Dunia kini sedang dilanda krisis makanan . Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB), Ban Ki-moon menggesa tindakan bersepadu antarabangsa berhubung kenaikan harga makanan, dan kini lebih 3,000 delegasi dari 193 negara dijangka menghadiri 12 sesi Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB yang diadakan di Ghana bagi menentang tirai kenaikan harga makanan serta kelembapan ekonomi.
Pengeluaran beberapa tanaman seperti gandum, jagung dan beras telah susut secara mendadak di negara pengeluar utama. Kerajaan Thailand dan Filipina telah terpaksa mengeluarkan stok simpanan beras negara untuk diagihkan kepada rakyatnya. Keadaan di Indonesia pula semakin gawat apabila negara itu terpaksa berdepan dengan kenaikan harga gula, gandum dan minyak masak sehingga memberi tekanan kepada kehidupan rakyatnya. Negara Arab berdepan dengan kenaikan harga gandum yang naik dua kali ganda sejak enam bulan lalu. Yaman, negara Arab dianggap paling miskin berdepan dengan kenaikan harga barang sehingga 20 peratus.
Krisis ini dikhuatiri akan mengancam usaha PBB dalam kempen memerangi kemiskinan sejagat. Ada kira-kira 854 juta penduduk dunia yang kelaparan dan bilangan itu bertambah empat juta orang setiap tahun. Amerika Syarikat telah menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak AS $200 juta(RM640 juta) bagi membantu negara yang mengalami kenaikan harga makanan. Dilaporkan bahawa harga makanan dunia telah meningkat sebanyak 40 peratus dan kadar simpanan makanan kini pada tahap terendah. Kenaikan harga makanan asas di sesetengah negara termiskin dunia menyebabkan huru-hara di Haiti dan tunjuk perasaan di seluruh Afrika. Di antara punca kenaikan harga makanan dunia adalah kesan daripada lemahnya ekonomi dunia berikutan kenaikan berterusan harga minyak mentah. Krisis makanan utama kebanyakan penduduk dunia juga berpunca daripada permintaan yang tinggi sedangkan penawarannya kepada penduduk dunia tidak dapat memenuhi kehendak tersebut. Kadar inflasi yang tinggi jika berlaku akan mengurangkan kuasa beli pengguna.
Perubahan cuaca yang melampau kesan pemanasan global yang semakin dirasai dunia lewat beberapa tahun kebelakangan ini menambah buruk krisis makanan apabila hasil tuaian di negara-negara pengeluar utama dunia semakin menyusut. Perubahan ini menyebabkan beberapa wilayah tanaman gandum di Kanada menjadi kering-kontang. Banjir besar yang berlaku di India, China dan Vietnam sedikit masa lalu meranapkan sebahagian besar kawasan pertanian padi di negara-negara tersebut mengakibatkan stok bekalan beras dunia juga terjejas.
Ini menyebabkan harga beras dunia juga melonjak sehingga 20 peratus awal tahun ini kerana permintaan yang tinggi tidak mampu ditampung oleh bekalan terhad di negara-negara pengeluar. Tahun lalu Program Pemakanan Sedunia(WFP) melaporkan 57 negara termasuk 29 di Afrika, 19 di Asia dan 9 di Amerika Latin dilanda banjir buruk yang menjejaskan sumber makanan. Laporan itu turut menyebut tentang kemarau dan bahang panas di Asia, Eropah, China, Sudan, Mozambique dan Uruguay merupakan bencana yang berupaya menjejaskan pengeluaran makanan dunia.
Krisis harga makanan boleh memberi kesan terhadap ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Malaysia juga telah merasai tempias krisis makanan global ini. Harga beras di seluruh negara dilaporkan telah naik mendadak antara 10 peratus hingga 20 peratus dipercayai berpunca daripada peningkatan harga beras global. Pemantauan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia(FOMCA) mendapati kenaikan tersebut berlaku di kawasan bandar di seluruh negara termasuk di Lembah Klang. Peningkatan harga itu perlu segera dibendung agar tidak membebankan rakyat biasa.
Pengilang, pemborong dan peruncit beras di seluruh negara terpaksa menaikkan harga beras berikutan kekurangan bekalan di pasaran dunia. Stok padi dan beras negara ketika ini dianggarkan kira-kira 700,000 tan metrik dan mampu menampung keperluan penduduk untuk tempoh tiga bulan akan datang. Orang ramai diseru supaya jangan risau kerana stok berkenaan akan bertambah atau stabil melalui penyaluran bekalan daripada kawasan jelapang padi seluruh negara. Krisis ini tentunya dihadapi oleh kebanyakan negara yang mengimport beras termasuklah negara kita.
Walaupun negara kini mengeluarkan beras tetapi sekadar cukup untuk kegunaan sendiri iaitu antara 65 dan 70 peratus. Kita masih mengimport 30 peratus beras dari luar negara seperti Thailand dan Vietnam. Kerajaan telah mengumumkan Dasar Jaminan Makanan Negara bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi pada bila-bila masa, terutama ketika menghadapi krisis makanan dunia. Peruntukan sebanyak RM 4 bilion disediakan sebagai langkah menangani kekurangan makanan, termasuk mewujudkan jelapang padi di Sarawak bagi memastikan 100 peratus keperluan beras mencukupi. Kerajaan juga telah meminta syarikat gergasi di bawah Permodalan Nasional Berhad(PNB) membuat pelaburan dalam bidang pertanian bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan untuk rakyat.
Justeru inilah masa terbaik menggerakkan sektor pertanian negara supaya mampu mengeluarkan barang makanan untuk keperluan tempatan, dan tidak bergantung sepenuhnya kepada import. Masalahnya walaupun bermacam-macam kempen telah diadakan untuk memperkasakan pertanian contohnya ‘Pertanian adalah Perniagaan’, namun ia belum mencapai tahap yang memuaskan. Sebenarnya agama Islam sendiri menggalakkan umatnya terlibat dalam bidang pertanian, kerana ia mampu membekalkan sumber makanan kepada penduduk dunia.
Dari segi sejarah, kita lihat kisah kaum Saba’ yang dinyatakan dalam Al-Quran. Di mana kaum ini terkenal dengan aktiviti pertaniannya dan mempunyai teknologi pertanian yang sungguh canggih. Dikatakan bahawa kebun buah-buahan berbatu-batu panjangnya dan semasa penuaian buah-buahan, kaum ini hanya perlu membawa bakul dan berjalan di bawah pokok dan mereka tahu dan dapat mengenal pasti buah mana yang masak dan akan gugur semasa itu. Mereka membina empangan-empangan untuk dijadikan tali air bagi menyuburkan tanaman mereka(namun begitu kaum ini telah dimusnahkan oleh Allah SWT oleh kerana mereka enggan beriman dengan Allah SWT dan Nabi-nabi yang menyeru kepada mereka. Dikatakan lebih kurang 13 orang Nabi-nabi diutuskan kepada kaum Saba’, namun mereka enggan beriman kepada Allah SWT). Kisah ini menunjukkan bahawa sektor pertanian dan perdagangan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia itu sendiri.
Banyak ayat di dalam Al-Quran yang menyentuh atau berkaitan dengan pertanian dan tanaman makanan. Contohnya Surah al-Mukminun, ayat 19 maksudnya,”Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar(kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (pelbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak, dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu”. Nabi Muhammmad SAW juga telah bersabda, “Carilah rezeki dari khazanah bumi”(Hadis riwayat al-Tabrani).
Bidang pertanian juga suatu cara mudah untuk mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah, di samping ia menjadi sumber pendapatan yang halal bagi yang mengusahakannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Tiada seorang Muslim pun yang bertani, lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala di atas hal itu”(Hadis riwayat Imam Ahmad). Dalam hadis lain, Baginda bersabda maksudnya, “Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman, melainkan Allah menetapkan baginya ganjaran sebanyak jumlah buah yang dihasilkan oleh tanaman berkenaan'(Hadis riwayat Imam Ahmad). Maka tiada alasan sebenarnya untuk berlengah , lebih-lebih lagi sekarang di mana dunia sedang menghadapi krisis makanan.
Selain itu bank juga perlu memainkan peranan dan lebih yakin terhadap kemampuan sektor pertanian. Perubahan sikap juga harus bermula di kalangan agensi-agensi yang terlibat dengan pertanian. Tiada gunanya berkempen di sana sini tentang pertanian tetapi sikap pegawai-pegawai pertanian masih tidak berubah. Sikap negatif seperti tidak menghormati masa, lewat menghadiri sebarang perjumpaan atau mesyuarat mahupun tiada sebarang kerja melainkan menunggu gaji cukup bulan, mestilah dihapuskan sama sekali. Walaupun kelihatan kecil, namun akibatnya amat besar bagi kejayaan sesuatu projek pertanian.
Pandangan masyarakat tentang aktiviti pertanian juga harus diperbetulkan. Ini kerana ia sering dikaitkan dengan penduduk luar bandar dan kemiskinan. Cerita kejayaan dalam aktiviti pertanian harus terus disebarkan, agar minat generasi muda dapat ditanam sejak dari bangku sekolah lagi. Kekurangan tenaga buruh pertanian, di antaranya berpunca daripada persaingan yang wujud dengan sektor perkilangan terhadap pasaran buruh yang sama. Justeru, langkah perlu diambil untuk meningkatkan imej sektor tersebut supaya lebih menarik kepada golongan muda. Para petani dan penternak merupakan sebuah institusi masyarakat yang melaksanakan tuntutan Ilahi demi memakmurkan bumi Tuhan dan kehidupan masyarakat. Mereka sama pentingnya dengan doktor, guru dan pentadbir yang juga memainkan fungsi memenuhi keperluan kehidupan manusia.