Amalan yang mula-mula sekali apabila bangun daripada tidur dan mula membuka mata kita pada awal pagi, umat Islam pertama-tama sekali disunatkan untuk mengungkapkan doa sepertimana yang dinukilkan dalam kitab-kitab hadis antaranya: “Alhamdullillahilladzi ahyaanaa b’ada maa amaatanaa wa ilaihin nushur” yang bermaksud “Segala puji bagi Allah, yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami dan kepada-Nya kami dibangkitkan” (Hadis riwayat imam Bukhari, no. 6325). Nikmat kehidupanlah merupakan antara nikmat yang paling besar sekali selepas nikmat iman dan Islam kerana dengan diberi kesempatan untuk terus hidup, kita masih mempunyai ruang masa untuk melakukan dua perkara: pertamanya, untuk menambahkan lagi amalan soleh kita kepada Allah SWT, dan kedua untuk kita bertaubat atas segala dosa-dosa kita yang lalu. Namun nikmat hidup inilah yang sering kita abaikan, diambil mudah (take for granted) dan mengira ia adalah pemberian biasa-biasa sahaja. Apabila nyawa kita disentap, maka pada ketika itu barulah kita sedar betapa selama ini kita telah mengabaikan usia kita.
Masih terasa kemeriahan sambutan tahun baharu bagi tahun ini, 2018. Beberapa hari lagi kita akan kembali menyambut tahun baharu, iaitu tahun 2019. Bermakna telah berlalu 365 hari. Soal sama ada wajar sambutan tahun Masihi atau Hijrah, ia bukan isu pokok di sini. Yang kita bicarakan ialah betapa pantasnya masa berlalu, sama ada dikira berdasarkan tahun Masihi atau Hijrah ¾ kita sudah setahun berlalu. Ia bermakna “modal” usia kita telah habis setahun dan kita telah kekurangan setahun. Adakah setahun yang berlalu itu menjanjikan pulangan yang besar pada Hari Akhirat kelak? Terpulanglah kepada usaha masing-masing dan sama-samalah kita saksikan nanti di Padang Mahsyar kelak.
Antara tanda-tanda Hari Kiamat ialah apabila masa dirasakan berlalu begitu pantas sekali. Baginda SAW bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi dan turut diriwayatkan oleh imam-imam hadis lain dengan lafaz yang sedikit berbeza yang mafhumnya, “Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa berlalu dengan begitu pantas. Setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari manakala sehari dirasakan seperti sejam, dan sejam dirasakan seperti kerlipan nyalaan api yang bertiup.”
Ketika Baginda SAW melafazkan kata-kata mulia ini 1400 dahulu, para sahabat r.a pada masa itu mungkin tidak begitu memahami dengan jelas apa yang baginda SAW maksudkan kerana pada masa dahulukala peredaran masa tidak begitu terasa seperti yang kita rasakan hari ini dan dengan pelbagai kesibukan yang dilalui hingga peredaran masa antara siang dan malam pun kadangkala kita tidak perasan.
Manusia dahulukala, kehidupan mereka diatur mengikut peredaran masa. Mereka mula bekerja apabila matahari mula terbit dan apabila matahari tenggelam mereka bersiap untuk tidur kerana mereka tidak boleh melihat apa-apa kerana gelap, dan begitulah seterusnya. Kehidupan mereka berasaskan kepada masa tabi’e yang ditentukan oleh peredaran matahari. Kehidupan mereka begitu terikat dengan persekitaran dan cukup harmoni dengan alam. Inilah yang disebutkan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Naba ayat ke-10, maksudnya, “Kami jadikan malam sebagai pakaian (untuk kamu beristirehat), dan kami jadikan siang untuk kamu mencari rezeki”.
Namun, apabila berlaku revolusi industri dan terciptanya janakuasa elektrik pada abad ke-18, manusia tidak lagi terikat dengan peredaran masa yang diatur melalui peredaran matahari kerana manusia boleh bekerja sehingga pada malam hari sekalipun. Masa manusia menjadi masa mekanikal dan industri. Manusia menjadi semakin sibuk. Matahari naik atau tenggelam tidak memberi apa-apa makna lagi kepada kehidupan manusia. Mereka menjadi semakin terpisah dengan peredaran matahari dan alam semesta.
Dan pada hari ini, masa berubah menjadi masa siber dan virtual apabila manusia menjadi semakin sibuk sehinggakan 24 jam kita lihat manusia bekerja, ada restoran 24 jam, ada kedai runcit 24 jam, ada klinik 24 jam, siaran TV 24 jam dan bermacam-macam lagi. Siang dan malam seolah-olah sudah tiada beza dan memberi apa-apa makna lagi. Apa yang boleh dibuat pada siang hari seolah-olahnya boleh juga dibuat pada malam hari. Ada yang menonton TV sepanjang malam, ada yang menghabiskan masanya di pusat-pusat hiburan 24 jam. Bahkan hari ini kesibukan kita menjadi semakin menjadi-jadi. Masa berlalu sepantas kilat bak selaju kelajuan internet broadband 4G atau lebih laju lagi. Semuanya menjadi semakin pantas dan laju. Anak-anak kita siang malam dengan gadget permainan mereka, tidak lagi tidur pada waktu yang sepatutnya mereka tidur. Ibubapa pula ada ketikanya sibuk dengan peralatan telefon pintar masing-masing, ‘bermain’ whatsapp, sms ketika memandu sudah menjadi semacam lumrah walaupun ia adalah satu kesalahan dan merbahayakan keselamatan di jalanraya. Masa menjadi masa siber yang 24/7 menyibukkan kita sehingga kita tiada masa untuk satu sama lain, masa ibu bapa untuk anak-anak. Kita menjadi “robot” berkejar ke sana ke mari. Kita sudah hilang nilai dan hakikat masa yang sebenarnya sehingga terpacul daripada lidah kita ungkapan “saya tiada masa”, seolah-olah menyalahkan masa.
Isunya di sini bukannya salah masa yang berlalu begitu pantas, tetapi salah diri kita sendiri yang tidak pandai menjaga, menghargai dan menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Jangan kita salahkan masa kerana berlalu dengan pantas, tetapi salahkan diri kita sendiri. Imam Syafi’i r.a pernah mengungkapkan,”Kita menyalahkan masa walhal kesalahan itu dalam diri kita sendiri. Tidaklah masa itu bersalah, tetapi kesalahan itu pada diri kita sendiri, bukan pada yang lain”. Kita tidak boleh mengawal peredaran masa, dan masa akan menjadi semakin pantas semakin hampirnya dunia ini dengan Hari Kiamat sepertimana hadis yang kita sebutkan pada awal tadi. Tetapi apa yang boleh kita ubah ialah bagaimana kita melihat masa, kepentingan masa, dengan menjaga masa agar masa kita diberkati Allah SWT. Para ulama memberi tafsiran berhubung hadis tadi bahawa antara lain masa menjadi pantas kerana hilangnya keberkatan. Bagi mereka yang menjaga masa dan menggunakan masa untuk perkara bermanfaat, insya-Allah masa akan sentiasa cukup baginya kerana berkat masa bersamanya. Marilah sama-sama pada awal tahun ini kita menginsafi bahawa masa merupakan nikmat agung yang Allah SWT berikan kepada kita yang perlu kita hargai dan jaga dengan baik, dan janganlah sekali-kali kita membuang masa kerana masa itu bukan hak kita untuk dibuang-buang, tetapi ia adalah hak milik Allah SWT. Membuang masa seumpama membazirkan sebahagian daripada diri kita sendiri.