“Jika kita ingin anak-anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberikan makanan yang kotor.” Begitu mendalam ungkapan yang pernah dirakamkan oleh Imam Ghazali rhm. Ia mampu menjadi pedoman buat kita yang senantiasa memandang enteng dengan persoalan makan dan minum.
Betapa ramai umat Islam terperangkap dalam dilema pemilihan makanan. Bukan sekadar makanan daripada unsur haram tetapi cara untuk mendapatkan makanan juga haram tanpa disedari secara sengaja atau tidak. Tidak ada seorang pun orang Islam yang sanggup memakan babi, justeru ia dielakkan. Tetapi masih ramai mereka yang sanggup makan makanan yang dibeli dengan wang hasil daripada menipu, memeras ugut, curi tulang, rasuah dan menzalimi hak orang lain. Kadang-kadang, perkara seumpama ini masih tidak memberi apa-apa kesan buat si pencari nafkah dalam sesebuah keluarga. Mereka merasakan bahawa sumber sebegitu langsung tidak akan menjejaskan kesihatan yang nampak secara zahirnya. Walhal aspek tersebut yang patut didahulukan kerana ia bakal membentuk peribadi dan akhlak seseorang. Keberkatan itu tidak akan nampak secara zahir, tidak dapat dirasakan oleh hati yang telah dikotori dengan sifat-sifat mazmumah dan dosa pahala itu tidak akan dapat dimengertikan oleh sesiapa kerana tidak ada sebarang kesan dampak yang kelihatan. Oleh sebab itu, hati yang lalai akan berterusan dikotori dengan sumber rezeki yang haram tanpa sedikit pun penyesalan.
Hati akan rosak jika memakan makanan haram sedangkan ia umpama raja dalam kerajaan diri kita. Jika baiknya hati, maka kebaikannya akan menyerlahkan seluruh jasad manusia namun, jika hati jahat, maka jahatlah seluruh diri manusia. Justeru, perlu diingatkan, berhati-hatilah dengan apa yang kita makan dan berwaspadalah dengan cara bagaimana kita mendapatkan makanan tersebut. Apa yang kita makan dan cara kita mendapatkannya akan menentukan secara dasarnya persoalan hidup kita dan nasib di akhirat kelak.
Makanan yang haram akan memberi kesan langsung kepada kehidupan seseorang. Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan akhlak seseorang individu turut dipengaruhi oleh makanan yang diambil. Jika diambil daripada sumber yang haram, maka akan terbentuklah individu muslim yang tidak mengikut acuan Islam sebenar. Anak-anak yang tidak berakhlak dengan akhlak Islam, biadap, degil dan melawan cakap adalah antara sikap yang bakal terbit daripada pemakanan yang tidak berasaskan konsep halal dan toyyib. Akhirnya, akan lahir masyarakat yang sarat dengan masalah sosial akibat hidup yang tiada keberkatan berpunca daripada susur galur pemakanan seseorang yang telah menjadi darah daging.
Barangkali masih wujud permasalahan sumber makanan haram yang tidak dititikberatkan berpunca daripada fenomena yang biasa berlaku di sekeliling kita. Bermula daripada majikan yang menindas pekerja, pekerja yang curi tulang, peniaga yang menipu, urusan muamalah yang berunsurkan riba, rasuah yang berleluasa dan banyak lagi. Hakikatnya, ia dikatakan sebagai memperolehi makanan dengan cara yang salah dan mungkar. Inilah yang bakal mengotorkan hati dan fikiran, menggusarkan emosi serta melemahkan fizikal dan semangat untuk melakukan ibadah kepada Allah.
Di dalam satu riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas bahawa seorang sahabat Rasulullah yang terkenal iaitu Saad bin Abu Waqash meminta Rasulullah SAW agar baginda memohon kepada Allah supaya apa sahaja doa permohonannya dikabulkan. Rasulullah SAW bersabda: ” Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tanganNya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan barangsiapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik baginya”.
Tidak dapat disangkal, makanan haram atau syubhah yang disuapkan ke mulut akan mendatangkan kesan kepada tidak termakbulnya doa seseorang, malah lebih dahsyat lagi akan mendapat seksaan api neraka. Maka, dengan itu kesedaran tentang prinsip-prinsip asas yang menunjangi persoalan pemilihan makanan amat penting untuk dihayati dan diamalkan. Apatah lagi, jika muhasabah dilakukan, banyak sekali doa kita barangkali tidak dimakbulkan oleh Allah. Maka, dengan terbitnya kesedaran itu, kita mampu memperbaiki semula segala usaha dalam mencari sesuap nafkah agar diri seterusnya keluarga tidak berterusan menjadi mangsa ketidakpekaan kita dalam membezakan halal dan haram sesuatu makanan. Malah keberkatan dalam mencari sesuap makanan itu harus mendasari kehidupan setiap Muslim sepertimana hadis yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berusaha mencari rezeki atau nafkah untuk keluarganya daripada cara mendapatkan hasil yang halal, maka ia seperti berperang di jalan Allah. Dan sesiapa yang mencari sesuatu yang halal dan menjaga diri daripada sesuatu yang haram, maka dia akan mendapat darjat orang yang syahid.”
Sebagai muslim, kita seharusnya berusaha mencari dan mengatur agar makanan dan minuman yang kita ambil sehari-hari adalah daripada sumber yang halal. Meskipun makanan tersebut adalah berkhasiat contohnya, tetapi unsur dan sumber halal untuk mendapatkannya juga perlu dititikberatkan agar dapat menjaga hati kita daripada dicemari dengan makanan haram yang akan memberi kesan kepada keperibadian kita keseluruhannya. Batas-batas yang baik itu sudah tentu dapat dipertimbangkan oleh akal fikiran manusia bertunjangkan kepada tuntutan yang telah digariskan dalam Islam.
Secara tuntasnya, makanan bukan sekadar perlu dinilai berdasarkan khasiat dan kelazatannya, tetapi yang lebih penting adalah keberkatannya. Di samping berpegang kepada konsep halal dan toyyib dalam pemilihan makanan, sewajarnya perlu juga dihiasi dengan adab-adab makan yang digalakkan dalam Islam. Dengan itu, keberkatan dapat diraih dan ia melambangkan kesyumulan dan keindahan Islam itu sendiri dalam melahirkan generasi yang berkeperibadian mulia dan beradab tinggi.