2014 merupakan tahun yang mencabar bagi sebahagian besar rakyat Malaysia. Permulaan tahun dilalui dengan suram oleh sebahagian besar masyarakat akibat kesan kenaikan kos sara hidup yang dilihat begitu membebankan dan berganda-ganda. Ibarat sudah jatuh ditimpa pula tangga.
Bukanlah kenaikan keperluan asas yang dikatakan sebagai tidak membebankan itu sahaja yang menjadi rungutan. Namun sebenarnya masyarakat begitu runsing akan kesan berganda (multiplier effect) yang berlaku disebabkan oleh kenaikan harga keperluan asasi tersebut. Akibat daripada kesan berganda ini kita telah mula mengalami kenaikan harga bagi barangan dan perkhidmatan lain yang disertai dengan kesepakatan dalam menetapkan harga oleh pembekalnya.
Kenaikan harga keperluan asas sudah pastinya memberi kesan bukan sahaja kepada pengguna malahan kepada pihak industri, pengusaha dan peniaga. Lebihan kos yang berlaku sudah pasti tidak sudi diserap oleh kebanyakan pengusaha dan pihak industri, makanya pembeli produk akhir yang akan menyerap segala kos yang berkenaan. Bagi pengusaha yang lebih bijaksana dan beretika akan lebih kreatif untuk memindahkan lebihan kos kepada pengguna tanpa membebankan mereka termasuklah mengurangkan saiz produk, menawarkan produk alternatif, mengimbangi kenaikan harga produk yang berpatutan selari dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan sebagainya.
Namun begitu kita dapati bahawa terdapat juga pengusaha dan pembekal yang mengambil kesempatan di atas kenaikan harga keperluan asas ini dengan menaikkan harga bagi produk atau perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya tanpa justifikasi yang adil. Bahkan keadaan menjadi semakin parah apabila pengguna tidak ada pilihan alternatif untuk mengelak daripada mengguna produk atau perkhidmatan tersebut.
Ketiadaan alternatif ke atas sesuatu barangan atau perkhidmatan dalam sesebuah pasaran menunjukkan herotan dalam pasaran itu sendiri apabila hanya segelintir pihak sahaja yang memegang hala tuju pasaran tersebut. Kuasa pengguna tidak dapat memberikan banyak tekanan kepada keadaan pasaran sebegini kerana masyarakat tidak mempunyai alternatif yang lain.
Manakala kewujudan lebih banyak pilihan dalam pasaran bagi sesuatu barangan dan perkhidmatan lebih memberi kelebihan kepada masyarakat dalam membuat keputusan membeli produk akhir mereka. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak semestinya akan berlaku disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti kesepakatan, sikap manusia dan lain-lain.
Dalam hal ini, pemerintah dan pengguna perlu lebih kreatif untuk menangani kenaikan kos sara hidup yang berganda walaupun tanpa minat daripada pengusaha dan pembekal untuk turut sama memberi kerjasama. Di antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah dengan membuka pasaran dengan lebih luas bagi komoditi atau perkhidmatan tertentu kepada pengusaha lain yang berminat. Ini termasuklah menyediakan insentif seperti bantuan latihan perniagaan, sumbangan modal membuka perniagaan, menyedia premis perniagaan, pelepasan cukai dan seumpamanya. Pilihan komoditi dan perkhidmatan yang banyak terutama yang melibatkan keperluan asasi di pasaran secara umumnya membantu menstabilkan harga.
Kemuafakatan masyarakat awam bersama pihak sekolah misalnya untuk mencari jalan keluar kepada permasalahan pengangkutan dan perbekalan alat tulis dan kelengkapan sekolah kepada pelajar-pelajar boleh diteroka sementelah penyelesaian yang sedia ada tidak dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung ibu bapa. Cadangan lantikan pengusaha bas sekolah yang berlesen dan mencari pembekal alat tulis dan kelengkapan sekolah tanpa melalui orang tengah dengan harga berpatutan melalui inisiatif dan jaringan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan koperasi sekolah boleh diusahakan demi kemaslahatan para pelajar dan membantu ibu bapa menangani kenaikan kos sara hidup yang berganda ini. Sudah pasti, cadangan kepada usaha ini tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama erat dan semangat saling membantu dalam masyarakat.
Kenaikan harga kepada perkhidmatan dan komoditi yang menjadi keperluan asasi sememangnya tidak dapat lari daripada soal ketirisan dalam pengurusannya. Justeru, kenaikan yang telahpun berlaku ini hendaklah diusahakan agar bersifat sementara dengan memperbaiki kaedah pengurusan agar lebih cekap dan memulangkan hasil yang baik kepada semua pihak.
Tidak dapat tidak masyarakat awam terpaksa mengharungi keadaan kos sara hidup yang tinggi ini melalui perubahan gaya hidup demi kelangsungan. Berlapang dadalah dengan perubahan yang baik misalnya penyediaan bekalan makanan yang bersih dan sihat untuk anak-anak berbanding menitip wang belanja yang besar kepada mereka. Begitu juga pengajaran moral mengenai penjimatan tenaga, merancang perbelanjaan, mengitar semula barangan kepada anak-anak dan keluarga agar mereka menjadi bangsa yang lebih efisien, jujur dan bertanggungjawab dalam memimpin hala tuju negara pada masa akan datang.
Mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi perlu disertai dengan sebilangan besar daripada masyarakatnya mengalami pendapatan yang tinggi. Justeru penumpuan kepada nilai purata pendapatan per kapita masyarakat sebagai indikator untuk menjadi sebuah negara maju dilihat kurang relevan disebabkan kumpulan kaya akan menjadikan indikator tersebut kelihatan seimbang walaupun hakikatnya jumlah golongan ini begitu kecil jika dibandingkan dengan masyarakat awam. Kita tidak perlu mengikut acuan negara maju lain untuk mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi. Sebaliknya, kita perlu menetapkan misi dan kaedah tersendiri dalam mencapai matlamat ini kerana apalah gunanya menjadi negara yang maju sekiranya sebahagian besar masyarakat mundur dari segi kewangan dan kuasa membeli mereka.