“Mak, laparlah. Ada makanan lain tak? Asyik makanan yang sama saja dari pagi sampai malam,” adu Rizal—seorang remaja bandar yang sedang membesar. Dialog ini mungkin tidak pernah atau jarang didengari tetapi hakikatnya situasi ini wujud lebih-lebih lagi dalam masyarakat bandar yang dikategorikan kurang berkemampuan atau miskin.
Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 yang diumumkan baru-baru ini mencatatkan pada paras RM2,208.00 dengan nilai purata PGK makanan sebanyak RM1,038.00 sebulan bagi isi rumah seramai empat orang. Angka ini menjadi penanda aras kepada keupayaan sesebuah keluarga dalam memenuhi keperluan asas hidup seperti makanan dan bukan makanan. Sekiranya sesebuah keluarga tidak mencapai aras PGK yang digariskan, maka isi rumah tersebut dianggap sebagai miskin kerana tidak mampu memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan kehidupan.
Di sebalik gah dengan warisan makanan tempatan yang pelbagai dan mewah serta dilabelkan sebagai syurga makanan, Malaysia juga sedang berdepan dengan masalah malnutrisi. Walaupun malnutrisi yang dihadapi mungkin tidak sama dengan situasi di negara luar tetapi penduduk Malaysia cenderung untuk mengalaminya. Ini kerana makanan yang diambil tidak memenuhi keperluan pemakanan berkualiti. Sebagai contoh sepinggan nasi dapat memenuhi tuntutan lapar dan keperluan tenaga tetapi hakikatnya tidak mampu memenuhi keperluan pemakanan sihat jika hanya ada sumber karbohidrat sahaja. Hal ini seringkali berlaku dalam kalangan mereka yang tidak berkemampuan dan mengambil makanan hanyalah syarat untuk melegakan perut kelaparan sebagai mencukupkan keperluan asas hidup.
Realiti malnutrisi ini digambarkan dalam laporan “Kanak-kanak Pinggiran” oleh UNICEF 2018 yang membuat tinjauan terhadap kanak-kanak miskin bandar di Kuala Lumpur berumur bawah 5 tahun. Laporan ini mendapati sebanyak 23 peratus mengalami masalah berlebihan berat badan, 15 peratus kurang berat badan, 22 peratus terbantut dan 20 peratus kurus kering. Keadaan ini menggambarkan kesan pemakanan yang tidak sihat khususnya bagi kelompok yang miskin dan berpendapatan rendah. Ini kerana memenuhi keperluan minimum tubuh badan dapat membantu kelangsungan kehidupan individu tetapi pemakanan yang sihat dan berkualiti secara optimum mampu menyumbang kepada tumbesaran yang sihat dan cergas.
Laporan UNICEF (Ogos 2020) “Families on The Edge” pula mencatatkan isi rumah yang berpendapatan kurang RM2,000.00 sebulan lebih cenderung untuk makan mi segera dan telur, serta kurang berbelanja untuk membeli beras dan makanan berprotein lain berbanding golongan yang berpendapatan lebih tinggi dalam kalangan penduduk pinggir bandar Kuala Lumpur. Dalam erti kata lain, ketidakmampuan dari segi kewangan membataskan golongan tersebut daripada membeli makanan berkhasiat. Keadaan ini akan memberi kesan kesihatan terutamanya kepada kelompok kanak-kanak, remaja, wanita dan orang tua dalam aspek pemakanan. Melihat kepada kedua-dua laporan tersebut, apakah kita masih boleh berpeluk tubuh membiarkan golongan yang tidak berkemampuan ini khususnya kanak-kanak, membesar dan hidup dalam keadaan kekurangan makanan berkhasiat secara optimum?
Golongan tersebut tidak mampu membeli makanan yang berkualiti, tidak berupaya menyediakan makanan berkhasiat dan pelbagai kepada anggota keluarga, sesuai dengan keperluan badan masing-masing. Menerusi dimensi kesihatan, kita perlu memastikan bahawa setiap anggota masyarakat dapat memenuhi keperluan asas untuk terus menyambung kelangsungan kehidupan. Namun aspek optimum iaitu memenuhi keperluan kalori tubuh badan seseorang individu bagi mencapai kesihatan yang lebih baik tidak wajar disisihkan. Kriteria penting ini telah diambil kira dalam PGK 2019 tersebut. Ini merupakan satu langkah berfokus bagi memastikan kecukupan khasiat makanan seseorang berdasarkan nilai kalori yang telah ditukarkan kepada nilai ringgit.
Sekiranya aspek optimum tidak diberi perhatian sewajarnya, masalah malnutrisi akan menjadi satu trend dan gaya hidup pada masa hadapan. Persepsi umum menanggap bahawa masalah obesiti hanya merebak dalam kalangan orang yang berkemampuan tetapi hakikatnya wujud dalam pelbagai lapisan masyarakat lebih-lebih lagi golongan miskin yang pada masa yang sama juga menghadapi masalah terbantut, kurus kering dan kurang berat badan. Situasi ini juga disebabkan oleh faktor kebolehdapatan makanan terproses, berkalori tinggi yang murah dan senang berbanding makanan sihat dan berkhasiat yang agak mahal.
Makanan yang murah, menarik, tahan lama, kenyang, mudah dimakan dan dapat mengisi perut, sesuai dengan keterhadan kemampuan kewangan akan menjadi pilihan utama golongan miskin atau berpendapatan rendah tanpa mengambil kira aspek zat, kualiti dan keperluan kesihatan. Kriteria-kriteria pemilihan tersebut amat berpadanan dengan makanan terproses yang membanjiri pasaran pada hari ini. Justeru, tidak hairanlah sekiranya makanan tersebut menjadi menu pilihan utama mereka dan masalah malnutrisi akan terus berada dalam kelompok tersebut.
Pengambilan makanan terproses juga mencerminkan ketidaksamaan ekonomi dan sosial masyarakat hari ini, di samping akan mengganggu gugat masa depan masyarakat dan sistem kesihatan negara. Individu yang berpendapatan dan berpendidikan rendah juga lebih cenderung memilih makanan segera dan tidak berkualiti bagi menjimatkan perbelanjaan tanpa memikirkan aspek kesihatan. Masalah penyakit tidak berjangkit akan terus bermaharajalela disebabkan tabiat pengambilan makanan yang tidak sihat.
Apabila pengambilan makanan terproses meningkat, kualiti zat makanan menjadi menurun. Penjualan dan pengambilan makanan terproses yang murah dan senang perlu bersesuaian dengan penyaluran maklumat yang betul kepada pengguna. Justeru, pengguna perlu peka dan berwaspada dalam hal ini. Pengambilan yang berlebih-lebihan mampu mengundang mudarat wajar diserlahkan kepada masyarakat dan bukannya disembunyikan. Kesedaran untuk memenuhi keperluan pemakanan sihat dan berkualiti pada tahap yang optimum dan bukan lagi minimum harus disebarluaskan kepada seluruh masyarakat. Program subsidi dan bantuan makanan berkhasiat kepada mereka yang tidak berkemampuan juga harus diteruskan bagi memastikan aspek kecukupan yang optimum dapat dicapai di samping mengurangkan kebergantungan golongan tersebut kepada makanan terproses serta mengutamakan kesihatan, kebersihan dan kesegaran dalam pemilihan makanan. Tindakan berbentuk simbiosis daripada pelbagai sektor dan lapisan masyarakat mampu memberikan impak baik kepada golongan yang tidak berkemampuan khususnya dari aspek kesihatan, ekonomi dan sos