Tekanan dapat mengancam kehidupan kita, berpengaruh pada ketenteraman di rumah, pekerjaan di pejabat dan tempat kerja yang lain, di sekolah-sekolah dan pelbagai kegiatan yang lain. Tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan. Tekanan adalah apa saja yang menimbulkan perasaan tegang, takut, marah atau kecewa. Akan tetapi jika tekanan yang berlebihan dan berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan jasmani dan aqli. Tekanan dapat timbul dari dalam diri individu itu sendiri tetapi dapat pula timbul dari luar dirinya iaitu dari orang lain serta keadaan disekitarnya. Kepenatan dalam bekerja pada akhirnya dapat menimbulkan tekanan baik jasmani mahupun aqli. Tekanan hidup adalah satu kemestian dalam kehidupan. Setiap yang hidup, selalunya mesti ada merasai tekanan hidup dalam usahanya untuk meneruskan kehidupan. Boleh dikatakan, setiap perasaan yang kita rasakan dan setiap pekerjaan yang kita lakukan, boleh mendatangkan ‘stress’ sekiranya tidak dapat diurus dan diatasi dengan baik.
Berbagai kajian dijalankan untuk menguraikan takrif tekanan dan mencari punca dan jalan penyelesaiannya. Namun, dalam ajaran Islam, manusia telah diajarkan dengan perkara paling dasar yang dapat mengatasi keadaan tekanan ini. Konsep Shahadah yang kita ketahui dengan jelas menafikan unsur lain sebagai lebih berpengaruh kecuali Allah. Begitu juga dalam menjelaskan tentang maksud Qada’ dan Qadar seperti fahaman Ahli Sunnah wal Jama’ah. Apa yang jelas di sini ialah, tekanan sebenarnya berpunca dari penyakit hati, dalaman dan urusan berkenaan dengan roh. Begitulah kesimpulan yang dibuat oleh Rasullullah tentang adanya seketul darah yang sekiranya baik maka baiklah keseluruhan manusia itu iaitu hati.
Dalam kaedah menyelesaikan tekanan perspektif Islam, kita perlu memahami hakikat kehidupan ini dengan cara yang lebih halus dan mendalam. Kegagalan jentera pentadbiran dan pengurusan sesuatu badan atau kelemahan individu tertentu bergantung kepada bagaimana mereka mengurus diri sendiri. Pembentukan rohani muslim yang sejati memerlukan pemahaman yang meliputi segala ciri aqidah atau falsafah, syariah atau kaedah dan akhlak.
Tekanan merupakan fitrah kehidupan manusia. Berdasarkan setengah ayat al-Quran, Allah SWT mengingatkan kita bahawa dalam kehidupan kita tidak akan sunyi dari ujian dan kesusahan. Segala bentuk ujian dan kesusahan itu akan membentuk tekanan-tekanan kepada manusia. Sekiranya kita berjaya menanganinya, maka akan diberi ganjaran pahala di sisi Allah SWT, akan tetapi jika gagal maka akan hanya mendapat kekecewaan yang pelbagai bentuk dan rupa. Tekanan selalu dikaitkan dengan keadaan buruk, kerana dengan tekanan seseorang boleh berubah sikap/sifat secara mengejut seperti : lekas marah, merasa malu, muram, mudah letih, gugup, rendah diri, merasa sunyi dan sebagainya. Antara tanda-tanda yang mempengaruhi sikap ialah selalu ponteng kerja, kurang akrab dengan rakan sekerja, malas bekerja, tidak mematuhi peraturan kerja, hasil kerja yang tidak memuaskan dan banyak lagi.
‘Stress’ perlu ada di dalam setiap individu yang berkebolehan. ‘Stress’ yang seperti inilah yang dapat merubah nasib sesuatu kaum kerana ianya menyebabkan masyarakat kaum tadi berusaha dengan lebih gigih lagi dan berfikir dengan lebih mendalam lagi. Akan tetapi, ‘stress’ yang keterlaluan dan yang tidak dipimpin keimanan dan kewarasan akal boleh membahayakan.
Para pengkaji telah memberikan beberapa jenis atau punca tekanan dalam organisasi seperti waktu bekerja yang panjang (tekanan kerja), maklumbalas yang buruk, kurang sokongan, sentiasa dinilai dan ditegur, terjadinya kejadian yang terlalu banyak dalam masa yang pendek, kehilangan, kebosanan, kekecewaan, ketidakseimbangan jasmani, perubahan corak kehidupan, masalah keretakan rumahtangga, hutang yang banyak, banyak melakukan dosa dan jenayah. Tetapi yang paling penting di sini ialah tidak redha dengan ketentuan Allah SWT (qada’ dan qadar), tidak bersyukur dengan nikmat yang ada, punca dalaman (hati yang kotor, ingkar), pegangan hidup yang buruk, pengurusan kendiri yang lemah (kelemahan pengurusan masa) dan suka mencari kelemahan orang bagi menutup kelemahan diri.
Semua punca-punca ini kemudiannya akan mempengaruhi akal fikiran dan kemudiannya jasmani individu tersebut dari segi penyakit, ketegangan otot-otot, denyutan jantung yang laju dan tidak tetap, sakit kepala, rasa letih, lesu dan berbagai lain lagi.
Cara menguruskan tekanan yang paling berkesan ialah dengan memahami secara tepat dan menyeluruh tentang pandangan hidup dan tasawuf Islam sama ada dari segi penghayatan ibadah atau penyelarasan aqidah dan niat dengan kehidupan seharian, dan yang paling mustahak ialah memahami dan menghayati apakah matlamat hidup kita.
Secara teraturnya, dalam mengubati tekanan boleh dicirikan secara menegak dan melintang.
Hanya dengan berzikir dan mengingati Allah akan menimbulkan rasa tawakkal dan perasaan menyerah diri kepada Allah SWT. Sekiranya apa yang kita telah perolah itu luput atau hilang maka dengan mengingati Allah SWT kita akan sedar bahawa kewujudannya mungkin hanya akan memudaratkan kita. Dengan itu, yang timbul bukannyan rasa kecewa atau sesal, tapi rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT.
Berterima kasih kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali mencari balasan atau mengharapkan ucapan terima kasih dari orang lain kepada kita.
Di samping itu, membaca Al-Quran disertakan dengan pemahaman maknanya juga merupakan salah satu daripada perubatan tekanan. Orang yang sentiasa bersama mereka ayat al-Quran dan pemahaman mendalam tentang maksudnya boleh mengelakkan dari menjadi pelupa atau menjadi terlalu bersifat lemah berbanding usia sebenar. Al-Quran merupakan cahaya, hidayah dan penyembuh bagi segala penyakit sama ada yang berkaitan dengan rohani atau pun jasmani. Dengan membaca al-Quran disertai dengan memahami, mendalami dan menghayati isi kandungan al-Quran, seseorang itu berupaya menenangkan dan mententeramkan fikiran, hati dan jasmani.
Hidupkan waktu malam (Qiyamullail) iaitu bangun ditengah malam dengan meninggalkan segala kenikmatan tidur untuk menyembah Allah. Bahkan Rasul SAW dalam menerangkan kepentingan tahajjud, apabila seseorang itu bangun ditengah malam semata-mata untuk mengingati Allah, dia bersusah payah berwuduk dan bersolat maka hatinya akan menjadi tenang dan dikuatkan jasmaninya. Orang yang mengurus masa dengan bijak akan mempergunakan lebihan keperluan tidur mereka kepada perkara yang lebih berfaedah. Tidak hairanlah kenapa ramai orang berjaya telah mempergunakan sebaik mungkin sepertiga malam ini.
Tidak terhenti di situ, menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela juga sebahagian daripada kaedah perubatan berkesan mengurus tekanan seperti hasad dengki, takabbur, ujub, riya’, bakhil, mencintai kemasyhuran, pemarah, mengumpat, mengadu domba, berdusta ,banyak berkata sia-sia dan banyak lagi. Dengan bekalan sifat-sifat terpuji seperti taubat, takut kepada Allah, zuhud, sabar, redha, syukur, ikhlas, tawakkal, mencintai Allah dengan sesungguhnya.
Apa yang penting ialah mencipta satu kehidupan yang berhakikat dengan sentiasa mengingati mati. Selain daripada itu, banyak lagi kaedah perubatan tekanan yang tidak bercanggah dengan al-Quran seperti cara penafasan, aeromaterapi, mengawal makanan, mandi dengan air suam, bersedekah, mudah tersenyum, berwudhuk atau melibatkan diri dengan kegiatan sukarela atau bergotong royong.
Tekanan memang merupakan fitrah bagi manusia. Setiap dugaan yang datang adalah ujian dari Allah SWT bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah SWT. Islam telah menetapkan setiap manusia akan diuji bagi mencari calon yang terbaik bagi memenuhi syurga Allah SWT. Bagi seorang mukmin itulah sebesar-besar ganjaran yang diimpikan.