Islamofobia adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada agama Islam dan orang-orang Islam. Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede (Runnymede trust), sebuah agensi pemikir di United Kingdom telah menghasilkan satu penulisan yang mentakrifkan Islamofobia sebagai “rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam”. Namun begitu, istilah ini sudah mula digunakan pada tahun 1980-an tetapi lebih kerap dirujuk oleh pelbagai pihak selepas serangan 11 September 2001. Ketika itu juga, media arus perdana di negara-negara Barat khususnya, menjadikan islamofobia semakin serius dalam kalangan masyarakat dengan membawa naratif-naratif yang mengelirukan tentang Islam. Natijahnya, berlaku salah faham masyarakat bukan Islam terhadap Islam dan membawa kepada perlakuan dalam bentuk jenayah kebencian, diskriminasi dan prejudis terhadap umat Islam. Ini dimarakkan lagi dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang menyalahkan Islam sebagai punca kepada keganasan yang dilakukan oleh individu dan kelompok ekstremis dan teroris sedangkan penting untuk difahami bahawa kelompok seperti ini sebenarnya wujud merentasi agama, budaya dan masyarakat. Tindakan individu dan kelompok yang ekstrem ini adalah kerana salah faham mereka terhadap agama dan nilai-nilai yang dibawa oleh agama.
Setiap kejadian keganasan dan radikal yang dilakukan kononnya atas nama Islam menyumbang kepada islamofobia terutamanya dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Salah tanggapan mereka terhadap Islam boleh diatasi dengan cara umat Islam sendiri memainkan peranan dalam menunjukkan keindahan Islam melalui tindakan dan tutur kata. Perlakuan dan tindakan umat Islam sebenarnya adalah menjadi cerminan kepada Islam. Lazimnya, mereka yang salah faham dan dimomokkan dengan imej negatif tentang Islam, tidak akan mencari kebenaran tentang keindahan Islam dari sumber sahih dalam Islam, buku-buku ilmiah atau individu Muslim, walaupun ada sebilang kecil yang berbuat demikian. Fitnah dan dugaan yang melanda umat Islam hari ini seharusnya dijadikan satu ruang bagi kita semua untuk bermuhassabah tentang apa yang telah kita lakukan dan perancangan tentang tindakan yang perlu diambil untuk memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam. Tindakan dan tindakbalas oleh umat Islam terhadap fitnah ini adalah penting bagi memastikan imej Islam sebagai satu cara hidup yang syumul akan terus dipelihara dan kebenaran Islam diperteguhkan. Ruang dakwah seperti ini perlu dipergunakan sebaik mungkin kerana ia adalah peluang untuk memperbetulkan kekeliruan masyarakat tentang Islam dan umatnya.
Bagaimanapun, umat Islam juga harus sedar bahawa provokasi berterusan akan dilakukan oleh pihak yang sememangnya mahu mengiakan bahawa Islam adalah agama yang membenarkan dan menggalakkan umatnya untuk bertindak secara agresif. Perlu ada usaha dalam kalangan umat Islam sendiri untuk membuktikan kepada kelompok ini bahawa kita adalah umat yang jauh lebih bertamadun dari apa yang disangkakan. Protes terhadap usaha pihak-pihak yang ingin menjatuhkan Islam ini boleh dilakukan secara aman dan dalam keadaan di mana Islam tidak diletakkan di dalam neraca pertimbangan sebagai agama yang menggalakkan perlakuan ganas dan radikal. Pada ketika masyarakat dunia sedang peka mengenai Islam, peluang perlu diambil dengan menyediakan penerangan dan maklumat yang benar tentang Islam.
Sehubungan dengan itu, dalam usaha menzahirkan kecintaan kita kepada Islam dan memperbetulkan persepsi yang salah tentang Islam, penting untuk diteliti kembali akhlak dan peribadi Rasulullah SAW dalam menghadapi golongan penentang Islam yang sentiasa cuba untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan Islam dan maruah Rasulullah SAW. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa pada suatu ketika datang seorang Yahudi menuntut hutang daripada Rasulullah SAW dengan berkata: “Kamu dari Bani Abu Manaf adalah bangsa yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang”.
Ketika itu Umar bin Al-Khattab ada bersama dan dia hampir memenggal leher lelaki Yahudi itu. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Wahai Umar! Sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.
Perlakuan dan sifat pemaaf yang ditunjukkan Rasulullah SAW ini menyebabkan lelaki Yahudi itu memeluk Islam selepas melihat tanda kenabian pada wajah dan akhlak Baginda apabila diuji sedemikian rupa. Sirah Rasulullah SAW adalah rujukan utama yang seharusnya diteliti dan diteladani oleh umat Islam dalam menghadapi provokasi musuh-musuh Islam yang senantiasa ingin meletakkan Islam di atas penilaian negatif masyarakat dunia.
Islam adalah kehidupan bagi umatnya, justeru pembelaan terhadap Islam dan Rasulnya ini adalah satu manifestasi kecintaan dan ibadat seorang hamba kepada Allah SWT. Sehubungan dengan itu, umat Islam haruslah memastikan bahawa sebarang tindakan yang dilakukan dalam menghadapi provokasi yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu, akan menjadikan Islam dipandang lebih mulia dan dihormati dan bukan sebaliknya. Peranan umat Islam untuk menangani Islamofobia ini adalah amat penting dan harus menjadi usaha bersama agar keutuhan umat Islam sebagai satu jemaah menjadi satu simbol kekuatan dan kebenaran Islam.