KL Summit mencatatkan sejarah Malaysia sebagai pencetus gagasan dunia Islam agar mengembalikan semula kecemerlangan tamadun, mencari jalan keluar permasalahan yang dihadapi serta meningkatkan jaringan sepadu dalam kalangan para pemimpin, intelek dan pemikir seluruh dunia Islam. Usaha ini adalah untuk mengembalikan kesinambungan tradisi kecemerlangan lampau berasaskan pelbagai sumber ilmu agama dan kehidupan agar mencapai kemakmuran bersama yang melibatkan setiap peringkat lapisan masyarakat.
Pendekatan ini selari dengan idea pemikir dan ilmuan Islam, Ibn Khaldun yang menamakannya sebagai ’umran al-‘alam dalam kitabnya Muqaddimah, antara lain membayangkan usaha memakmurkan semua bidang diceburi termasuk kebudayaan, kemanusiaan, keharmonian, perusahaan, pertanian, perindustrian dan teknologi dengan segala cabaran yang dihadapi. Ibn Khaldun mentakrifkan ‘umran sebagai suatu fenomena sosial yang digerakkan oleh sekumpulan masyarakat yang bekerjasama di kawasan kota atau desa dalam sebuah negara yang berdaulat dan berpengaruh bagi tujuan memenuhi hidup yang selesa lagi makmur sama ada dari segi rohani atau jasmani berpandukan agama, akhlak, hukum, dan peraturan kejadian alam serta manusia ciptaan Allah. Beliau juga memperincikan ‘umran merangkumi tiga aspek penting iaitu manusia (insan), kehidupan (hayat) dan alam (al-kawn) yang sering berinteraksi antara satu sama lain sehingga melahirkan kemakmuran (‘umran). Menurut Abu Nasr al-Farabi (870–951M) seorang ahli falsafah Islam, usaha ini perlu kepada membentuk kerjasama dan muafakat berkepentingan bersama.
‘Umran al-‘alam mempunyai acuan yang berbeza dengan negara yang semata-mata membangun dari aspek kebendaan dan ekonomi. Kita tidak mahu pembangunan seperti negara-negara maju yang berhadapan dengan masalah lain seperti ancaman alam sekitar, diskriminasi etnik, keamanan dan kemanusiaan. Tanpa keseimbangan, kemajuan material yang tidak disertai pembangunan rohani tidak memberi makna kepada kehidupan. Oleh itu, tema dasar yang diketengahkan dalam KL Summit terhadap pembangunan dan kedaulatan; integriti dan tadbir urus yang baik; kebudayaan dan identiti; keadilan dan kebebasan; keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan serta teknologi dan tabdir urus internet perlukan kepada pelaksana yang memenuhi ciri pakar (qawiy) dan mulia (amin) sebagaimana yang diilhamkan oleh al-Quran. Seorang pakar semata-mata tanpa sifat mulia mungkin mampu memajukan pembangunan jasmani tetapi akan gagal dalam pembangunan rohani.
Islam bukan agama teori yang tidak praktikal tetapi menekankan etika kerja progresif, proaktif dan produktif yang sentiasa selari dengan masa dan zaman. Jika kita renung kepada fenomena yang melanda dunia Islam, kita akan dapati terlalu banyak kaedah dibincangkan tetapi kurang dari sudut amalan. Penemuan dan dapatan dari sudut akademik, teknik dan teknologi yang dilaporkan hanya sekadar di atas kertas atau kaku di laman maya. Masyarakat Islam perlu mendefinisi semula maksud “amal soleh” dengan tidak menghadkan kepada mensyarahkannya dari sudut ibadah khusus semata-mata tetapi meluaskan cakupan perlakuan ekonomi, sosial, teknologi dan politik yang berkesan, cekap lagi beretika.
Umat Islam perlu mengubah kutub magnet perusahaan dari semata-mata mengejar kekayaan kepada mengutamakan kemakmuran agar mampu keluar daripada pemikiran kapitalisme yang ekstrem. Dengan kata lain, setiap usaha yang dilaksanakan perlu meningkatkan keupayaan masyarakatnya, mengoptimumkan sumber alam dengan etika kerja yang lebih baik (ihsan) seterusnya memberi manfaat bersama kepada masyarakat. Walaupun negara Islam terdiri daripada negara yang kaya tetapi kekayaan mereka berpunca daripada sumber alam seperti minyak atau logam. Namun, pasaran sumber alam Islam ditentukan oleh negara bukan Islam dari sudut harga dan bekalan. Ternyata kekayaan yang dimiliki mudah dimanipulasi dan umat masih lemah dari sudut kemampuan tadbir urus memakmurkan sumber sedia ada.
Kini, pemikiran umat Islam dijajah lagi dengan teknologi yang diperkenalkan oleh golongan bukan Islam. Malah penjajahan menggunakan teknologi ini lebih parah kerana mampu melumpuhkan sistem keluarga dan masyarakat, menghilangkan nilai kemanusiaan, merosakkan etika kerja. Akhirnya, umat Islam disibukkan dengan mempelajari cara menggunakan teknologi berbanding cara membangunkan atau memanfaatkannya. Seiring dengan perkembangan semasa, umat Islam tidak boleh selamanya berada dalam zon selesa menjadi pengguna semata-mata tetapi perlu merebut peluang mengungguli semua sektor yang berkembang pesat seperti pembangunan teknologi penggugat (distructive techonology), automasi, inovasi digital, peranti pintar dan dunia fintech (teknologi kewangan). Dalam satu tinjauan penggunaan fintech, China, India, Rusia dan Afrika Selatan didapati mengungguli carta dalam penggunaan fintech (Global FinTech Adoption Index 2019 oleh EY Global Financial Services). Apa yang menyedihkan ialah tiada satu negara Islam yang tersenarai dalam indeks tersebut.
Apa kurangnya Islam sehingga kedudukannya rendah dan lemah? Sifat agama yang tinggi direndahkan dengan kegagalan umat menghayatinya. Salah faham masyarakat Barat terhadap Islam seperti Islamophobia (takut, benci dan prejudis), keganasan dan mundur berpunca daripada kegagalan umat menterjemahkan dalam bentuk amalan seharian. Menurut Profesor Hossein Askari (Universiti George Washington), melalui satu kajian penghayatan amalan Islami (The Latest Islamicity Rankings 2018) mendapati bahawa negara bukan Islam (diungguli oleh New Zealand, Sweden, Belanda, Iceland dan Switzerland) lebih Islamik daripada negara Islam dari segi penghayatannya. Malaysia menduduki tempat ke-47, (kedudukan tertinggi dalam kalangan negara Islam ialah United Arab Emirates, diikuti Albania, Malaysia dan Qatar).
Penghayatan Islam boleh ditingkatkan dengan kefahaman sebenar dan terjemahannya dalam bentuk kerjaya atau perusahaan. Bagi menyahut gagasan ini, ia perlu dimulai dengan diri sendiri melalui peningkatkan kefahaman sebenar terhadap Islam serta meningkatkan etika kerja yang sewajarnya dalam apa saja bidang yang diceburi. Sudah tiba masanya nilai-nilai negatif yang dikaitkan dengan umat Islam di seluruh dunia dibersihkan melalui penghayatan sebenar etika kerja Islam. Sikap sambil lewa, malas berfikir, tiada semangat juang perlu dikikis kerana ia mampu menggugat integriti umat. Islam menyarankan agar pengikutnya melaksanakan kerja dengan penuh itqan (bersungguh-sungguh).