Trend pemakanan yang telah mempengaruhi inovasi industri makanan sejak beberapa dekad ini ialah makanan sihat, mudah dan mapan. Pengguna lebih cenderung untuk memilih makanan yang berorientasikan kesihatan, lebih mudah disediakan dan dimakan serta mesra alam sekitar. Berdasarkan laporan trend makanan dan minuman 2019, tema penuaan sihat merupakan indikator pemilihan makanan pengguna pada hari ini sebagai suatu persediaan ke arah jangka hidup panjang yang sihat dan berkualiti.
Tambahan pula, kebimbangan pengguna terhadap penurunan kualiti kesihatan dan kesejahteraan menyemarakkan lagi permintaan terhadap produk semula jadi dan makanan kesihatan seperti produk makanan sunnah. Perkembangan ini telah menyumbang kepada pertumbuhan pesat industri gergasi makanan tambahan termasuk produk makanan sunnah yang dianggarkan bernilai melebihi USD100 bilion pada skala global.
Persoalan yang kerap tercetus dalam komuniti saintis ialah sejauh mana makanan tambahan memberi kesan signifikan terhadap aspek kesihatan dan apakah produk makanan yang dilabelkan sunnah dapat mengubah realiti status kesihatan masyarakat pada hari ini?
Kajian terkini membuktikan bahawa produk-produk tersebut tidak menghasilkan impak positif kepada indikator kesihatan seperti kadar kematian, kanser dan penyakit kardiovaskular. Realitinya, statistik telah membuktikan dalam tempoh 10 tahun iaitu, sejak 2007 sehingga 2017, sebanyak 54% pertambahan kes penyakit jantung berlaku dengan 13,503 kematian pada 2017 berbanding 8,776 kematian pada 2007. Sebanyak 64% daripada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang turut mengalami diabetes dan lebih 20,000 pesakit dalam senarai menunggu pendermaan organ, terutamanya buah pinggang.
Pengambilan produk makanan tambahan termasuk makanan sunnah tanpa mengira aspek jumlah dan cara pengambilan tidak dapat membantu menambah baik kualiti tahap kesihatan. Pembudayaan amalan pemakanan Nabi SAW, tidak harus diamalkan secara selektif mengikut pertimbangan sendiri sebaliknya, amalan pemakanan Islami secara holistik boleh mencegah penyakit dan mengelak gejala lebih teruk. Hal ini kerana yang diutamakan dalam Islam bukan hanya meliputi jenis makanan tetapi turut merangkumi cara pengambilannya.
Mutakhir ini, negara kita dilanda wabak Influenza yang menimbulkan kegusaran dan kepanikan ramai. Masyarakat disaran untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti aspek kebersihan diri dan vaksinasi. Namun, terdapat segelintir yang berpandangan tiada kepentingan dalam pengambilan vaksin sama ada sebagai langkah pencegahan mahupun tindakan rawatan selepas dijangkiti. Golongan ini mempunyai persepsi bahawa amalan mengambil makanan sunnah mampu mengelakkan gejala penyakit terus merebak dan menolak vaksin.
Tidak dapat dinafikan dengan ketersediaan asas bukti saintifik, makanan sunnah menunjukkan manfaat yang banyak kepada kesihatan manusia. Kesemua manfaat ini dapat diperoleh dengan lebih baik daripada makanan sunnah secara asli berbanding produk makanan tambahan berasaskan makanan sunnah. Namun, apakah hanya dengan diet dan makanan sunnah mampu mencegah dan merawat jangkitan influenza?
Persoalan ini dapat dirungkai dengan penilaian secara subjektif dua situasi ‘boleh’ atau ‘tidak’ mengelakkan penularan influenza. Makanan mengandungi nutrien-nutrien tertentu yang membantu dalam penghasilan antibodi. Unsur seperti zink terlibat dalam pertumbuhan sel darah putih yang berperanan merembeskan antibodi. Asid amino pula penting dalam penghasilan immunoglobulin. Pelbagai vitamin seperti A, B, C, D serta mineral lain penting dalam pembentukan sel-sel, penghasilan hormon dan bertindak sebagai antioksidan dalam badan. Kesemua zat tersebut dapat diperoleh daripada sumber makanan semula jadi, dan antibodi dapat dihasilkan bagi meningkatkan kecekapan dalam sistem imuniti tubuh.
Namun, dalam isu wabak influenza yang melibatkan strain dan subtype virus baharu serta sentiasa bermutasi yang masih belum dikenali oleh sistem badan. Justeru, badan memerlukan antibodi spesifik untuk melawan jangkitan tersebut. Dalam situasi ini, pemvaksinan adalah langkah yang lebih selamat untuk membantu sistem imuniti badan, di samping mengamalkan diet sihat dan langkah menjimatkan dalam menangani penularan wabak iaitu amalan kebersihan.
Menolak pemvaksinan dan hanya bergantung pada makanan sunnah dan suplemen semata-mata harus dielakkan. Pakar perubatan wajar dirujuk dalam mendapatkan penjelasan mengenai penyakit dan sikap menafikan kredibiliti doktor kerana mengutamakan makanan sunnah dan menganggap ia sebagai ubat atau penawar sesuatu penyakit perlu diperbetulkan. Makanan hanya bersifat sebagai perlindungan umum dalam pencegahan awal dan perlu diamalkan sepanjang masa berbanding dengan vaksin dan ubat-ubatan yang lebih bersifat khusus untuk rawatan penyakit tertentu.
Mengutamakan pengambilan produk makanan sunnah antara faktor keengganan para pesakit menjalani rawatan pemulihan serta melengahkan proses mendapatkan bantuan daripada doktor yang bertauliah. Bahkan jauh lebih ekstrem, terdapat pesakit yang memberhentikan ubatan moden yang dipreskripsikan oleh doktor kerana memilih produk makanan sunnah. Hal ini kerana golongan tersebut merasakan makanan tambahan dan produk makanan sunnah lebih selamat dan boleh menggantikan ubatan moden dalam merawat penyakit. Persepsi sebegini seharusnya tidak wujud dalam kalangan umat Islam kerana mengamalkan sunnah tidak hanya tertakluk kepada jenis makanan dan sekiranya ubatan moden menepati prinsip jalb al-mashālih wa dar’u al-mafāsid juga dianggap sunnah kerana semangat asalnya adalah untuk membawa kemanfaatan dan menolak kemudaratan.
Persepsi dan salah faham dalam masyarakat pada hari ini harus diperbetulkan dengan kesedaran dan pemahaman yang lebih jelas tentang konsep makanan sunnah, amalan pemakanan Islami dan konsep usaha serta tawakal dalam penjagaan kesihatan dan perawatan penyakit. Pengamalan tatacara pemakanan yang disarankan oleh Rasulullah SAW dengan lebih meluas dan menyeluruh berupaya membantu umat Islam menangani ancaman penyakit. Bersifat selektif dan spesifik dalam amalan makanan dan perubatan dengan alasan mengikut sunnah Nabi SAW dalam masa yang sama menafikan keupayaan doktor, perlu diperbetulkan. Usaha dengan kaedah yang diperakui keberkesanannya dan disarankan oleh pakar bertauliah adalah menepati konsep tawakal yang dianjurkan Islam dalam meniti usia yang berkualiti dan sihat.