Pada 15 Disember 2022, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan Forum Antarabangsa bagi memperingati ulang tahun ke-2 pemergian Allahyarham Profesor Diraja Ungku A. Aziz (d. 2020), dan khususnya sumbangan Allahyarham dalam memperluaskan erti ‘pembangunan’ dalam konteks semasa.
Dalam Titah Diraja majlis ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa pembangunan sesebuah negara dikaitkan bukan sahaja dengan jumlah wang yang ada, atau kepada jumlah bangunan dan lebuh raya moden yang dibina. Sebaliknya, erti pembangunan titah baginda sultan, seharusnya merangkumi unsur-unsur bukan kebendaan dan hakikat batin sesebuah bangsa seperti kehalusan budaya, ketinggian akhlak, dan mutu pemikiran masyarakat.
Ternyata, istilah pembangunan tidak boleh terbatas kepada pengertian pembinaan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi seperti yang sering dilakukan oleh masyarakat hari ini.
Malah sekiranya menelusuri pemikiran Ungku Aziz, khususnya pada fasa penghujung kerjaya dan hayat beliau, kita dapati beliau cuba mengisyaratkan satu pengertian yang lebih luas. Sebagai contoh, pada tahun 1992, Ungku Aziz pernah menyatakan: “Kajian kesusasteraan dan warisan (keilmuan) manusia tidak boleh dilupakan walaupun Malaysia sedang menuju ke arah menjadi masyarakat saintifik dan progresif pada abad yang akan datang… Akal fikiran orang terpelajar memerlukan khasiat budaya sebagaimana tubuh memerlukan khasiat makanan. Kita mempunyai contoh negara-negara maju di mana pencapaian saintifik diimbangi oleh sistem pendidikan yang menggalakkan pelajar menghargai karya agung masa lalu dan masa kini dan membiasakan diri dengan sekurang-kurangnya sebahagian daripada karya kreatif dan wacana manusia sepanjang masa dan merentasi sempadan.”
Dan sekiranya faham kemajuan dan pembangunan sedemikian diungkapkan dan direncanakan dengan memanfaatkan warisan hikmah Islam dan juga tradisi hikmah Timur, ia berupaya menjelmakan satu perspektif, kerangka dan corak pembangunan yang baharu.
Ini juga pernah disarankan oleh Ungku Aziz dalam satu wawancara pada tahun 1979: “Mesti dikaji dalam al-Quran dan hadis. Apakah dia prinsip-prinsip ini sebenarnya dan juga kita harus mengkaji sejarah Islam di zaman gilang-gemilang di Timur Tengah, di Baghdad, di Samarkand dan juga Islam di Sepanyol dalam kurun kesepuluh misalnya. Apa pengalaman dia dan daripada sejarah ini boleh kita lihat, boleh ataupun tidak kita dirikan satu model… dalam pemikiran dia tidak dibezakan antara apa yang diuruskan oleh Kerajaan dan apa yang diuruskan oleh pihak Agama disatukan benda ini semua. Ini pun semua memerlukan satu final view, satu cara berfikir…”
Pada masa kini, walaupun tidak dapat dinafikan bahawa isu-isu mendesak masyarakat seperti kos sara hidup, keadilan sosioekonomi, dan pembasmian kemiskinan mesti terus dikekalkan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan mana-mana negara maju, ia sering dilihat secara terpisah daripada hakikat batin pembangunan.
Pada hakikatnya, sekiranya sesebuah kerajaan memberi tumpuan yang sewajarnya kepada agenda pembangunan dalaman sesebuah bangsa ini, ia berupaya memastikan agar isu-isu yang dianggap lebih mendesak dan praktikal dapat ditangani dengan lebih bijaksana dan berkesan.
Atas sebab inilah walaupun negara-negara Barat telah banyak menumpukan tenaga kepada Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini didapati sekumpulan penyelidik dan cerdik pandai, dan disokong oleh beberapa buah syarikat besar di Eropah sedang membina dan menganjurkan agenda ‘Matlamat Pembangunan Dalaman’ (Inner Development Goals) untuk mengatasi kelemahan asasi agenda pembangunan SDG.
Umat Islam perlu insaf bahawa kebanyakan agenda dan idea yang muncul dari Barat atau badan antarabangsa ialah hasil daripada proses sekularisasi berkurun lamanya di mana hakikat kerohanian telah disingkirkan dalam segala pertimbangan mereka. Oleh kerana inilah matlamat-matlamat pembangunan lestari anjuran PBB serta pendekatan untuk mencapainya sering dilihat secara terpisah: contoh paling ketara ialah apabila hakikat zahir pembangunan dilihat secara terpisah dengan hakikat batin pembangunan.
Oleh sebab itu, ia tidak memadai untuk sekadar menempelkan pendekatan maqāṣid al-sharīʿah dengan agenda pembangunan SDG, kerana ia mengabaikan andaian-andaian Islam mengenai hakikat alam semesta, insan, dan kewujudan amnya.
Walau apa pun, Malaysia berpeluang untuk memimpin perbincangan bagi dunia Islam untuk mentakrifkan semula makna pembangunan dan membangunkan agenda yang mengintegrasikan secara harmoni hakikat batin dan zahir berpandukan ajaran para alim ulama silam – khususnya dalam erti kata hikmah nazariyyah dan hikmah amaliyyah.
Penulis berpendapat demikian kerana Malaysia mempunyai ramai individu terpelajar, institusi yang relevan (termasuk Institut Kefahaman Islam Malaysia) dan kepimpinan seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai daya-fikir untuk menjayakan agenda sedemikian.
Institusi Pengajian Tinggi juga perlu diperkasakan supaya boleh menjayakan agenda pembangunan yang lebih menyeluruh ini. Dalam satu kertas kerja Ungku Aziz yang menarik bertajuk “Peranan Universiti di Asia pada Abad Ke-21”, yang diterbitkan oleh The United Nations University dalam jilid bertajuk The Role of the University: Global Perspective (1994), beliau menyatakan bahawa universiti perlu memainkan peranan pemangkin (catalystic role) dalam mempercepatkan proses kebangkitan semula tradisi keilmuan dan pembelajaran Asia.
Antara lain yang Ungku Aziz maksudkan dengan tradisi pembelajaran Asia ialah tradisi yang mencari jalan bagi manusia untuk mengharmonikan dirinya dengan alam semesta dan mencari jalan menuju kedamaian batin (inner peace) dengan memperbaiki hubungan dengan alam jasmani dan alam rohani, dan tradisi pembelajaran yang berusaha untuk memupuk kecemerlangan termasuk kehalusan budi pekerti atau penerapan adab sebagaimana yang difahami dalam tradisi Islam. Walau bagaimanapun, kunci kepada pembangunan yang lebih menyeluruh ini terletak pada penunaian perintah Allah (dalam Surah al-Nisa’ 4:58) untuk mengembalikan pelbagai amanah (amanah) kepada ahlinya yang sah, kerana tanpa memanfaatkan ahli yang sah daripada pelbagai bidang khususnya dalam bidang agama, pemikiran, dan ketamadunan, pembangunan yang menyeluruh tidak akan dapat dijelmakan dengan sebaik mungkin. Sejarah manusia telah membuktikan hakikat ini. Wallahua’lam.