Peluang untuk mendapatkan khidmat kesihatan, rawatan dan perubatan yang memenuhi keperluan serta memuaskan merupakan salah satu hak yang perlu ditunaikan oleh pemerintah kepada rakyat. Sehubungan itu, pemerintah haruslah meningkatkan pelaksanaan sistem penjagaan kesihatan dari semasa ke semasa. Ini termasuklah menyediakan tenaga pakar perubatan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat. Dalam hubungan inilah juga, ilmu kedoktoran dilihat begitu penting dipelajari dan usaha mempelajarinya menurut al-Ghazzali r.h. dianggap sebagai fardu kifayah bagi umat Islam. Islam juga mengiktiraf kedudukan doktor dan khidmat yang diberikan dalam memastikan kelangsungan nyawa serta kesihatan insan. Ini kerana, penjagaan diri termasuk nyawa merupakan salah satu maqasid al-syari`ah yang sangat diberikan penekanan oleh Islam.
Dalam menjalankan tugas yang mulia lagi suci ini, doktor dan pakar perubatan perlu mematuhi adab yang digariskan bagi memastikan profesion yang mulia ini bersih daripada sebarang amalan yang bertentangan dengan syarak seperti penipuan, monopoli, penetapan kadar yang tinggi yang menindas pesakit dan sebagainya. Menyentuh tentang adab dan akhlak bagi pengamal perubatan, khususnya bagi pengamal perubatan Muslim, Kod Etika Perubatan Islam yang dihasilkan pada Persidangan Antarabangsa Perubatan Islam Pertama (Januari 1981) dapat dijadikan rujukan. Dokumen ini antara lain menjelaskan ciri-ciri pengamal perubatan, hubungan antara pengamal perubatan dengan pesakit, tanggungjawab pengamal perubatan, pendidikan perubatan serta ikrar pengamal perubatan. Merujuk peranan penting hospital sebagai pusat perkhidmatan perubatan dan kesihatan pula, jika dirujuk sejarah, ternyata ia berjaya berusaha memenuhi keperluan masyarakat awam. Kejayaan ini sudah tentu berasaskan sistem dan dasar penjagaan kesihatan yang dirancang oleh pentadbirnya. Pada masa yang sama pula dapat dilihat sistem pentadbiran wakaf turut memainkan peranan penting dalam bidang perkhidmatan kesihatan. Ini misalnya hospital yang dibina dengan dibiayai harta wakaf (wakaf kesihatan) seperti Hospital Kanak-Kanak Shishli di Istanbul yang diasaskan pada tahun 1898. Pada zaman tersebut, selain pembinaan hospital, harta wakaf juga digunakan untuk perbelanjaan pakar-pakar perubatan, peralatan dan juga pesakit.
Selain itu, ada juga hospital yang membentuk dana atau keuntungan sendiri dan ini sudah tentu bagi tujuan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit. Misalnya ialah bimaristan (perkataan Parsi yang bermaksud “tempat bagi pesakit”, yakni hospital) yang dibina di antara dua buah istana di kawasan al-Malik al-Mansur Qalawun. Keindahannya tidak dapat digambarkan, sebagaimana dicatat oleh Ibn Battutah, pengembara masyhur Islam yang berpeluang menjejakkan kaki ke Mesir. Di bimaristan ini (dalam catatannya, istilah yang digunakan ialah maristan), disediakan pelbagai kemudahan dan ubat-ubatan yang tidak terhitung banyaknya. Menurut riwayat, pendapatan harian maristan ini berjumlah 1,000 dinar.
Maristan atau hospital ini sebenarnya dibina oleh al-Malik al-Mansur Qalawun pada tahun 1284 M. dan diberi nama Hospital Mansuri. Hospital yang dikatakan terbaik pernah dibina dalam sejarah Mesir ini mempunyai bahagian-bahagian yang berbeza bagi penyakit-penyakit yang berbeza. Muzik digunakan sebagai salah satu bentuk rawatan bagi pesakit jiwa. Saban hari, hospital ini memberi perkhidmatan kepada 4,000 orang pesakit. Pesakit tidak dikenakan sebarang bayaran sepanjang tempoh mendapatkan khidmat rawatan di hospital ini, malah ketika dibenarkan keluar, pesakit diberikan makanan dan wang sebagai ganti rugi kerana tidak dapat bekerja sepanjang tempoh berada di hospital. Hospital Mansuri berjaya memberikan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang tujuh abad kepada penduduk Kaherah sejak ia dibina. Kini, ia digunakan untuk rawatan oftalmologi dan dinamai Mustashfa Qalawun.
Mengambil kira usaha, kejayaan dan komitmen penuh hospital-hospital ini dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya terhadap rakyat, khususnya pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan dari sudut kewangan, sekurang-kurangnya memberikan jawapan kepada kita bagi pelbagai persoalan yang membelenggu kita hari ini dalam mendepani isu-isu kesihatan dan rawatan perubatan. Betapa saban hari kita mendengar kos rawatan yang begitu tinggi terpaksa ditanggung oleh pesakit dan ahli keluarga mereka sedangkan hakikatnya kita menyedari bahawa hak untuk mendapatkan rawatan, khususnya bagi kes-kes yang mengancam nyawa merupakan keperluan asasi manusia. Inilah yang berlaku kepada seorang bapa yang terpaksa menanggung kos rawatan yang begitu tinggi untuk bayinya yang menghidap “Transposition of the Great Vessels” (saluran darah utama dari jantung tidak dalam keadaan normal). Pelbagai kesulitan dan cabaran ditempuh dalam usaha memastikan bayinya dapat diselamatkan akhirnya menemui kegagalan. Taqdir Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya. Bayi perempuan comelnya akhirnya dijemput pulang genap usianya lima belas hari. Kesedihan hati ibu dan bapanya yang belum reda ditambah pula dengan bebanan kos rawatan serta perubatan di sebuah hospital pakar swasta di ibu negara yang mencecah hampir RM60,000.
Kita memahami bahawa tidak mungkin hospital ‘bertaraf lima bintang’ itu dapat memberikan rawatan secara percuma bagi kes ini. Ini kerana sebagaimana yang dimaklumi, sebagai pertubuhan perniagaan, hospital swasta perlu mendapatkan keuntungan bagi pihak yang berkepentingan terhadapnya. Bahkan hanya dengan keuntungan yang dihasilkan sebagaimana didakwa, barulah hospital ini dapat memberi sumbangan pula kepada masyarakat.
Memetik kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Stuart JV Pack, dalam temu bual dengan Majalah Malaysian Business (January 16th – 31st, 2006), setiap hospital mempunyai pendekatan masing-masing dalam melaksanakan dasar penjagaan kesihatan dan apabila pesakit meletakkan kepercayaan kepada pihak hospital, pihak hospital bertanggungjawab memberikan perkhidmatan yang selamat dan profesional selain memberikan keyakinan bahawa pesakit tersebut akan pulih. Walau bagaimanapun, menurut beliau, ini tidaklah bererti hospital swasta ditubuhkan untuk tujuan kebajikan. Menurutnya lagi, kita tidak boleh mengharapkan untuk masuk ke hotel bertaraf lima bintang dan meminta perkhidmatan mewah jika kita tidak berupaya membayar kosnya. Namun isu yang lebih penting di sini, adakah kos yang dikenakan bertepatan dengan harga pasaran sebenar dan yang terkawal? Dalam hubungan ini, kita amat mengharapkan agar kementerian yang terbabit, iaitu Kementerian Kesihatan dapat memainkan peranannya, khususnya apabila menterinya, YB Dato’ Dr Chua Soi Lek mengumumkan Private Healthcare Facilities and Services Regulations 2006.
Sebagaimana kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Ismail Merican, peraturan ini akan memberikan lebih kuasa kepada Kementerian dalam penguatkuasaan dan kawalan terhadap industri penjagaan kesihatan perubatan swasta. Namun yang lebih diharapkan ialah peraturan tersebut dapat memastikan pelaksanaan sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta yang adil lagi saksama untuk semua lapisan masyarakat. Malah, ia juga diharapkan memberikan kuasa pemantauan (hisbah) yang sepenuhnya kepada kementerian terhadap penetapan kadar bayaran yang dikenakan dalam perkhidmatan rawatan serta perubatan di negara ini.
Atas kesedaran bahawa isu-isu tentang perubatan, penjagaan kesihatan dan pengurusan hospital begitu penting dan memerlukan pemantauan serta penyelesaian yang bijaksana, adil lagi saksama, maka Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Seminar “Isu-Isu Perubatan Menurut Perspektif Syariah dan Undang-Undang” pada 14-15 Mac 2006 ini. Antara isu yang akan dibincangkan termasuklah peranan hospital, akhlak dan adab pengamal perubatan, salah laku perubatan dan liabiliti kecuaian dan sebagainya.