Sebelum kedatangan penjajah Inggeris, undang-undang yang berkuatkuasa di Tanah Melayu ialah undang-undang Islam. Ini kerana apabila pengaruh Islam sampai ke Tanah Melayu, ia banyak mempengaruhi perkembangan dan bentuk perlaksanaan undang-undang serta peraturan-peraturan di dalam masyarakat. Ini dibuktikan dengan terdapatnya beberapa kumpulan undang-undang seperti Risalah Hukum Kanun atau Undang-undang Melaka. Walaupun masih dibelenggu dengan pengaruh adat namun pada dasarnya Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang adat Melayu yang bersesuaian dengan Islam. Terdapat peruntukan dalam undang-undang Melaka itu yang menyebut tentang undang-undang dan acara berhubung urus niaga Islam, timbangan dan ukuran, larangan riba, kaedah menjual tanah dan sebagainya.
Selain Hukum Kanun Melaka, terdapat juga Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang 99 Perak dan Undang-undang Sungai Ujung. Banyak bukti menunjukkan bahawa undang-undang yang terdapat di Melaka adalah undang-undang induk bagi undang-undang yang dilaksanakan di negeri-negeri lain. Bagaimanapun dengan kedatangan penjajah Inggeris, proses pengubahsuaian adat Melayu dan undang-undang Islam ini terhenti. British telah menggunakan pengaruhnya di Tanah Melayu untuk mengenepikan undang-undang Islam sehingga R.J. Wilkinson berkata maksudnya: “Tidak diragukan lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang Tanah Melayu sekiranya undang-undang British tidak masuk dan menahannya”.
Prinsip undang-undang Inggeris di negara ini mula dipakai apabila Inggeris mula bertapak di Pulau Pinang pada tahun 1786. Campurtangan Inggeris di negeri-negeri Melayu bermula di Perak pada tahun 1874. Memang benar perjanjian-perjanjian antara British dan Raja-raja Melayu tidak menyebut dengan jelas tentang pengenalan undang-undang Inggeris ke negeri-negeri Melayu, namun pihak Inggeris amat bijak dengan cara beransur-ansur menerapkan undang-undang mereka. Proses ini akhirnya membawa kepada penyediaan struktur dan sistem pentadbiran bagi pelaksanaan undang-undang Inggeris.
Undang-undang Inggeris diperkenalkan ke Tanah Melayu melalui dua cara iaitu, melalui keputusan para hakim Inggeris, dan melalui statut(Akta). Statut pula boleh dibahagi dua iaitu umum dan khusus. Statut umum contohnya adalah Akta Undang-undang Sivil 1956, yang bermula sebagai Civil Law Enactment 1937. Akta ini menyediakan landasan bagi pemakaian undang-undang Inggeris di negeri-negeri Melayu. Seksyen 3 Akta ini memperuntukkan “Melainkan ada ubahsuaian yang telah dibuat atau akan dibuat oleh undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Malaysia…”.
Dari peruntukan yang disebutkan di atas jelas bahawa prinsip undang-undang Inggeris dan ekuiti hanya boleh dirujuk sekiranya terdapat lacuna, yakni tiada undang-undang tempatan mengenainya. Namun hakikatnya undang-undang Inggeris tetap dipakai di negeri-negeri Melayu walaupun terdapat undang-undang tempatan mengenainya. Oleh itu boleh dikatakan bahawa kedatangan British dan pengaruhnya menyebabkan undang-undang Islam tidak dapat dikembangkan dan akhirnya terpinggir.
Statut khas yang memperkenalkan undang-undang Inggeris antaranya Akta Kontrak 1950, Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah. Pada hakikatnya statut-statut ini adalah pengkanunan prinsip-prinsip Common Law Inggeris, sekaligus bererti kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah-mahkamah Inggeris akan dibawa masuk dalam sistem perundangan negara. Keadaan ini telah menguatkan lagi status undang-undang Inggeris berbanding undang-undang tempatan.
Prinsip undang-undang kontrak Inggeris pula mula terpakai di Malaysia apabila Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang menerima Akta Kontrak 1872(Akta ini kemudiannya dikemaskinikan menjadi Ordinan Kontrak 1950) yang dibawa masuk dari India, pada tahun 1899. Pada ketika itu negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu masih lagi mengamalkan undang-undang tempatan mengenai perdagangan. Prinsip-prinsip ini bagaimanapun diketepikan apabila mereka mula menerima pakai undang-undang Inggeris mengenai kontrak. Contohnya negeri Johor telah menerima Akta Kontrak dengan rasminya pada tahun 1914, sebaik saja ia dipaksa menandatangani perjanjian yang meletakkannya di bawah naungan Inggeris.
Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang lain pula menerima pakai undang-undang kontrak Inggeris secara tidak langsung apabila pertikaian tentang kontrak diselesaikan melalui pemakaian prinsip undang-undang kontrak Inggeris. Alasan yang diberikan adalah langkah tersebut mampu menyeragamkan undang-undang antara negeri-negeri di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Negeri-negeri dalam Persekutuan yang lain iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bagaimanpun hanya menerima Ordinan Kontrak, yang dikemaskini menjadi Akta Kontrak 1950, pada tahun 1974. Namun sebenarnya undang-undang kontrak Inggeris telah mula dipakai di situ sejak adanya Civil Law Ordinance 1878 lagi. Selain daripada undang-undang kontrak dan perniagaan yang digubal mengikut undang-undang Inggeris, Mahkamah Sivil sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes mengenai kontrak dan perniagaan. Mahkamah Syariah tidak diberi bidang kuasa membicarakan kes-kes seperti itu.
Mungkin boleh disebutkan sedikit di sini tentang perbezaan penting antara undang-undang kontrak Inggeris dan prinsip kontrak Islam. Undang-undang kontrak kedua-dua sistem menyarankan persetujuan mesti dibuat dengan rela hati. Bagaimanapun, mengikut undang-undang Inggeris sekiranya terdapat prinsip caveat emptor pembeli hendaklah awas, supaya tidak tertipu. Akta Kontrak 1950 menghuraikan:
Seksyen 17 menyebutkan keadaan diam mengenai fakta yang mungkin mempengaruhi kerelaan seseorang membuat kontrak tidak dianggap biasanya sebagai tipuan. Seksyen 19 pula disebut sebagai kecualian jika kerelaan disebabkan oleh gambaran yang salah atau keadaan diam. Kontrak itu tidak boleh dibatalkan, jika pihak yang memberi kerelaan itu boleh mendapat tahu apa yang sebenarnya dengan usaha biasanya sendiri.
Prinsip-prinsip kontrak Islam pula menjelaskan bahawa persetujuan mestilah bebas daripada kesilapan, salah nyata(misrepresentantion), penipuan dan paksaan. Islam menganggap kerelaan atau keredhaan sebagai asas sesuatu kontrak. Oleh itu dalam Islam seseorang itu seharusnya memberitahu kepada pihak yang lain jika ada apa-apa kecacatan terhadap barang atau perkara yang menjadi subjek kontrak itu. Dengan demikian walaupun terdapat persamaan dengan undang-undang Inggeris tentang kerelaan, prinsip caveat emptor dalam undang-undang kontrak Inggeris di mana pembeli perlu menyelidik sendiri kecacatan barangan, tidak terpakai dalam undang-undang kontrak Islam.
Akhir sekali, latarbelakang atau sejarah sesuatu undang-undang itu tidak boleh dipandang sepi, ianya penting untuk diketahui, agar kita dapat lebih memahami mengapa sesuatu undang-undang itu seperti yang sedia ada pada hari ini.