Dalam mendepani situasi krisis tenaga yang disebabkan konflik Iran-Amerika Syarikat dan sekutunya sehingga membawa kepada sekatan di Selat Hormuz, tidak dapat dinafikan, bahawa isu keselamatan dan kedaulatan tenaga kini menjadi fokus utama setiap negara di dunia.
Sungguhpun kebanyakan negara perlu bergerak ke arah sumber tenaga selain bahan api fosil bagi memenuhi komitmen perubahan iklim, realitinya, sumber tenaga boleh baharu seperti tenaga suria, angin, hidro dan biojisim masih belum berkapasiti untuk menjadi pengganti utama bahan api fosil. Dalam tempoh peralihan ini, gas asli memainkan peranan penting sebagai bahan api fosil peralihan yang paling bersih, jika dibandingkan dengan arang batu, petroleum dan diesel. Bagi memudahkan bekalan dieksport, gas asli disejukkan dalam suhu -160°C menjadi gas asli cecair (Liquified Natural Gas, LNG) yang isipadunya 600 kali ganda lebih kecil daripada saiz asalnya. Ini menjimatkan ruang, membolehkan bekalan LNG disimpan dalam kapal tangki muatan gergasi dan membolehkan bekalan dihantar ke mana-mana kawasan di dunia tanpa menggunakan saluran paip.
Dalam rangka lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Jepun baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, telah mengeluarkan penyataan bersama berkaitan keselamatan tenaga di mana kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama bekalan gas asli cecair (LNG) dari Malaysia ke Jepun, selain kerjasama teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan maritim. Berasaskan hubungan perdagangan LNG yang telah lama dimeterai sejak 1983 lagi di antara Malaysia dan Jepun melalui Petronas-JERA, kerjasama ini perlu dilihat lebih dari sekadar perdagangan gas. Malaysia dan Jepun dilihat turut akan meningkatkan kerjasama dalam teknologi rendah karbon, pemerangkapan dan simpanan karbon, industri hidrogen dan teknologi hijau. Ini secara tidak lansung menyerlahkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik tenaga bagi rantau Asia dalam era krisis tenaga ini.
Walaubagaimanapun, jika dilihat dari sudut kelestarian semasa, LNG seringkali dikaitkan dengan isu pelepasan metana, ketelusan rantaian bekalan dan piawaian “LNG Hijau”. Menurut laporan terkini ASEAN Centre for Energy yang diterbitkan tahun ini, LNG sering dianggap sebagai bahan api peralihan, walaupun rantaian pemprosesannya masih lagi menghasilkan pelepasan gas rumah kaca, khususnya metana yang mempunyai kesan pemanasan jauh lebih tinggi dalam jangka masa pendek berbanding karbon dioksida. Ini adalah penting kerana status LNG sebagai bahan api peralihan yang hijau hanyalah dapat dipertahankan sekiranya pelepasan metana di sepanjang rantaian pemprosesannya dapat dipantau, dikurangkan dan disahkan secara bebas. “LNG Hijau” bukanlah bermakna LNG menjadi tenaga boleh baharu, tetapi merujuk kepada LNG yang lebih mesra alam sekitar.
Natijahnya, perkara ini boleh membawa implikasi strategik kepada Malaysia. Ini adalah kerana Jepun dan Korea Selatan yang merupakan pasaran utama LNG di rantau Asia ini amat menekankan menekankan ketelusan pelepasan melalui inisiatif yang digelar “Coalition for LNG Emission Abatement toward Net-zero (CLEAN)”. Justeru itu, kerjasama LNG Malaysia-Jepun wajar dilihat bukan sekadar jaminan bekalan tenaga, tetapi peluang Malaysia memimpin agenda LNG rendah metana atau “LNG Hijau” di rantau ini. Sekiranya Malaysia ingin kekal sebagai rakan strategik tenaga yang boleh dipercayai, kita bukan sahaja perlu membekalkan tenaga yang stabil, tetapi juga tenaga yang disahkan bersih dan boleh dipertanggungjawabkan. Krisis yang masih lagi berlarutan di Asia Barat mengingatkan dunia bahawa keselamatan tenaga bukanlah isu ekonomi semata-mata, tetapi membentuk sebahagian daripada kedaulatan negara. Tambahan pula, kedaulatan tenaga di abad ini pula tidak dapat dipisahkan dengan komitmen dan tanggungjawab iklim. Walaupun Malaysia cemerlang sebagai pengeluar LNG dan rakan strategik tenaga di rantau Asia ini, cabaran sebenar negara tetap wujud dalam memastikan pilihan tenaga negara selamat untuk rakyat, berdaya tahan untuk ekonomi dan bertanggungjawab kepada alam sekitar serta generasi masa hadapan.

