Makanan nutraseutikal merupakan suatu pemakanan tambahan yang kini sedang membanjiri pasaran. Banyak makanan nutraseutikal yang telah diadun dan dirumus khas untuk tujuan kesihatan. Tidak dinafikan, pakar, kesihatan di dunia sering mengaitkan kesihatan dengan aliran pemakanan yang sempurna dan berkhasiat. Persoalannya, adakah dengan kewujudan makanan berfungsi akan mengganggu gugat keperluan pemakanan seimbang yang sering diperkatakan? Adakah masyarakat kita sudah tidak perlu lagi mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat untuk menjaga kesihatan dengan adanya makanan nutraseutikal yang mampu dibeli oleh semua orang?
Sejak lebih dari 2000 tahun dahulu, Hipocrates telah menyarankan , ” jadikanlah makanan anda sebagai ubat dan ubat sebagai makanan”. Lazimnya, pakar perubatan dan pemakanan sendiri mengesyorkan bahawa sumber zat keperluan tubuh manusia datang daripada makanan seharian yang seimbang dan bukannya berpunca daripada pemakanan tambahan. Pemakanan yang seimbang sudah cukup untuk menampung keperluan zat tubuh kecuali jika seseorang itu mengalami masalah penyerapan pada sistem tubuh mereka.
Kesedaran orang ramai yang tinggi akan pentingnya penjagaan kesihatan mendorong kepada meningkatnya penggunaan makanan nutraseutikal. Secara umumnya, makanan nutraseutikal dibuat daripada bahan organik semulajadi tanpa tambahan zat kimia yang diambil untuk memenuhi kekurangan zat dalam pemakanan harian. Biasanya, ia didapati dalam bentuk kapsul, tablet, serbuk atau sirap yang yang dihasilkan daripada tumbuh- tumbuhan seperti kulat, spirulina, alfafa, rumput dan sebagainya selain daripada ianya juga didapati dari sumber haiwan seperti minyak ikan kod, salamon dan tuna. Oleh itu, makanan berfungsi (nutraseutikal) telah dikategorikan sebagai bahan nutraseutikal dan bukannya farmaseutikal seperti ubat- ubatan. Oleh sebab berdasarkan pengkelasan ini, keberkesanannya tidak perlu dibuktikan melalui ujian klinikal dan boleh dijual secara bebas sama ada di kedai farmasi atau secara jualan langsung.
Menerusi Rancangan Malaysia Ke Sembilan (2006- 2010), kerajaan menitikberatkan bioteknologi penjagaan kesihatan di mana dengan kemajuannya membolehkan penemuan dan pembangunan produk kesihatan yang lebih baik. Serentak dengan itu, peningkatan pasaran di Malaysia adalah melebihi RM 2 bilion setahun untuk nutraseutikal berasaskan herba sahaja. Ini menunjukkan ia semakin mendapat tempat di hati semua pengguna. Di samping itu, disebabkan oleh penemuan- penemuan saintifik yang menyokong manfaat sesuatu makanan nutraseutikal menjadi pendorong kepada peningkatan pasaran barangan makanan nutraseutikal. Hasil penemuan tersebut akan memberi keyakinan kepada pengguna dengan kepentingan makanan nutraseutikal dan kaitannya untuk kesihatan.
Namun, adakah dengan adanya makanan nutraseutikal ini, masyarakat kita boleh mengambil mudah dengan pemakanan yang seimbang? Sepatutnya hal ini tidak berlaku dalam masyarakat kita. Seorang dewasa yang sihat dan tidak menghadapi sebarang penyakit yang disebabkan kekurangan sesuatu vitamin dan galian dalam pemakanan mereka dianggap telah mendapat pemakanan yang mencukupi untuk dirinya atau telah mencapai tahap yang telah disarankan oleh U.S Recommended Dietary Allowance (RDA) dan Estimate Safe Adequate Daily Intakes yang menjadi kayu pengukur pengambilan zat dan galian bagi setiap individu.
Banyak unsur yang memungkinkan sesuatu makanan nutraseutikal itu menjadi keperluan bagi sesetengah golongan. Unsur yang perlu diambil kira adalah seperti umur, jantina dan tahap kesihatan seseorang. Disebabkan hal yang sedemikian, makanan nutraseutikal hanyalah berkhasiat untuk individu yang betul- betul memerlukannya. Namun begitu, sekiranya seseorang itu mendapat sumber zat pemakanan yang mencukupi, menjalani kegiatan jasmani yang baik, bersenam, mendapat rehat yang mencukupi, kehidupan yang teratur, adalah tidak disarankan untuk mengambil makanan nutraseutikal. Cukuplah sekadar menerus dan mengekalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat kerana keseimbangan ini akan membawa kepada pengekalan kesihatan yang lebih baik. Namun, jika dilihat kepada pola pemakanan masyarakat moden kita sekarang, agar sukar untuk mentakrifkan seseorang itu sudah mendapat zat pemakanan yang baik diperlukan oleh tubuh badan. Lihat saja dengan budaya hidup masyarakat kita yang sibuk dengan tugasan harian yang mendorong mereka seringkali mengambil makanan yang tidak baik untuk kesihatan. Keadaan ini memaksa mereka tidak mengamalkan pemakanan seimbang. Tambahan pula kebanyakan makanan yang berlambak di pasaran kini ditambah bahan pengawet dan penambah untuk menambahkan kesegaran, memperbaiki rasa dan mutu. Ditambah lagi dengan kesuntukan masa untuk melakukan senaman kerana sibuk bekerja, kurang tidur dan rehat, tekanan di tempat kerja dan rumah juga menyumbang kepada pola pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat dalam masyarakat kita sekarang. Justeru, di sinilah peranan yang dimainkan oleh makanan nutraseutikal untuk membekalkan nutrien yang tidak diperolehi oleh tubuh badan disebabkan unsur- unsur tersebut.
Penghidap anemia, selesema dan sembelit contohnya merupakan golongan yang mungkin perlu mengambil makanan nutraseutikal kerana ia membekalkan nutrien yang mencukupi kepada badan supaya tidak mudah dijangkiti penyakit lain. Golongan ini ditafsirkan sebagai mengalami kekurangan sesuatu gizi yang penting dalam kesihatan tubuh badan. Begitu juga dengan warga emas seharusnya lebih memerlukan makanan nutraseutikal berbanding dengan golongan lain kerana mereka mempunyai banyak masalah kesihatan contohnya osteoporosis, penyakit jantung dan Alzheimer (nyanyuk) bagi menguatkan tulang dan otot, memulihkan rembesan hormon dan akan menguatkan daya ingatan. Yang paling penting, masalah tiada gigi menjadi punca utama sesetengah golongan usia emas tidak dapat makan dengan baik dan ini akan menjejaskan penyerapan nutrien- nutrien yang penting. Peningkatan usia menyebabkan individu tersebut bukan sahaja kurang berselera untuk makan tetapi keupayaan badan untuk menyerap khasiat makanan juga menurun sejajar dengan pertambahan usia. Oleh itu, mungkin mereka memerlukan makanan nutraseutikal untuk meningkatkan dan memperbaiki tahap kesihatan yang dimiliki.
Sejajar dengan itu, seharusnya kita memperbaiki amalan pemakanan harian dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan bermutu. Tetapi makanan tambahan dan makanan nutraseutikal bukanlah pengganti kepada makanan sebaliknya hanya untuk menampung keperluan atau khasiat yang hilang atau tidak cukup dalam makanan. Pemilihan berada di tangan kita sendiri untuk menentukan yang terbaik untuk kesihatan kita dan memilih sesuatu makanan yang benar- benar memberi manfaat kepada tubuh badan bukan semata- mata kerana mengikut aliran hidup masyarakat moden masa kini.