Mutakhir ini, isu berkaitan hubungan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya di Malaysia mendominasi perbincangan di dada akhbar dan juga media sosial di pelbagai peringkat. Isu-isu seperti pengenalan tulisan jawi dalam silibus pendidikan dan ucapan sempena sambutan perayaan sedikit sebanyak mencerminkan betapa pentingnya usaha yang lebih serius dan konstruktif dalam mengurus masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
Kepelbagaian masyarakat merupakan satu yang lumrah bagi kebanyakan negara di dunia pada hari ini. Masyarakat yang terdiri daripada kelompok kaum, budaya dan agama yang berbeza-beza menjadikan ia satu cabaran yang berpanjangan dalam mengurus kemajmukan sosial ini. Cabaran ini wujud terutamanya dalam aspek membentuk keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara kaum, agama dan budaya yang berbeza-beza ini. Ia memerlukan pendekatan yang berhemah dan penuh rasa hormat.
Sebagai sebuah negara moden yang sedang melakar masa depan yang lebih dinamik serta berusaha untuk memposisikan diri sebagai salah sebuah negara maju, cabaran berterusan dalam arus globalisasi dan pasca kemodenan merupakan satu realiti yang harus ditangani dengan sebaik mungkin. Ini termasuklah ancaman pelbagai krisis yang berbentuk penindasan dari segi ekonomi, politik dan sosial serta isu-isu berkaitan pencabulan hak-hak kemanusian. Cabaran-cabaran ini, jika tidak diatasi dengan baik dan berhemah, akan menjadi halangan kepada proses pembinaan keharmonian dan perpaduan rakyat di dalam negara ini. Malaysia perlu dikenali bukan hanya sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi dan pembangunan, malahan perlu menjadi sebuah negara yang beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, namun dapat bersama dalam suasana yang aman dan hamoni.
Perpaduan nasional harus terus menjadi satu misi penting bagi negara. Ia memerlukan satu kerangka bersifat komprehensif yang akan mampu menterjemahkan sebaik mungkin wajah kerencaman masyarakat majmuk Malaysia. Keadilan, penerimaan dan toleransi perlu menjadi nilai-nilai asas kepada kerangka perpaduan nasional ini. Nilai-nilai ini perlu digarap dengan menjadikan Islam sebagai kayu ukur utama dalam mendukung agenda perpaduan nasional dalam konteks Malaysia. Selain daripada melihat sifat Islam itu sebagai rahmatan lil álamin iaitu rahmah bagi keseluruhan alam, ciri Islam sebagai agama yang bersifat sejagat sebenarnya amat penting dalam memastikan Islam dan umat Islam kekal menerajui usaha-usaha baik ini. Sejujurnya, perlu wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa usaha membina peradaban dan mencapai status kemajuan bagi Malaysia terutamanya dalam merealisasikan agenda Kemakmuran Bersama 2030, seharusnya bertunjangkan kepada persefahaman, tolak ansur dan rasa hormat-menghormati yang tinggi dalam kalangan rakyatnya agar ia menjadi asas kukuh kepada kemajuan negara.
Kesantunan insan dalam mengurus perbezaan dalam masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia perlu dititkeberatkan. Ini adalah realiti yang harus difahami dan diterima oleh semua pihak bahawa Malaysia sangat majmuk sifatnya terutama dalam konteks budaya dan kepercayaan. Pendekatan integrasi yang menjadi tunjang kepada agenda perpaduan negara membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama untuk hidup bersama-sama dalam suasana yang harmoni di samping mengekalkan identiti dan ciri bangsa masing-masing. Dari perspektif Islam, kewujudan pelbagai agama dan budaya ini adalah merupakan sebahagian daripada tanda kebesaran Allah SWT yang menjadikan alam ini dan penghuninya dalam pelbagai rupa dan bangsa. Perkara ini jelas dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud:“Dan sekiranya Tuhanmu menghendaki, nescaya Ia jadikan manusia (semua) satu umat, tetapi tetap mereka berselisih (berbeza-beza),” (surah Hud, ayat 118).
Serta dinyatakan juga dalam ayat-ayat yang berikut:“Bagimu agamamu, bagiku agamaku,” (surah al-Kafirun, Ayat 6).
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya dalam kalangan kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu),” (surah al-Hujurat, ayat 13).
Namun begitu, walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai penganut agama serta mengamalkan budaya yang berbeza-beza, sifat kerbersamaan serta rasa cintakan keharmonian dan keamanan perlu ada bagi merealisasikan matlamat perpaduan nasional. Kesepaduan dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia yang kita lihat hari ini sebenarnya lahir daripada semangat penerimaan dan rasa hormat yang tinggi antara kaum dan agama. Justeru, keutamaan harus diberi kepada usaha-usaha membina sikap penerimaan diiringi dengan nilai keluhuran budi pekerti dalam masyarakat. Ini adalah kerana keharmonian dan kesejahteraan dalam hubungan masyarakat akan hanya dapat diwujudkan jika setiap individu mempunyai pemahaman yang baik tentang peranan masing-masing untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam interaksi seharian.
Hubungan baik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini harus diharmonikan dan dipelihara. Aspek ini tidak boleh dijadikan taruhan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda peribadi atau agenda kelompok yang tersendiri. Perlu ada rasa belas kasihan kepada rakyat yang inginkan keamanan dan kestabilan negara agar berpeluang untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan rasa selamat dan terjamin. Cukuplah kekacauan dan konflik di negara-negara asing sebagai pengajaran kepada kita.
Kesimpulannya, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam menggalas kewajipan ini. Pemimpin pelbagai peringkat terutamanya, harus senada dalam merealisasikan agenda perpaduan negara. Persefahaman dalam kalangan pemimpin ini adalah amat penting kerana melaluinya, rakyat akan dapat satu isyarat yang jelas bahawa mengharmonikan hubungan masyarakat berbilang bangsa dan budaya di Malaysia ini adalah tanggungjawab semua warganegara.