Dalam sesuatu kelompok manusia dan masyarakat, ketua kelompok dan pemimpin masyarakat memainkan peranan utama dalam mengemudi ahli ke arah matlamat dan aspirasi kelompok masyarakat berkenaan. Mereka juga berperanan menyatukan ahli agar hidup harmoni dan meleraikan sebarang pertikaian dan kekacaun dalam masyarakat serta mempertahankan masyarakat daripada ancaman anasir luar.
Jika kita lihat dari perspektif Islam, nabi SAW sendiri menekankan betapa penting wujud ketua dalam sesuatu kelompok manusia. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiga (orang Islam) keluar dalam satu perjalanan maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka menjadi ketua ”. (Hadis riwayat: Abu Daud).
Apabila dalam kelompok kecil ini memerlukan seorang pemimpin maka apatah lagi dalam masyarakat bahkan negara yang mempunyai rakyat yang banyak.
Proses melantik ketua masyarakat sudah tentu datang daripada ahli masyarakat itu sendiri. Perlantikan ketua ini dibuat melalui perakuan taat setia, pungutan suara, musyawarah atau dalam erti kata lain mengundi yang melibatkan ahli-ahli kelompok masyarakat berkenaan.
Apabila ditinjau sejarah perlantikan pemimpin Islam khasnya Khulafa al-Rasyidin, mereka sebenarnya turut dilantik oleh ahli masyarakat melalui baiah dan persetujuan ahli masyarakat. Sebagai contoh Saidina Abu Bakar r.a. dilantik menjadi pemimpin melalui perakuan pembesar Quraish dan pembesar Ansar yang mewakili kepentingan ahli masyarakat dan puak masing-masing. Ini diikuti pula dengan perakuan taat setia oleh umat Islam ketika itu kepada Saidina Abu Bakar sebagai khalifah di masjid.
Proses mengundi memilih pemimpin sebenarnya merupakan satu bentuk tolong-menolong yang melibatkan ahli masyarakat. Tanpa ada undian di kalangan mereka sudah tentu wujud ketidakadilan dalam pemilihan pemimpin yang bertanggunjawab menjaga amanah dan kepentingan masyarakat.
Dalam Islam, tolong-menolong yang dibenarkan adalah dalam perkara kebaikan. Ini jelas seperti termaktub dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan”.
Dalam konteks tolong-menolong dalam memilih wakil masyarakat dan pemimpin, maka umat Islam perlu melihat matlamat kebajikan dan kebaikan yang perlu ada kepada individu yang ingin dipilih sebagai pemimpin.
Antara ciri-ciri kebaikan yang perlu ada kepada individu yang dilantik menjadi pemimpin ialah mereka memenuhi keperluan dan definisi kebaikan mengikut perspektif Islam.
Islam menggariskan bahawa sesuatu yang dilihat oleh majoriti masyarakat baik maka perkara itu adalah baik. Ini adalah kerana majoriti masyarakat secara sunnah sudah tentu inginkan kebaikan dan kebajikan bukan sebaliknya.
Islam menegaskan bahawa individu yang menjadi pemimpin perlu bertanggungjawab, beramanah dalam memimpin masyarakat melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhi kemaksiatan kepadaNya.
Ketaatan kepada Allah SWT mempunyai maksud yang luas. Selain memimpin atau melantik penolong-penolong yang boleh menegakkan syiar dan kebenaran Islam dalam masyarakat, ketaatan kepada Allah turut membawa maksud, antara lain pemimpin menjaga urusan dan pentadbiran masyarakat dan negara dengan baik, sentiasa berusaha mengislahkan atau menerapkan penambahbaikan kepada ahli masyarakat dalam semua aspek kehidupan, menjaga hak-hak kemanusiaan semua golongan masyarakat tanpa mengira pertalian keluarga, status, bangsa ataupun agama dan memelihara alam persekitaran sebagai tempat ahli masyarakat tinggal dan hidup dengan suasana yang sihat.
Selain dirinya, pemimpin perlu membawa masyarakat menjauhi penderhakaan kepada Allah SWT atau dalam erti kata lain menjauhi maksiat. Erti maksiat ini bukan terhenti kepada keingkaran mendirikan solat, zakat, puasa yang wajib bahkan ia meliputi aspek-aspek kepimpinan yang diterima ramai masyarakat seperti ketelusan dalam menguruskan harta awam, benar dalam menguruskan pentadbiran kawasan, negeri dan juga negara, menjauhi rasuah, menjauhi ketidakadilan dalam menguruskan urusan masyarakat serta menjauhi perkara-perkara yang membawa kepada permusuhan dan pertikaian dalam masyarakat.
Ini merupakan antara ciri-ciri umum dari perspektif Islam yang perlu ada kepada individu yang ingin dilantik oleh ahli masyarakat menjadi pemimpin atau wakil mereka.
Sempena Pilihanraya Umum ke-13 ini, sebagai ahli masyarakat, maka sudah tentu kita perlu tolong- menolong untuk keluar mengundi memilih wakil masyarakat dan pemimpin yang membawa kepada kebaikan dan menjauhi anasir permusuhan.