PENGUASAAN sains dan teknologi (S&T) akan menentukan nasib sesuatu bangsa.Tanpa memiliki sains dan teknologi yang dicipta sendiri, kita akan selamanya menjadi konsumer kepada teknologi asing. Seperti kata pepatah,`orang yang bodoh sentiasa menjadi makanan orang yang pandai.’
Sebagai contoh, jika kita tidak mempunyai ilmu mengenai kenderaan dan jika kereta mengalami kerosakan, kemungkinan kita akan ditipu oleh orang lebih pandai mengenai kenderaan.
Begitu jugalah dengan lain-lain perkara. Teknologi asing yang dijual pada hari ini pada hakikatnya adalah teknologi yang sudah ketinggalan zaman dan berpotensi menjadi `senjata makan tuan.’ Dengan lain perkataan, kita hanya berada dalam belas ihsan negara maju.
Negara yang memiliki teknologi moden, asalnya daripada masyarakat yang saintifik dan berbudaya ilmu. Masyarakat saintifik pula lahir daripada pemikiran saintifik yang kreatif. Pemikiran saintifik lagi kreatif hanya dapat dilahirkan oleh ahli sains. Ahli sains ini pula lahir daripada keluarga yang menyediakan persekitaran saintifik dan mencintai pengetahuan.
Di sini, kita sebagai anggota masyarakat, boleh memainkan fungsi masing-masing jika mahu melihat negara kita bakal menjadi negara Islam yang menjadi pencipta kepada teknologi.
Bermula daripada kajian saintifik yang dilakukan makmal dan melalui kaedah tertentu, akhirnya pemikiran saintifik itu dapat direalisasikan kepada penemuan terbaru. Produk baru akan lahir di pasaran yang akan memudahkan urusan kehidupan manusia di muka bumi ini.
Bagaimanapun, ada juga ciptaan baru yang tidak berada di pasaran. Mengapa ia berlaku? Salah satu sebab adalah kerana negara maju hanya mahu memasarkan teknologi yang tidak lagi mereka kehendaki, dan masyarakat kita kemudian menjadi pengguna kepada teknologi itu.
Umat Islam harus sedar, semua musuh Islam sentiasa bekerja keras untuk menakluki dunia. Beberapa istilah sudah dicipta dan dipopularkan untuk tujuan ini. Antara istilah yang dipopularkan mereka adalah seperti terrorist, globalisasi dan lain-lain lagi.
Istilah `terrorist’ atau pengganas adalah istilah era pasca moden dan kebelakangan ini ditujukan khusus untuk umat Islam. Siapakah yang mempopularkan istilah ini? Hanya umat Islam yang boleh menjawabnya.
Apakah agama lain tidak mempunyai pengganas atau hanya agama Islam yang mempunyai pengganas?
Begitu juga dengan istilah globalisasi atau dunia tanpa sempadan. Barat mengetengahkan pendapat bahawa dunia dalam keadaan tanpa sempadan apabila antara kita atau penduduk dunia berada dalam suatu perkampungan. Komunikasi antara satu sama lain begitu mudah pada hari ini melalui penggunaan instrumen tertentu. Menolak globalisasi dapat disamakan seperti menolak kemajuan atau ketinggalan zaman.
Apakah sebenarnya hakikat agenda tersirat mereka? Mungkin masyarakat kita pada hari ini bangga kerana berada pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Namun, di sebalik keadaan itu, kita sebenarnya hanya menjadi pengguna kepada modul yang sudah mereka rangkakan. Bahan atau contents kepada modul itu sudah melalui satu kajian yang teliti dan halus. Kegiatan kita sebenarnya sentiasa dipantau dari masa ke semasa melalui sistem tertentu secara pengumpulan data.
Data sebenarnya adalah amat penting untuk Barat dalam merencanakan sesuatu agenda dan juga untuk membuat sesuatu keputusan. Sebagai contoh, kita dengan mudah dapat mencapai akses maklumat hanya dengan menggunakan Internet. Pelbagai bentuk maklumat yang akan kita dapati melalui laman web
yang dimuatkan.
Namun, persoalan yang timbul ialah sejauh manakah ketulenan sesuatu isi kandungan yang dipaparkan dan tahukah kita siapakah yang menyediakan bahan
itu?
Apakah kita atau anak kita sedar ada ayat suci al-Quran diubah, atau maksud kepada ayat itu dibuat mengikut tafsiran mereka, yang sememangnya dilatih khusus untuk tujuan ini? Bagi mereka yang mempunyai asas agama cukup, mungkin dapat membezakan yang benar dengan palsu, tetapi apa akan berlaku pada masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai peringkat yang dahagakan maklumat mengenai Islam?
Selain itu, pelbagai bentuk kegiatan negatif cuba diselitkan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran ini.
Masyarakat Islam perlu sedar, selama mana mereka menjadi pengguna kepada teknologi, selama itulah pengajaran mereka berterusan. Kita akan disajikan dengan ruangan sembang-sembang untuk membolehkan banyak masa kita diperuntukkan untuk melayan perasaan di saluran tertentu.
Pengguna ruangan sembang-sembang kebiasaannya akan menggunakan bahasa yang dicipta sendiri di kalangan mereka serta tidak ada dalam kamus.
Apakah agenda yang tersirat di sini? Sudah tentu untuk menghapuskan identiti sesuatu bangsa itu melalui penghapusan bahasa. Sesuatu bangsa akan lama kelamaan terhapus jika sesuatu bahasa itu sudah tercemar kerana pada hakikatnya `Bahasa Jiwa Bangsa’.
Kita juga berbangga kerana mempunyai kemudahan sistem pesanan ringkas (SMS). Namun, di sebalik teknologi itu semua kegiatan kita dipantau dalam bentuk satu bank data. Kini, maklumat atau pesanan ringkas dihantar dari satu destinasi ke satu destinasi melalui satelit.
Apakah kita yakin bahawa pesanan yang kita hantar itu selamat atau mungkin sedang dipantau? Pihak yang menguasai teknologi akan dapat mengesan di mana kita berada dan dapat merakamkan pesanan kita hanya kerana kita menggunakan telefon mudah alih.
Inilah yang sedang berlaku kepada pengguna teknologi.
Begitu juga jika kita bergantung sepenuhnya kepada sistem komputer yang dimodulkan oleh Barat. Penggunaan komputer begitu meluas sekarang, termasuk dalam institusi kewangan, pertahanan, penyelidikan dan lain-lain lagi. Adakah kita yakin bahawa data yang kita simpan itu adalah selamat?
Adakah kita percaya bahawa pencipta teknologi pada bila-bila masa saja boleh memanipulasikan data sulit kita?
Inilah keadaan yang berlaku hari ini. Kita bukan menentang sains dan teknologi kerana Islam juga menyarankan umatnya supaya menguasai sains dan teknologi. Allah berfirman yang bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan yang membuktikan keEsaan Allah dan kekuasaan- Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.” (Surah Yunus, ayat 101).
Ayat ini menyuruh kita supaya mengkaji segala apa yang ada di langit dan bumi. Mengkaji bererti menyelidik, memahami dan akhirnya mencipta teknologi untuk dimanfaatkan seluruh umat manusia, bukan hanya sekadar menjadi pembeli setiap kali teknologi baru diperkenalkan di pasaran. Apabila umat Islam menjadi mencipta kepada teknologi, secara tidak langsung umat Islam bakal menentukan hala teknologi dunia pada hari ini berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Semua ini akan membawa kepada peningkatan ketakwaan kepada Allah.
Sebagai umat Islam, kita disarankan menuntut ilmu. Ilmu ini bukanlah hanya ilmu naqli (al-Quran dan hadis) malah termasuk juga ilmu aqli (akal atau fikiran).
Sesungguhnya, umat Islam pada hari ini akan menentukan nasib umat Islam akan datang. Jika umat Islam hari ini maju dalam bidang sains dan teknologi berlandaskan prinsip Islam, tidak mustahil generasi Muslim akan datang bakal muncul umat penguasa (commanding tribe) dan Islam itu sendiri menguasai dunia.