke kedai bersendirian, atau meninggalkan sekejap anak di dalam kereta bersendirian dengan menghidupkan enjin untuk membeli surat khabar. Walaupun nampak selamat tetapi keselamatan anak boleh terancam dalam tempoh yang singkat seperti ini.
Maka dalam situasi ini juga Syariah menggesa wajib ibu bapa mencegahnya iaitu ibu bapa sendiri pergi ke kedai atau pun juga turut membawa anak membeli surat khabar.
Dalam satu kaedah fiqh iaitu satu susunan kaedah yang berkaitan dengan hukum-hukum fiqh yang diambil daripada dalil-dalil Syarak terperinci yang bersumberkan Al-Quran dan Sunnah ada menegaskan bahawa “Jika sesuatu perkara menghalang tuntutan wajib, maka perkara itu juga dikira sebagai wajib”.
Dalam konteks ini, risiko atau ruang yang boleh mengancam keselamatan anak-anak juga wajib diambil kira dalam memenuhi tanggunggjawab kita yang wajib sebagai penjaga anak-anak yang masih mentah ini.
Ingatlah bahawa anak-anak kita merupakan sebahagian daripada anugerah Allah SWT yang bukan sahaja bertindak sebagai kesinambungan zuriat kita di atas muka bumi bahkan ia juga merupakan harta yang tidak ternilai sebagai peneman di atas muka bumi dan pembawa berkat dan kebajikan untuk kita ketika berada di perut bumi di alam barzakh dengan doa mereka sebagai anak yang soleh.
Dengan keselamatan anak-anak yang terjamin, ia turut menjaga akal kita daripada rasa tertekan dan mengelakkan daripada rasa kekesalan jika sebarang musibah berlaku angkara kecuaian diri sendiri serta apa yang penting sebenarnya kita berjaya memenuhi tuntutan agama untuk menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anak.