Suasana semasa yang penuh dengan kepincangan memerlukan kepada perniaga Muslim mencari pendekatan terbaik dari kefahaman agamanya untuk membimbing kepada kecemerlangan. Dalam usaha memantapkan budaya perniagaan semoga usaha gigih gulungan tersebut terus cemerlang dalam zaman kesejagatan ekonomi masa kini, pendekatan unggul seperti – Keuntungan Perniagaan Melalui Tanggungjawab Masyarakat jika dihayati dengan tepatnya pasti akan membawa hasil yang lumayan bukan sahaja kepada amalan perniagaan mereka tetapi sekali gus dapat membangun keadilan sosio-ekonomi dan tamadun masyarakat. Pendekatan ini menganjurkan kepada keharmonian di antara kepentingan atau hak perniaga dengan kebajikan masyarakat. Pendekatan ini adalah asas penting kepada penyusunan dan pembinaan tamadun manusia.
Dalam teori perniagaan semasa, konsep stakeholder adalah konsep yang paling hampir. Konsep ini menjelaskan bahawa kepentingan kepada kesemua yang terlibat dalam urusan perniagaan seperti pemilik modal, pekerja, pemerintah, pelanggan, alam persekitaran dan sebagainya perlu diberi perhatian.
Prinsip hidup berharmoni ini menjelaskan bahawa sesebuah sistem pengendalian perniagaan negara jika ingin maju dan terus membangun, kepentingan individu dalam usaha kegiatan perniagaan dalam apa bentuk, perlu mendapat ganjaran atau pulangan yang adil kepada individu terbabit. Keuntungan yang adil dari usaha perniagaan dan perdagangan kepada pengusaha adalah sesuatu hukum yang tabii serta menepati Islam. Pendekatan ini menghormati individu perniaga dan sekali gus turut menjaga kepentingan keutuhan kehidupan bermasyarakat.
Keuntungan adalah hasil dari usaha yang gigih serta berkesan oleh seseorang perniaga. Setiap kegiatan perniagaan tidak semestinya menghasilkan keuntungan. Adakala perniaga terpaksa menghadapi kerugian. Untung dan rugi adalah hukum yang lumrah. Justeru itu keuntungan yang adil bukan sesuatu yang perlu di pandang serong. Jika kegiatan perniagaan tidak menyalahi akhlak dan keuntungan adil diperolehi, ia menggambarkan satu kejayaan yang mulia dan boleh dibanggakan. Ini adalah kerana pendekatan ini mampu membawa kepada perolehan keuntungan secara berpanjangan.
Mengakui hukum pulangan ini sebagai sesuatu yang lumrah akan memerangsangkan setiap pengusaha semoga halus dan rapi dalam menjalankan kegiatan perniagaan dan perdagangan mereka semoga di dalam pengiraan awal mereka, kerugian perlu sentiasa cuba dijauhi.
Keuntungan akan diperolehi apabila jumlah hasil mengatasi jumlah kos. Jika perniagaan di urus dan dilaksana secara berkesan, jumlah hasil mampu ditingkatkan melalui jumlah jualan barangan terlibat. Dalam dunia yang tidak berbatas sekarang ini, jumlah jualan tidak terhad. Yang membatasi ialah persaingan yang sengit dari pengusaha dan perniaga dalam dan luar negara. Ruang untuk mengembangkan jumlah jualan luas terbentang. Berjaya menembusi pasaran antarabangsa mencermin kemampuan pengusaha menguasai dalam saham pasaran barangan tersebut.
Mengikut hukum perniagaan, jumlah kegunaan dan harga adalah dua asas utama yang menentukan permintaan kepada barangan tersebut. Dalam konteks pencapaian kejayaan yang berterusan dalam bentuk jangka panjang pendekatan penguasaan pasaran dalam sesuatu barangan perlu menjadi pendekatan sesebuah organisasi perniagaan. Pencapaian kepada matlamat ini memerlu syarikat tersebut melibatkan dengan usaha kajian dan penyelidikan yang berkesan dan berterusan semoga jumlah penghasilan barangan syarikat terbabit terus menerus meningkat dan sentiasa sesuai dengan keperluan dan kebajikan pengguna. Matlamat ini tidak mungkin diperolehi melalui jalan pendek bahkan ia memerlukan kepada wawasan dan usaha yang jujur serta gigih pihak pengeluar dan perniaga pada setiap masa. Usaha-usaha yang berkesan ini memerlukan kepada kemampuan pemimpin syarikat yang jitu semoga kejayaan tersebut berterusan, demi kepentingan bersama iaitu perniaga dan pengguna iaitu masyarakat.
Melalui jumlah barangan yang bernilai serta harga yang berpatutan, jumlah jualan akan meningkat dan akan dapat dipasarkan bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat pasaran antarabangsa. Kejayaan tersebut dapat meningkat jumlah keuntungan syarikat. Harga yang berpatutan juga akan dapat meluaskan faedah kegunaan barangan terbabit kepada gulungan pengguna yang berpendapatan rendah. Kebajikan dari kepenggunaan barangan makin meluas.
Dari aspek kos kepada syarikat, beberapa bentuk kos perlu ditanggani semoga jumlahnya dapat dikurangkan. Kos, membabitkan kos modal, pengurusan penyelidikan, pengeluaran dan pemasaran. Melalui perancangan dan kepakaran yang tinggi serta sentiasa menanamkan sikap untuk meningkat kecekapan dan mengurangkan pembaziran daripada berlaku, nescaya usaha-usaha tersebut akan menghasilkan penurunan kos. Jika semangat tersebut disepadukan dalam pengawalan kos tersebut, kos masyarakat tidak langsung seperti keruntuhan akhlak pekerja dan pencemaran alam persekitaran turut akan diambil kira. Kos masyarakat ini adalah asas negatif yang turut menjejas kemajuan syarikat terbabit dalam jangka masa panjang. Tanpa akhlak pekerja yang tinggi serta alam persekitaran yang sihat, persembahan syarikat akan menurun dalam jangka panjang. Suasana kurang baik tersebut jelas akan meruntuhkan kestabilan dan kebajikan masyarakat.
Kos langsung dan kos tidak langsung seperti kos masyarakat perlu diambil kira dalam pengurusan kos oleh sesebuah syarikat. Ia sangat menepati semangat pendekatan keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab masyarakat. Kejayaan mengurangkan kos oleh sesebuah syarikat mengikut pandangan di atas adalah suatu kejayaan yang memaparkan tahap kepakaran pengendalian perniagaan terbabit sudah dapat ditingkatkan. Ia juga menggambarkan bahawa usaha mengurangkan kos meliputi nilai akhlak pekerja serta alam persekitarannya.
Dari logik penilaian di atas jelas bahawa keuntungan melalui pendekatan yang berakhlak ini adalah suatu pendekatan yang berdaya maju, yang mengambarkan sifat tanggungjawab yang tinggi dihayati oleh syarikat terbabit dalam kegiatan perniagaan mereka. Pendekatan ini rata-rata menjadi budaya kepada syarikat perniagaan yang berjaya pada masa ini yang berperanan diperingkat sejagat.
Pendekatan keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab masyarakat jika dihayati melalui pendekatan di atas akan menghasilkan sebuah budaya korporat yang sihat yang mampu memperolehi kejayaan syarikat serta sekali gus dapat membangunkan taraf dan mutu hidup masyarakat.
Islam jelas menuntut semoga pembangunan ekonomi masyarakat perlu diasaskan kepada pendekatan pengembelengan ke semua lapisan tenaga masyarakat. Ia juga menuntut faedah dari pembangunan dinikmati oleh semua mengikut sumbangan masing-masing. Pembangunan ekonomi melalui kemajuan bersama ini ingin menghapuskan wujudnya gulungan miskin dan yang kurang bernasib baik. Semua individu perlu diberi dan dibantu semoga setiap dapat memberi saham dalam pembangunan negara. Pendekatan ini tidak hanya menjaga kepentingan sesuatu gulungan tetapi ke semua lapisan masyarakat perlu mengatasi keperluan asasi mereka.
Dengan pengenalan pendekatan kepada perniagaan, semangat korban dan tanggungjawab masyarakat mulai dapat dicetuskan. Membina budaya yang baik bukan perkara yang mudah dan dapat dihasil dalam masa yang pendek. Tambah lagi dalam budaya pendekatan perniagaan semasa dimana kepentingan individu menjadi teras utama. Memupuk kesedaran kepada gulungan yang berjaya dalam perniagaan untuk sama-sama menangani persoalan sosia-ekonomi masyarakat adalah usaha untuk membabit dan meletakkan sektor swasta sebagai teras dalam membangunkan sebuah negara yang berdaya maju. Jika usaha ini berhasil, ia merupakan satu kejayaan yang besar.
Pendekatan Islam kepada kegiatan perniagaan yang bercorak syumul seperti yang dibincang di atas menyarankan kepada pendekatan keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab masyarakat hendaklah difahami dan dihayati dalam rangka yang syumul dan berdaya maju. Ia seharusnya dilihat sebagai salah satu garis panduan dari awal sehingga penghujung amalan perniagaan oleh sesebuah syarikat. Bahkan ia merupakan alat dalaman yang mempengaruhi tindak tanduk syarikat. Pendekatan ini bukan sekadar untuk mencapai peningkatan keuntungan sesebuah syarikat dan pembangunan ekonomi negara sahaja, bahkan ia hendaklah diyakini sebagai usaha untuk memantap nilai kemanusiaan dalam membina sebuah tamadun yang berjaya.
Abad ke 21 ini adalah era pertembungan tamadun. Tanpa berjaya membangun tamadun yang mantap menepati nilai kemanusiaan, sesebuah negara tidak mungkin dapat bersaing dalam perkampungan sejagat yang makin mencabar. Oleh itu kita perlu berjiwa besar bahawa setiap bentuk kemajuan yang hendak kita usahakan perlu dilihat dan dihayati dari pandangan hidup untuk membina tamadun kemanusiaan.
Adalah tepat usaha yang gigih dan berkesan perlu sentiasa kearah mewujudkan amalan perniagaan yang mampu mengarah kepada perniagaan yang adil dan maju.