Pernahkah kita terfikir dengan hanya memiliki 1000 unit saham sesebuah syarikat untuk satu tempoh masa yang tertentu, kita berkemungkinan menjadi jutawan? Rasanya ramai di antara kita yang mengatakan ini adalah sesuatu yang mustahil. Tambahan pula banyak syarikat di negara kita gagal untuk bertahan lama di dalam industri kerana pelbagai masalah dalaman dan luaran yang mereka hadapi.
Akan tetapi sebuah kumpulan perbankan negara telah membuktikan hal ini di mana jika seorang pelabur memiliki 1000 sahamnya pada 1967, sekarang dia adalah pemilik kepada 129 720 saham syarikat yang sama dengan nilai sahamnya sebanyak RM1.55 juta.
Jarang sekali di Malaysia kita dapat melihat syarikat yang sebegini di mana ia dapat bertahan lama, diurus secara cekap, berterusan mencatat keuntungan dan mampu memberi yang terbaik kepada pelanggannya. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa syarikat ini adalah sebuah syarikat yang berjaya.
Bagaimana pula pandangan agama Islam tentang kejayaan syarikat? Adakah agama Islam melihatnya dari sudut keuntungan yang dijana syarikat kepada para pemegang saham semata-mata sebagaimana yang difahami oleh golongan kapitalis? Bagaimana pula hak-hak atau kebajikan pihak lain (stakeholders) selain daripada pemegang saham? Wajarkan hak-hak mereka tidak dipedulikan atau diragut asalkan syarikat dapat mengaut keuntungan?
Dalam agama Islam, satu daripada faham kejayaan merujuk kepada “al-falaah.” Kejayaan yang dimaksudkan melalui istilah faham al-falaah ini adalah suatu kejayaan yang hakiki iaitu kejayaan di dunia dan di akhirat. Ia merupakan satu kefahaman yang diberi penekanan oleh al-Quran, dan buktinya terdapat 40 tempat di mana perkataan yang berkaitan dengan faham ini dinyatakan oleh al-Quran. Malah di dalam azan pun ia turut dilaungkan oleh muazzin setiap kali seruan solat lima waktu.
Proses mencapai kejayaan menurut pandangan agama Islam bermula dengan proses penyucian jiwa (tazkiyah an-nafs). Ia adalah satu proses yang penting kerana nafsu manusia cenderung untuk melakukan apa yang ditegah agama. Jadi, menerusi proses ini, manusia dapat menyemai rasa keimanan, keihklasan, ketaqwaan dan sebagainya, yang seterusnya menjadikan diri mereka mempunyai nilai-nilai yang diperlukan untuk menjadi modal insan yang baik. Nilai-nilai ini kemudiannya akan diterjemahkan dalam bentuk amalan dan sudah tentu ia akan selaras dengan kehendak syariah.
Jadi apabila seseorang yang mempunyai nilai mulia menjadi pemimpin syarikat, dia mempunyai iltizam yang tinggi, berwawasan, amanah, berkemampuan dan sebagainya. Begitu juga jika dia menjadi seorang pekerja. Dia akan amanah, berdedikasi dan melaksanakan tugas yang diberi dengan penuh rasa tanggungjawab.
Manakala syarikat yang diterajui oleh mereka ini akan menjadi satu syarikat yang mementingkan nilai dan etika korporat. Pada akhirnya akan wujud keseimbangan di antara matlamat syarikat dengan pihak-pihak lain (stakeholders).
Ini yang diinginkan sebenarnya oleh agama Islam di mana wujud keseimbangan di antara apa yang dikatakan sebagai perdagangan (commercialism) dengan kemanusiaan (humanitarianism); atau lebih mudah lagi, keseimbangan di antara keuntungan dengan tanggungjawab sosial. Keseimbangan ini akan menjadi satu jawapan penyelesaian kepada masalah dunia perniagaan sekarang yang dipenuhi unsur pengambilan untung yang tidak beretika, penindasan ke atas masyarakat pengguna, masalah tadbir urus yang tidak baik; masalah alam sekitar dan sebagainya.
Jika sudah berjaya, bagaimana pula syarikat dapat mengekalkan kejayaan tersebut untuk satu tempoh yang lama sebagaimana yang dapat dilakukan oleh kumpulan perbankan yang dinyatakan di awal makalah ini?
Jawapan kepada pesoalan ini ada dalam faham muhasabah bagi proses penambahbaikan. Dalam proses muhasabah syarikat, unsur-unsur yang boleh membawa kepada kelemahan syarikat dapat dikenal pasti. Dari sini, ia boleh diperbaiki bagi memastikan kelemahan tadi tidak berterusan atau menjadi semakin buruk, kerana dalam dunia korporat, sebarang kelemahan yang lambat dikenalpasti dan lambat diperbaiki akan memberi ancaman kepada prestasi syarikat.
Kelemahan tersebut mungkin wujud dari segi sumber manusia; baik di peringkat atasan mahupun bawahan. Kelemahan mungkin juga wujud dari sudut penggunaan teknologi. Ataupun dari segi inovasi syarikat, di mana syarikat tidak begitu menitikberatkan unsur penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang akhirnya menyebabkan mutu perkhidmatan atau barangan yang dikeluarkan tidak dapat bersaing di pasaran.
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud:
“Orang yang berjaya ialah mereka yang lebih baik daripada semalam; orang yang malang ialah mereka yang hari ini lebih teruk daripada semalam dan orang yang tertipu ialah orang yang hari ini sama dengan semalam”.
Selain itu Saidina Umar al-Khattab ada berkata, yang bermaksud:
“Hisablah diri kamu semula kamu dihisabkan”
Menurut pandangan hidup Islam, faham muhasabah ini amat digalakkan dalam proses kita menambahbaik prestasi, baik di peringkat individu mahupun di peringkat organisasi. Kita semua maklum bahawa sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk berusaha meningkatkan kemampuan diri agar penambahbaikan sentiasa berlaku di dalam kehidupan
Di sini kita dapat simpulkan juga, jika organisasi itu sendiri arif akan faham muhasabah, ia bukan sahaja dapat menghasilkan produk atau perkhidmatan yang terbaik, malah mampu menjana perolehan yang dapat mengatasi para pesaing serta memberi manfaat bukan saja kepada para pemegang saham malah kepada pihak-pihak lain (stakeholders) seperti pelanggan, pekerja, alam sekitar dan sebagainya
Secara amnya, kejayaan tidak dapat datang sekelip mata, ia merupakan satu proses yang mungkin mengambil masa bertahun lamanya sebelum dapat dicapai. Sekadar memetik kata-kata Pengerusi BMW, Norbert Reithofer:
“Kejayaan adalah terhasil berdasarkan beberapan aspek iaitu perancangan yang berterusan, barangan keluaran yang menarik, penerimaan pasaran, kewangan yang kukuh dan pekerja yang bermotivasi. Kesemua unsur ini tidak muncul dalam tempoh semalaman. Ia adalah hasil usaha dan ketekunan yang berpanjangan”.
Jadi bagi memastikan kejayaan ini berpanjangan, proses penambahbaikan perlu dilakukan dari masa ke semasa. Adalah sesuatu yang merugikan jika kejayaan yang diraih hasil penat jerih selama ini hilang dari genggaman dalam tempoh yang singkat disebabkan kerana kita cepat berpuas hati dengan apa yang kita perolehi.