KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperluas pemberian geran Skim Program Penyelidikan Mengikut Bidang Keutamaan (Irpa) membabitkan sekolah bagi menambah kecenderungan pelajar menceburi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata Irpa perlu diagih ke sekolah sejajar usaha menyuntik penguasaan ilmu sains dan penyelidikan.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu adil dan telus dalam pemberian geran itu dengan menyeimbangkan keperluan antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah, kerana kedua-duanya penting bagi memantapkan R&D.
“Bagi merealisasikan hasrat melahirkan 50 saintis dan jurutera penyelidik untuk setiap 10,000 tenaga buruh menjelang 2010, kerajaan perlu bersedia melabur bagi tujuan itu.
“Justeru, pembangunan infrastruktur penyelidikan sains dan teknologi perlu diperkasa pada peringkat sekolah sejajar usaha memupuk semangat mencintai sains dengan menjadikannya lapangan ilmu menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar Penguasaan Sains Sebagai Satu Kefarduan, Ke Arah Penyuburan Budaya Ilmu Yang Islami, di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Ikim, Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.
Sementara itu, Ahmad Sarji berkata, bagi merealisasikan masyarakat berilmu, usaha menyemai minat membaca dan sifat ingin tahu perlu dibudayakan sejak awal lagi.
“Usaha melahirkan masyarakat berilmu perlu disokong penyediaan kemudahan pendidikan dan penyelidikan seperti di makmal sekolah, akademi dan IPT seluruh negara,” katanya.
“Hakikatnya, negara sangat memerlukan saintis pelapis kerana kita berdepan krisis tenaga, berikutan bekalan petroleum yang semakin berkurangan. Sehubungan, itu usaha mempelbagaikan sumber tenaga alternatif seperti biodiesel perlu digiatkan,” katanya.