Namun begitu, perbincangan ini tidak sama sekali merujuk kepada persediaan kebendaan oleh ibu bapa, para guru dan anak-anak dalam menghadapi musim baru persekolahan. Perbincangan yang cuba dibawakan di sini lebih kepada usaha membentuk anak-anak yang kita hantar ke sekolah itu untuk menjadi orang yang berilmu dan seterusnya melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu.
Apabila musim persekolahan baru bermula ramai ibu bapa menghela nafas lega kerana kini anak-anak mereka ada perkara yang perlu dilakukan. Dalam hal ini, anak-anak itu akan mulai menjalani kehidupan sebagai pelajar. Pastinya kini mereka akan sibuk belajar, membuat kerja sekolah, menjalankan kegiatan sukan dan sebagainya. Keadaan ini tentu berbeza dengan musim cuti sekolah apabila banyak masa anak-anak tersebut dihabiskan dengan kegiatan-kegiatan senggang.
Apabila anak-anak ini dihantar ke sekolah, apakah sebenarnya yang mereka fikirkan? Apakah pula yang diharapkan oleh ibu bapa? Adakah kita pernah bertanyakan soalan ini? Adakah kita, sebagai ibu bapa pernah benar-benar memikirkan harapan kita bila menghantar anak ke sekolah?
Jika soalan-soalan ini ditanyakan kepada ibu bapa maka pelbagai jawapan akan kita temui, itupun jika mereka ada jawapan kepada soalan tersebut. Secara umumnya, jawapan yang diberikan adalah hampir sama walaupun hadir dalam ayat yang berbeza. Semua ibu bapa mahu anak-anak mereka menjadi pandai.
Bagi masyarakat kita, menjadi pandai selalunya dikaitkan dengan lulus cemerlang dalam peperiksaan. Seterusnya anak-anak itu layak masuk ke universiti dan akhirnya apabila lulus, mereka boleh mendapatkan pekerjaan yang baik lagi lumayan. Dalam kaedah (proses) yang disebutkan ini, terselit juga harapan-harapan lain. Misalnya, dalam usaha menjadi pandai, ibu bapa berharap anak-anak juga boleh menjadi ahli masyarakat yang berguna dengan kembali menyumbang kepada masyarakat.
Jika kaedah yang disebut di atas benar, maka nyatalah bahawa usaha pembudayaan ilmu dalam masyarakat kita amat cetek sifatnya. Andai anak-anak menganggap bahawa tujuan ke sekolah hanyalah untuk lulus peperiksaan, masuk universiti dan mendapat kerjaya hebat, maka ini bermakna usaha untuk membentuk insan yang mencintai dan membudayakan ilmu dalam hidupnya sebenarnya tidak kesampaian.
Oleh itu, pemikiran bagaimanakah yang perlu kita tanamkan dalam kotak fikiran anak-anak kita? Sewajarnya, anak-anak yang memulakan persekolahan diingatkan tujuan utama mereka ke sekolah adalah untuk mencari dan mencintai ilmu serta menggunakan ilmu dengan cara yang betul. Setelah itu, barulah kita mengajar anak-anak itu bahawa jika mereka berjaya mencari, mencintai dan menggunakan ilmu dengan baik maka pada ketika itulah mereka akan dianggap sebagai manusia yang pandai lagi berjaya. Tidak kurang penting juga, anak-anak perlu diingatkan bahawa usaha ini akan mendekatkan diri mereka dengan Allah SWT.
Apabila anak-anak muda telah jelas tujuan mereka menuntut ilmu, maka nanti tidak akan timbul lagi persoalan belajar bila perlu. Anak-anak kita akan sentiasa dahagakan ilmu dan mencari ilmu tersebut demi mendapat keredhaan Maha Pencipta. Selain itu, pastinya tidak lagi timbul soal malas membaca, malas berfikir, enggan berbincang dan sebagainya. Oleh itu, anak-anak yang dididik untuk berpegang pada pencarian ilmu yang lengkap tentunya boleh dibezakan dengan mereka yang dangkal ilmu.
Pada saat ini, ilmulah yang akan membezakan anak-anak kita. Sepertimana yang disebut oleh Prof. Wan Mohd Noh Wan Daud dalam penulisannya, perbezaan insan bukanlah semata-mata merujuk kepada unsur jasmani dan genetik (keturunan) tetapi paling penting merujuk kepada unsur rohani dan akhlak. Dalam hal ini pastinya pemilikan ilmu yang tinggi dalam diri manusia termasuk dalam kerangka rohani dan akhlak.
Permulaan persekolahan anak-anak dengan pemikiran yang betul sebegini adalah amat penting. Jika mereka memulakan alam persekolahan dengan hanya memikirkan untuk memperoleh ilmu maka besar kemungkinan pembudayaan ilmu dalam masyarakat kita akan berjaya. Namun jika pemikiran yang salah ditanamkan dalam kotak fikiran pelajar-pelajar muda itu, maka selama-lamanya mereka tidak jelas sebab sebenar mereka belajar atau menuntut ilmu.
Sebenarnya, usaha membetulkan pemikiran anak-anak ini juga agak sukar. Kesukaran ini berlaku kerana sebahagian besar ibu bapa dan juga ahli masyarakat tidak memahami tujuan menuntut ilmu. Jika yang dewasa gagal memahami maka apakah harapan yang hendak kita letakkan kepada anak-anak kecil ini? Hasilnya, anak-anak ke sekolah hanya untuk mengejar keputusan yang cemerlang atau cukup sekadar lulus peperiksaan dan boleh juga menjawab soalan-soalan yang ditanyakan para guru.
Oleh itu, dalam usaha membudayakan ilmu, seluruh lapisan masyarakat perlu melakukannya dan memahami matlamatnya. Ini termasuklah pemimpin dan pengikut, guru dan murid, ibu bapa dan anak-anak, tua atau muda, kaya dan miskin, sempurna ataupun kurang upaya. Usaha menekankan kepada mencintai ilmu tidak akan berjaya jika penekanan itu hanya diberikan kepada satu kelompok masyarakat sahaja. Pembudayaan mencintai ilmu mesti mencakupi setiap inci masyarakat ini.
Maka, fikir-fikirkanlah apa yang telah disebutkan di sini dan mulalah mengambil tindakan. Pembudayaan ilmu harus berlaku dalam setiap lapisan masyarakat, namun jika usaha ini dilakukan seawal mungkin iaitu kepada anak-anak kita, maka kita akan mengecapi nikmat yang berpanjangan.
Mungkin kerana inilah penerapan ilmu bagi setiap Muslim mestilah dimulakan sejak bayi di dalam kandungan lagi. Saranan untuk selalu membaca al-Quran, membaca buku-buku berguna dan bercakap-cakap dengan bayi dalam kandungan memang selalu kita dengar. Perbuatan ini bukan hanya satu perbuatan suka-suka tetapi mempunyai niat yang lebih mendalam. Tujuannya bukan sahaja untuk merapatkan hubungan ibu-anak tetapi tidak kurang penting adalah untuk membudayakan ilmu seawal mungkin.
Akhirnya, diharapkan kita dapat melahirkan insan yang benar-benar mencintai ilmu. Moga-moga ada di kalangan anak-anak zaman moden ini yang boleh menjadi seperti Muawwiyah bin Abi Sufyan ataupun mencontohi Imam Shafie. Muawwiyah sering kelihatan membawa pen yang disepitkan didaun telinganya agar bila mana perlu, beliau dapat mencatatkan wahyu yang diperturunkan melalui Rasulullah SAW. Demi kerana cintakan ilmu, beliau mahu sentiasa bersedia dan tidak mahu ketinggalan atau gagal mencatatkan perkara yang penting. Manakala Imam Shafie pula adalah seorang yang begitu cintakan ilmu serta tekun mempelajarinya sehinggakan diiktiraf layak untuk mengeluarkan fatwa pada usia 15 tahun.
Harapan ini ibarat “kelakatu hendak terbang ke langit” namun percayalah “tiada gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tiada lurah yang dalam yang tak dapat dituruni”.