KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Pejam celik pejam celik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), genap 15 tahun pada 18 Februari ini.
Jika ditelusuri tempoh itu, ternyata ia telah berjaya mengisi satu vakum dakwah dan penyelidikan agama di negara ini melalui pelbagai program yang dianjurkan.
Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, tidak putus-putus memikirkan usaha menjadikan IKIM sebuah organisasi yang mempunyai agenda mempopularkan pemikiran Islam.
Dalam wawancara dengan wartawan Bernama, Ahmad Sarji menyingkap pencapaian IKIM setakat ini dan harapannya di masa hadapan demi memartabatkan IKIM.
1. Usia IKIM mencecah 15 tahun pada 18 Feb ini. Selaku pengasas, bagaimana perasaan Tan Sri?
Saya amat bangga dengan pencapaiannya sejak ia diwujudkan. Kejayaan besarnya adalah hasil bimbingan dan sokongan padu Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri yang mengilhamkan penubuhannya.
Kini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula meneruskan sokongan terhadap operasi IKIM. Jadi saya amat berpuas hati terhadap prestasi IKIM selaras dengan objektif penubuhannya.
2. Boleh Tan Sri ceritakan sejarah penubuhannya?
Ia adalah peristiwa yang sukar dilupakan. Umum mengetahui, semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau telah membudayakan mesyuarat post-kabinet.
Pada suatu hari Rabu bulan Februari 1992, selepas menghadiri mesyuarat itu, seperti biasa saya berbincang dengan beliau dan antara yang dibincangkan ialah mengenai penubuhan sebuah institusi pemikir yang berfungsi meningkatkan kefahaman Islam kepada orang Islam dan bukan Islam.
Beliau meminta saya menubuhkan institut ini. Pada mulanya, saya memaklumkan beliau bahawa saya bukan seorang ilmuan Islam. Tetapi beliau memohon saya menubuhkan juga kerana katanya sebagai Ketua Setiausaha Negara saya berkemampuan untuk mewujudkan sebuah institusi.
Beliau kemudiannya meminta saya dengan seberapa segera mendaftarkan IKIM secara rasmi sebagai sebuah syarikat berhad dengan jaminan.
Saya juga diminta mengenal pasti sebuah tapak yang sesuai untuk beroperasi dan memohon pembiayaan awal untuk IKIM dari sumber dana kerajaan serta memandu institut ini menggubal program dan penyelidikan projek yang boleh meningkatkan kefahaman Islam kepada semua.
Beliau juga meminta saya mendapatkan anggota kerja yang berkelayakan untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti IKIM serta menyediakan satu program kerja yang mantap.
Berikutan arahan itu, saya mengambil inisiatif untuk menggubal ‘Memorandum & Articles of Association’ bagi mewujudkan sebuah syarikat berhad dengan jaminan yang dinamakan Institut Kefahaman Islam Malaysia.
IKIM wujud secara rasmi pada 18 Feb 1992 dan saya dilantik pengerusi pengasas pada 15 Mac 1992. Sejak itu, saya berbincang lebih kerap dengan Tun Dr Mahathir mengenai segala aktiviti dan program IKIM.
Sejak itu juga, saya mendapat perkhidmatan tiga orang Ketua Pengarah iaitu Datuk Dr Ismail Ibrahim, Dr Abdul Monir Yaacub dan Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas. Mereka telah memberikan kerjasama padu dengan cara yang amat dinamik dalam usaha memartabatkan IKIM sebagai sebuah institusi pemikir.
3. Apakah cabaran besar yang dihadapi Tan Sri dalam mempengerusikan IKIM selama ini?
Cabarannya adalah untuk membuka minda orang ramai bahawa agama Islam merangkumi semua bidang kehidupan. Ia tidak terhad kepada ibadat, fardu ain sahaja malah meliputi urusan perniagaan, sosial, hubungan antara kaum, politik dan sebagainya.
Justeru, IKIM perlu mengenal pasti tajuk-tajuk yang pastinya boleh membuka minda orang ramai. Antara seminar yang dianjurkan ialah Islam dan Perindustrian, Ekonomi Islam, Modal Teroka Islam, Islam dan Keadilan, Etika Hakim dan Peguam serta Meningkatkan Kefahaman Islam untuk Media Massa.
4. Bagaimanakah Tan Sri menilai keberkesanan program IKIM sepanjang 15 tahun penubuhannya?
Pertama, keberkesanannya boleh diukur dari segi sambutan. Oleh kerana tema-tema yang dibincangkan adalah topikal atau semasa, maka kami memilih para pembentang kertas kerja daripada pelbagai bidang dan pengkhususan. Kertas kerja yang dibentangkan adalah hasil penyelidikan yang amat rapi menjadikannya begitu berkualiti.
Pelbagai seminar, persidangan kebangsaan dan antarabangsa turut menyaksikan penglibatan ulama dan cendekiawan serta profesional di kalangan orang Islam dan bukan Islam, dalam dan luar negara.
Kedua, IKIM sering memberi pandangan kepada Kerajaan, antaranya ialah penerimaan oleh Kementerian Sains dan Inovasi mengenai ‘Islamic Principles of Management’, iaitu yang menyerupai piawaian ISO.
IKIM berjaya bekerjasama dengan SIRIM dan piawaian pengurusan mengikut perspektif Islam itu telah pun diwartakan dalam warta kerajaan. Ini adalah kejayaan besar IKIM dalam bidang pengurusan.
Ketiga, pembentukan MUDI (Muslim Ummah Development Index), iaitu satu kerangka yang menggariskan petunjuk-petunjuk untuk menilai dan mengukur kejayaan ummah dengan menggunakan berpuluh-puluh petunjuk.
Kerangka ini telah digubal dengan kerjasama Jabatan Statistik, Universiti Islam Antarabangsa dan sebagainya. Ia juga adalah satu kejayaan besar IKIM yang telah dapat menjalin jaringan dengan institusi-institusi akademik dan kerajaan sehingga dapat mewujudkan MUDI.
Tidak lama lagi, IKIM bercadang untuk menjemput wakil-wakil agensi-agensi pembangunan kerajaan supaya menerima-pakai MUDI dengan tujuan untuk memperkemaskan lagi penilaian semula rancangan kerajaan.
Kejayaan seterusnya ialah ‘Value-Based Management’ di mana buat masa ini tadbir urus korporat telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan dan menjadi sebahagian daripada ‘pre-listing requirement’ untuk syarikat-syarikat.
Apa yang telah dijayakan oleh IKIM ialah membentuk kerangka ‘Value-Based Management’ dengan sektor swasta. Ini juga turut mendapat perhatian pihak kerajaan sehingga SIRIM sanggup memberi bantuan yang sewajarnya.
IKIM turut menjalin kerjasama dengan MPH untuk menerbitkan buku-buku IKIM dalam bentuk yang lebih menarik bagi tujuan pasaran dan mengendalikan sendiri kerja-kerja penyuntingan, pemasaran dan sebagainya. Berikutan itu, beberapa buah buku IKIM kini digunakan oleh para pelajar universiti sebagai bahan rujukan.
Selain itu juga, kepercayaan Kerajaan memberikan ruang dan peluang untuk menubuhkan Radio IKIM.fm pada 6 Julai 2001 juga adalah satu kejayaan besar buat IKIM.
Melalui siaran 24 jam sehari di semua bandar utama di Malaysia, IKIM dapat menyebarluaskan lagi mesej yang ingin disampaikan. Antara program yang ke udara ialah Dunia Ekonomi, Wanita Hari Ini, Sudut Hukum, Syariah dan Perundangan, isu remaja dan semasa serta Sains dan Peradaban.
Gabungan ilmu merangkumi semua aspek ini diperdengarkan agar orang ramai dapat memanfaatkan ilmu dengan cara yang mudah tidak kira di mana jua mereka berada.
Tahun lepas, Sudut Hukum yang memberi perkhidmatan percuma kepada orang ramai juga berjaya dilancarkan. Orang ramai boleh mengemukakan sebarang pertanyaan dengan melayari Portal Sudut Hukum, di www.ikim.gov.my/suduthukum.
5. Bagaimanakah persepsi orang ramai terhadap kewujudan IKIM selama ini?
Saya tidak terjumpa mana-mana pihak yang mengkritik IKIM sebagai sebuah institusi, kalau adapun mungkin atas soal pendapat.
Persepsi terhadap IKIM juga adalah lain daripada institusi Islam yang lain. Saya mendapati orang ramai merasa amat selesa kerana IKIM mengamalkan sikap keterbukaan dan mampu memberi jawapan kepada pelbagai permasalahan.
Persepsi dunia antarabangsa pula, nampaknya membanggakan kerana mereka hendak menjalinkan hubungan dengan kita di sini. Banyak perjanjian persefahaman (MoU) dijalin dan mereka faham IKIM sebuah ‘think tank’ yang boleh melayani sebarang kemusykilan orang-orang bukan Islam.
6. Apakah masalah utama umat Islam yang mesti diatasi segera?
Usaha meningkatkan ilmu wajar diberi penekanan. Walaupun kita faham agama Islam secara dasar seperti hukum Islam dan sebagainya namun kita mesti menimba ilmu sebanyak mungkin dan menghayatinya dengan lebih mendalam.
Kita harus memahami tasawwur Islam atau Islamic World View secara keseluruhannya dan hubungannya dengan permasalahan serta isu semasa, agama dan umatnya dalam dunia global yang serba mencabar ini.
Sehubungan itu, baru-baru ini IKIM telah melancarkan ‘Projek Akademik Mega Ahmad Ibrahim: Sebuah Biografi dan Telaah Pemikiran. Ia sebagai menghargai sumbangan ilmuan Islam, Allahyarham Ahmad Ibrahim. Saya berpendapat budaya mencari ilmu mesti dipertingkatkan di kalangan umat Islam melalui interaksi, debat dan dialog sepertimana yang dianjurkan oleh IKIM.
Saya harap lebih ramai lagi orang Islam akan mengunjungi IKIM supaya dapat mengatasi atau memperbaiki jurang ilmu ini. Selain itu, IKIM juga mewujudkan debat antara pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di mana melalui debat ini, IKIM berusaha menerapkan budaya meningkatkan ilmu di kalangan pelajar.
7. Dalam ucapan Tan Sri semasa melancarkan program kerja IKIM 2007 baru-baru ini, Tan Sri ada menyebut tentang:
“Adalah menjadi cita-cita saya untuk membawa IKIM ‘to another level’, bukan sekadar apa yang kita telah buat setakat 14 tahun ini dan sebenarnya saya sentiasa memikirkan cara-cara bagaimana hendak membawa IKIM ini ‘to another level’ berdasarkan dua perkara iaitu IKIM mempunyai aset dan ia telah pun tamat ujian dan keputusan akademik dan ini terbukti dengan penggunaan buku-buku IKIM di universiti-universiti sebagai rujukan.
Boleh Tan Sri jelaskan mengenai perkara ini?
Setakat ini IKIM telah berfungsi sebagai sebuah ‘think tank’, gedung ilmu dan sebagai institusi yang menjalankan pendakwahan melalui teknologi seperti radio.
Pada hemat saya, IKIM hendaklah terus memenuhi objektif asal tetapi dalam bentuk yang lebih tinggi lagi.
Jadi untuk menyemarakkan kefahaman Islam, mungkin IKIM wajar juga menjadi sebuah institusi yang boleh mengendalikan kursus-kursus akademik, dalam perkara-perkara tertentu supaya kita boleh menyumbang kepada bidang-bidang ilmu.
Ini memerlukan tenaga pengajar, tenaga pemikir dan bidang penyelidikan yang tinggi. Mungkin IKIM dengan perubahan hala tujunya akan lebih mempunyai peranan yang lebih besar.
Jadi saya fikir perkara ini memerlukan kewangan yang besar. IKIM kini memiliki aset di sebelah Jalan Langgak yang mempunyai nilai hartanah yang agak tinggi. IKIM juga ada hartanah di Pahang dan Sabah.
Hartanah-hartanah ini wajar dioptimumkan supaya ia dapat memberi pulangan lumayan kepada IKIM bagi menampung tenaga pengajar yang lebih pakar untuk mengendalikan satu atau dua kursus akademik.
Keduanya, berdakwah melalui teknologi. Kini IKIM ada radio IKIM. Mungkin dengan sumber pendapatan yang lebih besar, IKIM ingin mempertimbangkan peranannya dalam media TV di mana IKIM boleh memasukkan rancangannya ke dalam saluran-saluran TV yang sedia ada.
Atau mungkin satu hari kelak, jika ada kemampuan dan mendapat kelulusan Kerajaan, IKIM boleh mengadakan stesen TV dengan menggunakan peralatan pancaran stesen-stesen TV yang lain.
Saya penuh yakin dengan adanya program-program yang menarik dan inovatif, ia mampu menerapkan kefahaman Islam dengan lebih mudah. Inilah yang saya maksudkan dengan usaha memikirkan untuk membawa IKIM ke peringkat yang lebih tinggi.
— BERNAMA