MENGIKUT Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim, kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding beberapa negara Islam lain dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), tidak banyak perbezaannya.
Hanya Perlembagaan Republik Turki secara nyata meletakkan negaranya sebagai negara sekular. Ini terkandung dalam Perkara 2 yang membuat peruntukan: “The Republic of Turkey is a democratic, secular and social state.”
(Republik Turki ialah negara demokratik, sekluar dan sosial).
Keadaan ini berlainan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyebut bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan.
Sebelum negara ini mencapai kemerdekaan, beberapa negeri Melayu seperti Johor dan Terengganu, mempunyai Perlembagaan Negeri. Contohnya, Johor memasukkan agama Islam dalam Perlembagaan Negeri bertarikh 1895. Perkara 57, Perlembagaan Negeri Johor membuat peruntukan bahawa Islam adalah agama bagi Johor dan segala jajahan takluknya. Bahkan, ada pula negeri secara khusus menetapkan mazhab yang terpakai adalah Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Mengimbas kembali secara ringkas sejarah memartabatkan Islam dalam Perlembagaan Negara, ia adalah satu usaha gigih yang dibuat oleh kerajaan yang memerintah ketika itu selepas dipersetujui oleh kaum terbesar di negara ini. Ini diperakui Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, dalam Perbahasan Parlimen 1977. Pelbagai tafsiran diberikan kepada Perkara 3 (1). Jika dikaji secara menyeluruh, ada beberapa peruntukan lain dalam perlembagaan yang memberi kedudukan dan taraf kepada agama Islam.
Justeru, adakah kita dikongkong untuk memahami Islam dengan apa yang dihuraikan oleh mahkamah iaitu, Islam terbatas kepada upacara semata-mata, dan anggapan bahawa negara ini sekular? Sedangkan tiada perkataan sekular dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding Turki.
Cuma, ungkapan itu pernah timbul dalam kertas putih yang membuat perakuan mengenai kedudukan Islam dan ungkapan itu pula perlu dilihat dalam konteks sejarah.
Kedudukan Islam dalam perlembagaan boleh dilihat dari pelbagai sudut.
Selain Perkara 3, Perkara II (1) menyebut mengenai kebebasan beragama dan secara khusus Perkara II (4) mengenai mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama di antara orang yang menganuti agama Islam. Perkara 121 (1A) menyentuh kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan dan Perkara 12 (2) mengenai penggunaan wang dari Dana Persekutuan Yang Disatukan untuk tujuan pembangunan Islam.
Jadual Kesembilan Senarai 11 Senarai Negeri menentukan butir mengenai perkara berkaitan hal ehwal Islam, yang terletak dalam bidang kuasa negeri. Di antaranya, hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga orang Islam; hukum syarak berhubung pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat; pembahagian harta dan amanah khairat; wakaf; zakat fitrah; baitulmal; masjid; mengadakan dan menghukum kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam, kecuali mengenai perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, keanggotaan dan penyusuan dan acara bagi Mahkamah Syariah, yang hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan, kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan.
Perkara 160 pula dengan jelas memberikan tafsiran Melayu bahawa orang Melayu ialah seseorang yang menganut agama Islam.
Perlembagaan adat Perkara 4 (1) yang meletakkan perlembagaan, adalah undang-undang utama mengatasi undang-undang lain. Peruntukan ini dilihat sebagai penghalang pelaksanaan Islam. Ada pendapat mengatakan, sama ada peruntukan itu benar-benar menghalang pelaksanaan Islam, pada hakikatnya, banyak tertakluk kepada tafsiran dan dasar yang dibuat bagi pelaksanaan Islam.
Perkembangan dalam pelaksanaan dasar penerapan nilai Islam berjalan dengan baik, bahkan pekeliling kerajaan mempunyai kesesuaian dengan Islam, seperti yang menyentuh etika dan nilai. Bahkan, Mahkamah Sivil memberi tafsiran positif kedudukan Islam. Ada ketikanya kes yang membabitkan muamalah diputuskan oleh Mahkamah Sivil. Timbul hasrat atau pendapat supaya satu tribunal atau mahkamah yang boleh membicarakan kes muamalah ditubuhkan. Mungkin sudah sampai masanya diadakan ‘syariah bench’ di Mahkamah Sivil.
Pelaksanaan Islam di Malaysia tidak semestinya dibuat berdasarkan tafsiran mahkamah. Justeru, pembangunan syiar Islam dalam aspek infrastruktur berlaku dengan pesatnya. Di sana sini tersergam masjid, pusat Islam, pejabat agama, sekolah agama dan Mahkamah Syariah. Semuanya dibekalkan dengan pegawai yang dibiaya oleh kerajaan.
Bahkan seawal tahun 1980-an ditubuhkan Bank Islam, Takaful dan pelbagai produk serta perkhidmatan Islam. Mereka yang berurusan dengan institusi itu, termasuk masyarakat bukan Islam.
Ini membuktikan rakyat negara ini dapat menikmati faedah dari pelaksanaan undang-undang Islam dalam bidang perkhidmatan dan kewangan Islam Sejak 1980-an.
Malahan, Malaysia juga kini diiktiraf pusat kewangan Islam global.
Keunikan Islam dalam perlembagaan termaktub pada peranan raja atau sultan dan Yang di-Pertuan Agong. Raja adalah ketua agama Islam seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 3 (2), (3) dan (5). Hal ehwal agama Islam pula, secara amnya, terletak pada negeri, kecuali Wilayah Persekutuan pada Pusat/Parlimen.
Beberapa perkembangan ke arah perubahan yang boleh meningkatkan Islam dan hukum syarak sedang berlaku di negara ini.
Di antara perubahan itu ialah mengemas kini dan menyeragamkan undang-undang yang ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah; mengadakan dasar guna sama pegawai dan hakim Mahkamah Syariah; menubuhkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; menubuhkan Jabatan Mufti serta melengkapkan jabatan itu dengan pegawai.
Dalam usaha untuk menaiktarafkan Mahkamah Syariah dan perkembangan hukum syarak, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil. Sebuah unit telah ditubuhkan bagi tujuan itu di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Kesimpulannya, tanggapan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak memberi ruang kepada perkembangan Islam dan perundangannya, adalah tidak tepat.
Ini kerana kita dapat melihat perubahan ke arah penerapan dasar-dasar Islam sedang berlaku secara teratur dan harmoni. Keadaan ini tidak menimbulkan keresahan kepada mana-mana pihak dan diterima dengan baik.