Apabila menjelang sahaja tarikh 11 September, banyak kupasan dan tulisan mengenai peristiwamalangdalam sejarah manusia yang melanda Amerika Syarikat empat tahun yang lalu dibuat oleh pelbagai pihak. Pastinya peristiwa yang berlaku itu merupakan satu detik hitam dalam sejarah manusia.
Namun, satu kesan yang tidak boleh disangkal lagi yang timbul akibat peristiwa 11 September ini ialah Islam dikaitkan dengan keganasan. Ini bukanlah suatu perkara yang baru tetapi tanggapan seperti ini telah diperkukuhkan dengan peristiwa tersebut. Akibatnya, dua negara Islam iaituAfghanistan danIraq menjadi mangsa pencerobohan tentera yang dikepalai oleh Amerika Syarikat danBritain. Umat Islam di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Barat melalui saat getir apabila dipandang serong sebagai pengganas.
Selepas empat tahun berlalu, adakah tanggapan serong ini masih berlaku? Daripada laporan media, nampaknya tanggapan ini masih berleluasa. Di Britain misalnya, apabila berlaku serangan ke atas sistem pengangkutannya baru-baru ini, penduduk IslamBritain sekali lagi menghadapi waktu sukar apabila dicap sebagai pengganas.
Dalam kita memperingati dan bersimpati dengan mangsa-mangsa keganasan yang berlaku di Amerika Syarikat danBritain ini, kita perlu memastikan bahawa Islam tidak dikaitkan sama dengan apa yang berlaku. Ya, mungkin yang melakukan keganasan ini adalah orang Islam, tetapi ini tidak bermakna bahawa ajaran Islam menganjurkan keganasan.
Islam sama sekali tidak memperakui tindakan menjadikan orang awam yang tidak terlibat dalam peperangan, kanak-kanak, wanita dan orang tua sebagai mangsa. Malah, Islam melindungi hak mereka ini. Apa yang berlaku di Amerika Syarikat pada 11 September 2001 merupakan satu tindakan yang dilakukan di luar batasan kefahaman Islam yang sebenar.
Mereka yang melakukan tindakan keganasan seperti itu adalah pihak yang tidak memahami intipati ajaran Islam, sebaliknya sekadar mengambil sepotong dua ayat al-Quran lantas mentafsirkannya mengikut kefahaman yang tidak tepat. Ini merupakan suatu tindakan yang berbahaya kerana boleh mengundang kekeliruan terhadap Islam.
Malah, inilah yang kita lihat berlaku pasca-11 September apabila Islam dipandang serong oleh masyarakat dunia sedangkan tindakan itu dilakukan oleh segelintir orang Islam yang mempunyai agenda tertentu yang bercanggah dengan tuntutan agama. Kesan daripada tindakan sekumpulan kecil ini menyebabkan seluruh umat Islam di dunia merasai pukulannya.
Apabila membicarakan tentang 11 September, satu lagi perkara yang perlu kita sedari ialah bahawa kita perlu mempunyai pegangan moral yang konsisten. Ini bermakna jika kita mengutuk serangan pengganas di Amerika Syarikat, kita juga perlu mengutuk serangan ke atas orang awam yang beragama Islam yang dilakukan olehIsrael misalnya.
Mengapa perlu wujud pandangan yang berbeza apabila kumpulan yang diserang dan dibunuh adalah orang Islam? Mengapa dunia menutup sebelah mata apabilaIsrael mencabul hak-hak asasi manusia di Palestin? Sehubungan dengan itu, kita juga perlu sedar bahawa terdapat banyak lagi peristiwa 11 September yang merupakan tragedi kemanusiaan yang tidak sepatutnya berlaku.
Semuanya bermula pada 11 September 1922 apabila kerajaan British menyerahkan tanah Palestin yang bukan miliknya kepada orang Yahudi menyebabkan penduduk Palestin menjadi pelarian di bumi sendiri. Eropah dan Amerika hanya memejamkan mata kepada kekejaman Zionis yang berlarutan sehingga ke hari ini.
Begitu juga tragedi yang menimpa penduduk Palestin dan Lubnan di kem-kem pelarian Sabra dan Shatila yang berlaku pada bulan September 1982. Selama tiga hari berturut-turut, mereka dirogol dan dibunuh dengan kejam menyebabkan seramai 3,500 orang awam mati. Walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengecam tindakan di Sabra dan Shatila sebagai pembunuhan beramai-ramai, hakikatnya tiada yang meratapi atau mengenang peristiwa ini. Tidak ada upacara peringatan seperti yang dilakukan di “Ground Zero” diNew York. Tidak ada juga kupasan dan tulisan mengenai mangsa-mangsa kekejaman ini.
Demikian juga halnya dengan kekejaman yang membawa kepada pembersihan etnik diBosnia. Mengapa tidak kuasa besar menghantar tentera untuk membebaskan pendudukBosnia yang dibunuh oleh tenteraSerbia? Adakah keranaBosnia tidak mempunyai kepentingan daripada sudut ekonomi dan politik sepertiIraq danAfghanistan?
Pada 11 September 1990 pula, Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, George Bush Sr telah mengisytiharkan perang ke aras Iraq sehingga mencetuskan Perang Teluk yang pertama.Iraq dan penduduknya menjadi mangsa pengeboman dan serangan peluru berpandu untuk berbulan-bulan lamanya.
Justeru, kita tidak boleh bertindak pilih kasih atau memejamkan sebelah mata apabila mengutuk satu-satu tindakan keganasan. Tidak kira di mana ianya berlaku, sama ada ke atas penduduk sebuah negara maju ataupun penduduk Islam yang tidak punya apa-apa, keganasan merupakan suatu tindakan yang bercanggah dengan Islam.
Hanya kerana media memberikan tumpuan liputan yang luas ke atas serangan 11 September di Amerika Syarikat, tidak bermakna bahawa keganasan yang lebih hebat lagi tidak berlaku di sudut dunia yang lain. Maka atas sebab ini, kita hendaklah prihatin dengan perkembangan yang berlaku di seluruh pelusuk dunia supaya kita mempunyai satu perspektif yang lebih luas, bukan setakat apa yang dihidangkan kepada kita oleh media yang dikuasai oleh Barat.
Islam menganjurkan keamanan. Islam amat menghargai nyawa manusia. Malah, Islam hanya membenarkan peperangan sebagai langkah akhir untuk mempertahankan diri dan maruah, itu pun lengkap dengan adab untuk berperang demi menjamin keselamatan mereka yang tidak lemah dan tidak berdosa.
Maka, janganlah kita sekadar melihat peristiwa 11 September yang berlaku empat tahun yang lalu sebagai satu peristiwamalang yang berlaku ke atas Amerika Syarikat. Sebaliknya kita perlu melihat peristiwa 11 September tersebut sebagai satu daripada banyak bentuk keganasan dan kezaliman yang berlaku di dunia ini termasuklah yang berlaku ke atas umat Islam sendiri.