Gagasan Keluarga Malaysia bagi menjadikan bangsa Malaysia yang inklusif telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke – 8 Dato’ Seri Ismail Sabri pada 22 Ogos 2021. Gagasan ini sangat penting kerana rakyat yang berbilang agama dan etnik ibarat membentuk satu Keluarga Malaysia yang bersatu padu, harmoni, sejahtera, bantu-membantu, saling melengkapi yang penuh dengan rasa hormat dan kasih sayang antara satu sama lain.
Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata: “Marilah kita dengan fikiran dan dada terbuka, menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan Keluarga Malaysia”.
Tunjang terbinanya Gagasan Keluarga Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Keluarga Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan etnik perlu menerima kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Empat peruntukan penting dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan agama Islam (Perkara 3), hak-hak keistimewaan orang Melayu dan pribumi (Perkara 153), Bahasa Melayu (Perkara 152) dan kedudukan Raja-raja Melayu (Perkara 38) mestilah dihayati dan terima penuh oleh Keluarga Malaysia.
Keluarga Malaysia diberi hak kebebasan beragama dengan kedudukan agama Islam diberi kedudukan yang tinggi. Agama Islam ibarat pokok jati yang tinggi menaungi agama-agama lain yang dianuti oleh masyarakat bukan Islam. Hormat menghormati terhadap agama antara orang Islam dan bukan Islam mesti menjadi amalan seharian.
Kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan pribumi hendaklah diterima oleh semua warga Keluarga Malaysia. Ini kerana, jurang pencapaian ekonomi dan pendidikan golongan ini masih jauh ketinggalam walaupun negara telah mencapai 65 tahun kemerdekaan. Usaha-usaha yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan mestilah disokong oleh semua warga Keluarga Malaysia.
Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat menyatu padukan Keluarga Malaysia mesti dikuatkuasakan. Ianya bukan sahaja Bahasa Kebangsaan yang menjadi kebanggan negara malah ditutur oleh lebih 300 juta penduduk di Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain. Usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hendaklah dipertingkatkan supaya ia menjadi satu kenyataan di masa hadapan.
Raja-Raja Melayu adalah payung Keluarga Malaysia. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai peranan yang sangat penting dalam semak dan imbang dalam semua urusan negara yang meliputi cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman. Ini kerana Raja-Raja Melayu bersumpah dengan nama Allah berjanji melaksanakan tugas berlandaskan Perlembagaan dan sentiasa memelihara agama Islam. Atas landasan ini, Keluarga Malaysia dikehendaki supaya taat dan setia kepada Raja dan negara.
Kewujudan manusia yang menganuti pelbagai agama dan terdiri dari pelbagai etnik dan keturunan merupakan lumrah kejadian Allah SWT. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT dalam Surat Al-Hujurat Ayat ke 13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahuai, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Kepelbagaian penganut agama dan etnik bukanlah satu fenomena baru dalam Islam. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menyatupadukan warga penduduk Madinah yang terdiri dari orang Islam dan bukan Islam. Nabi Muhammad SAW menyatukan golongan ansar dan muhajirin. Penerimaan penduduk asal (ansar) di Madinah terhadap muhajirin merupakan satu perkara pokok ikatan persaudaraan yang berbilang agama dan kabilah.
Ini ditambah pula dengan penyatuan ummah tanpa mengira agama dan kabilah melalui Sahifah Madinah yang merupakan perlembagaan bertulis pertama dunia. Sahifah Madinah menyatukan kepelbagaian kabilah dan agama dalam perjanjian mempertahankan hak warga Madinah dan kesepakatan semua untuk mempertahankan Madinah.
Kesajagatan Sahifah Madinah ialah ia menekankan betapa mulianya kejadian manusia, yang semuanya berasal dari tanah yang membawa maksud bahawa kita semua adalah sama. Sahifah Madinah mengiktiraf semua warga Madinah dan mempertahankan hak setiap individu tanpa membezakan antara yang majoriti dan minoriti. Malah ia mengiktitaf kepelbagaian warganya sebagai satu bangsa (one nation) dengan ikatan kontrak sosial.
Keluarga Malaysia yang diasaskan sejak kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 telah tercalar dengan peristiwa hitam rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Akibatnya, Rukun Negara diperkenalkan sebagai satu falsafah kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong ke 4.
Dua komponen penting terkandung dalam Rukun Negara:
Pertama: Objektif utama Rukun Negara diperkenalkan adalah untuk merealisasikan cita-cita Malaysia ke arah:
Mencapai perpaduan yang lebih erat;
Memelihara satu cara hidup demokratik;
Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak; dan
Membina satu masyarakat progresif dengan penggunaan sains dan teknolgi moden.
Kedua: Dalam memenuhi cita-cita ini, Rukun Negara menggaris lima prinsip utama:
Kepercayaan kepada Tuhan;
Kesetiaan kepada Raja dan Negara;
Keluhuran Perlembagaan;
Kedaulatan Undang-Undang; dan
Kesopanan dan Kesusilaan.
Kedua-dua komponen ini saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan demi perpaduan Keluarga Malaysia.
Pentingnya Gagasan Keluarga Malaysia ialah ia membawa mesej menerima persamaan dan perbezaan masing-masing berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Tiga nilai teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman (inclusivity), kebersamaan (common ground) dan kesyukuran (contentment) menjadi asas acuan hidup rakyat pelbagai agama, etnik dan budaya di Malaysia.
Pembentukan Keluarga Malaysia hendaklah juga dibina atas semangat persaudaraan (ukhuwwah) yang terdiri daripada tiga prinsip iaitu ta’aruf (saling mengenali), tafahum (saling memahami) dan takaful (saling membantu). Dalam hal ini pendekatan fiqh Malaysia yang mengambilkira persekitaran dan budaya di negara kita yang berbeza dengan Timur Tengah serta fiqh al-Ta’ayush (hidup bersama) yang menggariskan kehidupan masyarakat minoriti bukan Islam di negara majoriti Islam seperti Malaysia.
Di samping itu, pendekatan tasamuh yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan hendaklah diterapkan. Dengan pendekatan ini, Keluarga Malaysia yang berbeza agama dan etnik dapat menerima realiti kepelbagaian masyarakat seperti yang digariskan dalam Islam.
Dalam menerima pakai pendekatan tasamuh, sifat mahabbah (kasih sayang) memerlukan setiap individu bersikap berlapang dada, rasional dan membentuk persefahaman yang baik. Ini dapat membawa kepada kedamaian dan keharmonian yang mampu menjadi tunjang kepada agenda Keluarga Malaysia yang kalis cabaran masa depan.
Kesimpulannya, Kongres Nasional “Islam, keharmonian dan Keluarga Malaysia: membina agenda kalis cabaran masa depan” anjuran IKIM pada 19-20 Mei 2021 mensasarkan tiga objektif utama untuk dicapai: (1) Membincangkan nilai-nilai utama bagi masyarakat pelbagai budaya dan bangsa Malaysia; (2) Menjelaskan elemen penting dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian yang mampan bagi sebuah Keluarga Malaysia; dan (3) Membina kesedaran berkenaan kepentingan mengukuhkan Keluarga Malaysia berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.