Lihat di sekeliling kita. Satu persatu masalah alam sekitar boleh kita kenalpasti. Daripada masalah yang bersifat tempatan seperti banjir, tanah runtuh dan peningkatan jumlah sampah hinggalah kepada masalah alam sekitar bersifat merentasi sempadan seperti jerebu dan hujan asid, semuanya membelenggu kehidupan moden kini. Tidak ketinggalan masalah alam sekitar yang bersifat global misalnya masalah penipisan ozon dan pemanasan global. Semua masalah ini pastinya menjanjikan kehidupan yang tidak enak bagi keseluruhan umat manusia.
Oleh sebab kehidupan moden manusia dan masalah alam sekitar tidak mungkin dipisahkan, maka jalan penyelesaian kepada masalah ini amat diperlukan. Pada masa kini, penyelesaian holistik melibatkan aspek sosial, ekonomi, politik serta sains dan teknologi dilihat sebagai gabungan terbaik untuk menyelesaikan pelbagai masalah persekitaran.
Namun, kenapakah masalah alam sekitar masih berterusan dan belum nampak ada hujungnya? Mungkinkah segala bentuk penyelesaian yang dianjurkan itu belum begitu kuat untuk menyentuh hati dan perasaan manusia untuk berubah menjadi seorang insan yang berperilaku baik terhadap alam ini? Mungkinkah agama menjadi jawapan kepada penyelesaian tersebut? Dengan persoalan-persoalan ini, maka usaha menggabungkan agama dalam mana-mana program pemuliharaan alam sekitar wajarlah diteroka. Harapan kita cuma satu, agar saluran agama ini dapat membantu menyentuh hati dan menjadikan manusia beradab terhadap alam ini.
Kini, usaha menggabungkan agama dan pemuliharaan alam sekitar semakin mendapat perhatian. Walaupun ia agak asing di Malaysia, namun usaha ini sudah menjadi kebiasaan di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh usaha-usaha Oxford Committee on Famine Relief (Oxfam) yang bekerjasama dengan Muslim Aid, sebuah NGO berasaskan Islam yang membantu umat Islam dibeberapa negara seperti Bangladesh, Bosnia, Kemboja, Gambia, Indonesia, India, Iraq, Jordan, Kenya, Lebanon, Pakistan, Somalia, Sri Lanka dan Sudan. Begitu juga usaha-usaha Aga Khan Development Network, kumpulan Muslim yang membantu masyarakat terutamanya di negara-negara membangun. Tidak ketinggalan usaha WWF yang telah sekian lama bekerjasama dengan pelbagai kumpulan agama dalam usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar. Malah, Bank Dunia turut bekerjasama dengan komuniti agama untuk mengurangkan kemiskinan dan mempromosikan pemuliharaan alam sekitar di negara-negara membangun.
Merujuk khusus kepada agama Islam, usaha menggabungkan agama ini dalam program-program pemuliharaan alam sekitar amat wajar dilakukan. Ini kerana, agama, komuniti serta negara-negara Islam tidak terkecuali berhadapan dengan pelbagai masalah alam sekitar. Untuk pengetahuan pembaca semua, sebahagian besar daripada masyarakat Islam kini hidup di negara-negara yang dikategorikan sebagai negara-negara membangun dan miskin. Taburan komuniti Islam dikatakan meliputi hampir 24 peratus daripada populasi dunia. Bagi negara-negara Islam membangun, tekanan untuk membentuk kekayaan atau menjadi negara maju menyebabkan pembangunan menjadi keutamaan berbanding pemuliharaan alam sekitar. Manakala bagi negara-negara miskin pula, kemiskinan dan hutang negara yang besar menyebabkan berlakunya penghakisan sumber alam secara intensif demi untuk melunaskan hutang negara mahupun sekadar untuk memastikan kelangsungan hidup rakyatnya. Ini membawa tekanan yang amat besar terhadap sumber-sumber semula jadi negara-negara tersebut.
Dalam masa yang sama, kehidupan dan keyakinan beragama yang masih menjadi pegangan penting dalam hidup sebahagian besar masyarakat Islam di seluruh dunia, mahupun di negara Malaysia ini, seharusnya menjadi satu motivasi yang kuat untuk menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar. Rasa yakin dan hormat kepada ketua agama pula memungkinkan individu ini menjadi “pelakon” penting dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Di seluruh dunia, usaha melibatkan ketua agama dalam pelbagai program kesedaran bukanlah satu perkara baharu. Misalnya di Pakistan dan beberapa negara Afrika, penglibatan ketua agama dalam program kesedaran HIV/AIDS dan kesihatan reproduktif menunjukkan tahap kejayaan yang membanggakan. Oleh itu, jika usaha ini boleh dilakukan kenapa tidak ia dilaksanakan dalam mana-mana program pemuliharaan alam sekitar?
Di Malaysia, sudah ada usaha menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar. Merujuk khusus kepada komuniti agama Islam, contohnya boleh dilihat daripada usaha WWF Malaysia melibatkan para imam dalam rancangan pemuliharaan Penyu di Terengganu dan pemuliharaan harimau di Perak. Contoh lain, melibatkan beberapa surau dan masjid di sekitar Selangor dalam program kitar semula minyak masak untuk biodiesel. Walaupun sudah ada, namun usaha ini belum begitu menyeluruh. Oleh itu, perlu ada usaha untuk meningkatkan kerjasama agama, ketua agama dan komuniti agama dalam program pemuliharaan alam sekitar. NGOs berasaskan Islam serta program dialog antara agama masa kini terlalu memberikan perhatian terhadap isu-isu mempertahankan kepercayaan dan kedudukan agama. Isu alam sekitar kurang diberikan perhatian. Oleh itu, mungkin sudah sampai masanya hal ini diubah dan alam sekitar menjadi satu agenda penting dalam manifesto dan kegiatan pelbagai pertubuhan berasaskan Islam di negara ini. Lagipun, di Malaysia terdapat begitu banyak surau, masjid serta sekolah-sekolah agama. Cuba bayangkan jika setiap satu institusi ini menjalankan aktiviti pemuliharaan alam sekitar seperti kitar semula bahan terbuang, kitar semula minyak, pendidikan berkaitan isu-isu alam sekitar dan sebagainya, sudah pasti ini akan memberikan kesan yang baik terhadap usaha pemuliharaan, pendidikan dan kesedaran alam sekitar.
Di dalam pandangan hidup Islam, Allah SWT telah mencipta alam dan isinya seperti tumbuhan dan haiwan untuk kegunaan manusia (surah Yaasiin, 71-73). Namun, ada syarat tertentu yang perlu diikuti. Manusia boleh menggunakan semua pemberian itu dengan syarat kita menggunakan dengan berhemah dan berjimat cermat serta mengambil kira hak orang lain untuk menggunakan sumber alam itu. Jika manusia dapat mematuhi syarat ini, dia dikatakan seorang hamba yang beriman. Dengan itu, bagaimana kita menggunakan alam ini juga merupakan satu tugas agama. Namun, adakah kita sedar tentang prinsip ini? Tepuk dada, tanyalah selera!