
Kesemua fungsi tersebut akan bertindak sebagai satu sistem makanan dan pemakanan dalam ruang lingkup biofizikal dan diterima sosiobudaya. Justeru, apakah isu-isu yang melibat sekuriti makanan umat manusia perlu dipinggirkan dan tidak dipedulikan oleh masyarakat kita pada hari ini?
Barangkali kita belum terkesan dengan ketiadaan sekuriti makanan. Masyarakat kita belum benar-benar terkena impak daripada kekurangan bekalan makanan harian. Justeru, ia dipandang sebagai picisan dan hanya golongan tertentu sahaja yang terkena tempiasnya. Apakah wajar untuk kita tidak mengambil tahu tentangnya? Hakikatnya, masyarakat perlu sedar berkaitan tahap sekuriti makanan di Malaysia khususnya dan secara gobal kerana ia adalah hal yang sangat rapat dengan kehidupan kita. Makanan yang kita makan setiap hari menghadapi kemungkinan akan menyusut bekalannya disebabkan peningkatan populasi manusia secara global yang dijangka mencecah 9 bilion menjelang tahun 2050.
Keadaan ini banyak menyumbang kepada tahap sekuriti makanan manusia disebabkan permintaan makanan yang tinggi, keperluan kepada tanah untuk pengeluaran makanan sama ada bagi penanaman mahu pun penternakan, keperluan tempat tinggal dan sebagainya. Situasi yang semakin mencabar ini dilihat juga memberi cabaran kepada sistem rantaian makanan secara keseluruhannya kerana ia akan memberi kesan kepada manusia dalam segenap aspek kehidupan termasuklah ekonomi, kesihatan, kelestarian makanan, pembangunan negara, perkembangan sains dan teknologi serta alam sekitar.
Sekiranya masyarakat masih meletakkan tahap kepedulian yang rendah terhadap sekuriti makanan, maka ini akan merugikan kehidupan manusia itu sendiri secara total. Kesannya sudah dapat dirasai kini apabila harga makanan dunia meningkat, manakala pergantungan negara terhadap makanan import adalah tinggi, maka ia akan meningkatkan kos makanan dan akan membebankan pengguna.Kenaikan harga makanan juga turut menjadi penyebab ketiadaan sekuriti makanan kerana boleh mengurangkan kebolehcapaian terhadap makanan.
Jaminan terhadap bekalan makanan negara memerlukan kerjasama antara pemerintah juga rakyat agar kesan ketiadaan sekuriti makanan dapat diminimumkan atau dibasmikan.Pengekalan sesuatu sistem makanan untuk jangka panjang dalam sesebuah masyarakat merupakan petunjuk penting dalam daya hidup dan kelestariannya.Satu cara yang sesuai dan realistik untuk memulihkan semula masyarakat adalah dengan pembangunan ekonomi makanan tempatan.
Walau bagaimanapun, ketersediaan untuk mendapat sumber makanan yang mencukupi, juga kemampuan untuk mendapatkan makanan tidak memberi jaminan bahawa sesuatu makanan tersebut mempunyai kualiti yang baik serta berkhasiat. Justeru, kompenen penggunaan nutrien juga penting dalam sekuriti makanan. Ia menggambarkan bagaimana seseorang individu atau isi rumah memerlukan diet atau makanan berkualiti untuk gaya hidup yang sihat dan aktif. Bukan sahaja diet yang mencukupi dan pelbagai akan menyumbang kepada kesihatan individu, tetapi juga cara makanan ditanam atau dihasilkan, diagihkan dan dimakan juga meninggalkan kesan mendalam terhadap alam sekitar, rohani dan ekonomi kesejahteraan masyarakat.Justeru, masyarakat perlu sedar bahawa sekuriti makanan bukan hanya berkisar tentang bekalan makanan negara malah juga melibatkan fokus dan peranan peringkat individu dan isi rumah.
Kualiti diet dipengaruhi oleh ketiadaan sekuriti makanan. Individu yang mengalami kekurangan makanan cenderung untuk mengamalkan diet yang kurang pelbagai dan mempunyai kualiti pemakanan yang rendah. Masyarakat yang mengalami masalah ketiadaan sekuriti makanan akan mengambil makanan yang rendah makronutrien, mikronutrien (vitamin dan mineral), serat, sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini akan menjejaskan kualiti kesihatan seseorang untuk kelangsungan kehidupan.
Melihat situasi pada hari ini, ramai daripada kitaakan mengalami masalah ketiadaan sekuriti makanan apabila terkesan dengan kenaikan harga minyak yang memberi impak kepada kenaikan harga barang dan kos sara hidup.Barangkali masyarakat menghadapinya tanpa disedari. Timbul pula persoalan sama ada masyarakat kita pada hari ini membeli makanan disebabkan kualiti zat makanan yang diperlukan ataupun memilih makanan yang berkualiti rendah untuk disesuaikan dengan kemampuan masing-masing.
Dari perspektif kesihatan awam, ketiadaan jaminan terhadap sekuriti makanan mungkin boleh menyebabkan rakyat sesebuah negara terdedah kepada penyakit dan kelaparan. Keadaan ini bukan sahaja boleh mengganggu produktiviti seseorang malah boleh menyebabkan ketidakstabilan sosial dan ekonomi serta menggugat kestabilan politik keseluruhannya. Ketiadaan sekuriti makanan boleh memberi kesan kepada kesihatan dan kualiti hidup seseorang melalui status pemakanan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kekurangan daripada segi pemakanan boleh mengakibatkan perkembangan kognitif dan pencapaian akademik yang lemah, menyusutkan kemahiran sosial dan berat badan dalam kalangan kanak-kanak dan juga menyebabkan tahap keupayaan bekerja dan produktiviti yang rendah dalam kalangan orang dewasa. Kebanyakan kajian di negara maju dan sedang membangun menunjukkan ketiadaan sekuriti makanan berkait rapat dengan status pemakanan dan kesihatan yang tidak baik.
Corak pemakanan akibat daripada ketiadaan sekuriti makanan boleh menyebabkan perkembangan penyakit kronik seperti hipertensi, hyperlipidemia, penyakit kardiovaskular dan diabetes.Justeru,dalam meninjau risiko kesihatan awam dalam usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pelan pemakanan yang lebih baik bagi masyarakat, perlu difahamkan tentang kesan kritikal yang mungkin berlaku akibat daripada ketiadaan sekuriti makanan. Garis panduan pemakanan sihat yang dibangunkan di peringkat kebangsaan, perlu dilaksanakan oleh pakar pemakanan kesihatan awam dan pakar diet dengan mempergiatkan program pendidikan pemakanan agar masyarakat setempat terdidik dengan gaya dan amalan pemakanan yang sihat.
Di satu sudut, pakar kesihatan awam dan pakar pemakanan perlu memainkan peranan dalam menyokong masyarakat untuk menyumbang kepada kelestarian sistem makanan dari segi kesihatan dan penjagaannya. Golongan ini perlu lebih jelas untuk membangunkan kaitan antara sistem bekalan makanan dan amalan pemakanan dalam usaha mengurangkan masalah obesiti dan penyakit kronik.
Krisis kekurangan makanan menggambarkan betapa pentingnya jaminan bekalan makanan kepada sesebuah negara.Sektor pertanian memainkan peranan penting dalam membekalkan sumber makanan. Justeru, memperkasakan bidang pertanian dan menggalakkan pertumbuhannya perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Selain itu, budaya keusahawanan perlu dipupuk dalam sektor pertanian terutamanya dalam pengeluaran makanan utama dalam kalangan masyarakat untuk langkah memantapkan pengeluaran hasil makanan tempatan dan tidak hanya bergantung kepada sumber import semata-mata.
Komitmen yang diperlukan bagi setiap ahli masyarakat ialah memastikan makanan mereka mencukupi dan selamat untuk dimakan. Untuk itu, masyarakat perlu memiliki pendapatan yang cukup supaya dapat mengaksesnya di pasaran. Bukan sahaja makanan tersebut perlu cukup dan selamat tetapi mestilah memenuhi kriteria halal dan mengandungi nutrien yang mencukupi untuk tubuh badan manusia sepertimana yang dianjurkan dalam Islam. Semuanya adalah bertujuan supaya manusia dapat hidup secara lebih aktif dan sihat dengan matlamat pengabdian diri kepada Allah.
Selain itu, kita perlu mengelakkan daripada bersikap berlebih-lebihan dan membazir dalam pengambilan makanan kerana ia akan memudaratkan kesihatan juga memberi kesan kepada alam sekitar apabila banyak makanan terbuang begitu sahaja. Malah, sikap tersebut tidak dianjurkan dalam Islam apatah lagi masih ramai masyarakat kita yang mengalami ketidakcukupan makanan atau ketiadaan sekuriti makanan. Di antara kita masih ramai yang berjuang mencari pendapatan yang stabil supaya mampu membeli makanan dalam menghadapi beban kos sara hidup yang tinggi. Justeru, masyarakat perlu sedar dan ambil pedulidengan fungsi dan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada jaminan sekuriti makanan.