Setiap tahun, Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dengan tema yang berbeza bagi memperingati perjuangan untuk mencapai kemerdekaan dan seterusnya memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia. Pada tahun ini, tema yang dipilih adalah “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” dan tema ini menekankan pentingnya mencapai kemerdekaan sebenar dalam jiwa dan membentuk masyarakat yang bertamadun dan beradab.
Jiwa merdeka bermaksud memiliki identiti dan jati diri yang kukuh sebagai rakyat Malaysia yang merdeka dan berdaulat. Jiwa merdeka adalah asas kepada pembinaan negara bangsa yang kuat di mana rakyatnya berdiri teguh dengan nilai-nilai kemerdekaan dan keadilan. Namun, mengapa jiwa yang merdeka sukar untuk dicapai bagi negara yang merdeka?
Dari pembacaan dan penelitian saya terdapat beberapa cabaran yang menjadi halangan untuk merealisasikan jiwa yang merdeka.
Pertama, kita masih dipengaruhi mentaliti penjajahan. Sejarah panjang penjajahan telah meninggalkan kesan mendalam pada pemikiran rakyat Malaysia. Sejarah Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis. Selepas itu, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824. Oleh sebab itu, ramai yang terperangkap dalam mentaliti penjajahan dan masih merasakan bahawa budaya dan pemikiran penjajah adalah lebih baik.
Faktor kedua ialah isu ketidakseimbangan ekonomi rakyat Malaysia. Jurang ekonomi yang luas antara golongan kaya dan miskin serta kemudahan di bandar dan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak menyebabkan rasa tidak puas hati dan perasaan terpinggir dalam mengecapi erti kemerdekaan yang sebenar. Oleh itu, perlu dilihat semula pelaksanaan dasar ekonomi yang adil dan saksama bagi memastikan rakyat di luar bandar atau miskin bandar mendapat peluang yang adil dalam ekonomi.
Isu yang ketiga pula ialah berkaitan dengan isu perkauman. Perbezaan kaum dan agama sering digunakan untuk memecah belahkan rakyat dan menghalang perpaduan yang sebenar. Program dan aktiviti yang mempromosikan perpaduan antara kaum dan agama perlu diperhebatkan. Sebagai contoh, selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan telah diperkenalkan.
Keempat, perkara yang menghalang jiwa merdeka ialah pengaruh budaya luar yang kuat terutama melalui media dan teknologi yang telah menghakis nilai-nilai tempatan dan menjejaskan identiti kebangsaan begitu juga dengan kebanjiran warga asing dari berbagai negara. Malaysia kini mempunyai jumlah warga asing antara yang tertinggi pernah dicatatkan iaitu 3.4 juta atau 10 peratus daripada 34 juta penduduk. Jumlah rakyat Malaysia setakat suku pertama 2024 ialah 30.6 juta (Sinar Harian 16/5/20240). Berdasarkan laporan Perangkaan Demografi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia berlaku pertambahan sebanyak 600,000 warga asing hanya dalam tempoh setahun dan ini amat membimbangkan.
Pertambahan warga asing yang mendadak telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat tempatan yang selama ini hidup dengan aman dan damai. Anti terhadap pendatang dapat kita lihat bagaimana rusuhan yang sedang berlaku sekarang ini di United Kingdom (U.K) oleh sayap kanan secara besar-besaran terhadap kaum pendatang (U.K) dan komuniti Islam selepas insiden yang membunuh tiga remaja perempuan.
Kelima, pemerkasaan budaya dan bahasa kebangsaan dengan menggalakkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam semua aspek kehidupan dan mempromosikan kebudayaan tempatan melalui pelbagai platform. Ini adalah kerana ada kes walaupun telah menjadi rakyat Malaysia berpuluh-puluh tahun namun tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan ini amat berbeza dengan Indonesia dan Thailand yang mana kesemua rakyat mereka yang terdiri dari berbagai bangsa boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan negara mereka atau bahasa majoriti.
Mengapakah budaya dan bahasa tempatan ini amat penting untuk dihormati? Ini adalah kerana dalam mana-mana negara di dunia ini penduduk majoriti memberi kesan besar terhadap kestabilan sesebuah negara. Jika penduduk majoriti ini tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu kemungkinan besar mereka akan memboikot terhadap produk atau perniagaan seperti apa yang kita dapat lihat sekarang ini berkaitan isu boikot terhadap makanan dan minuman segera yang menyokong Israel terhadap konflik di Palestin. Penduduk majoriti juga akan turun ke jalanan untuk melakukan protes secara besar-besaran dan akhirnya sesebuah kerajaan itu akan tumbang. Maka, amatlah penting untuk menjaga hak-hak penduduk majoriti.
Cuba kita lihat apa yang sedang berlaku sekarang ini di Bangladesh. Berita terkini (5/8/2024) melaporkan jumlah korban nyawa adalah sebanyak 280 orang. Pergolakan bermula apabila bantahan golongan pelajar terhadap pengurangan kuota untuk pemohon kerja sektor awam selepas sistem tersebut mencetuskan pergolakan di seluruh negara dan berlaku pertempuran maut antara polis dan penunjuk perasaan. Rentetan daripada peristiwa ini, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina telah meletak jawatan dan lari serta tinggalkan negara selepas protes berdarah terhadap pemerintahannya
Jika dilihat dari perspektif Islam, konsep jiwa merdeka berkait rapat dengan kebebasan dari perhambaan kepada makhluk lain dan pengabdian sepenuhnya kepada Allah. Jiwa merdeka dalam konteks ini membawa maksud kebebasan dari segala bentuk kezaliman, penindasan dan ketidakadilan. Ia juga bermakna memiliki kekuatan dalaman untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta menjalani kehidupan dengan penuh ketakwaan dan keimanan kepada Allah.
Di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 256 mafhumnya “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)……” Ayat ini menunjukkan bahawa manusia diberi kebebasan untuk memilih jalan kebenaran tanpa paksaan menekankan kebebasan dalam beriman dan beragama. Di dalam Surah An-Nisa’, ayat 135 pula mafhumnya “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu……..” Ayat ini menekankan keadilan sebagai salah satu prinsip utama dalam Islam yang menunjukkan bahawa jiwa merdeka adalah jiwa yang menegakkan keadilan walau dalam keadaan sukar.
Akhir sekali, jiwa merdeka yang hakiki ialah kehidupan sebagai ahli syurga. Kehidupan yang kita lalui ini hanyalah bersifat sementara dalam meniti takdir Allah SWT yang telah ditetapkan ke atas kita. Tidak ada yang kekal di dunia yang sementara ini. “…..Dan(ingatlah) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. (al-Hadid:20).