Baru-baru ini, satu Simposium Saintis Wanita Muda telah diadakan. Matlamat simposium ini adalah untuk “menyediakan landasan kepada saintis muda untuk meneroka dan bercakap secara terbuka mengenai pembangunan sains dan isu-isu yang berkaitan dengan wanita [dan sains]”.
Dikatakan bahawa asas kepada penganjuran simposium ini adalah kerana “saintis wanita jarang mempunyai peluang untuk membuat sebarang kenyataan atau berbincang secara terbuka mengenai hasil kajian, penemuan atau rumusan daripada kajian mereka terhadap isu pembangunan sains dan wanita, sedangkan keduanya sangat berkait antara satu sama lain”
Secara umumnya, penulis berpandangan bahawa penganjuran simposium ini adalah baik dan kena pada masanya. Ini kerana, di negara kita ini, saintis wanita kurang menyerlah. Malah pendedahan saintis wanita di peringkat antarabangsa juga tidak sehebat saintis lelaki. Ditegaskan di sini bahawa keadaan ini bukan berpunca dari rendahnya keupayaan mereka tetapi lebih kepada tiadanya peluang dan ruang untuk mereka menonjolkan diri.
Cuba tanyakan kepada diri kita sendiri, siapakah saintis wanita di Malaysia (atau di peringkat antarabangsa) yang dikenali? Bagi menjawab soalan ini, pastinya kita akan mengambil masa yang panjang dan mungkin selepas melayari internet barulah kita akan menemui jawapannya? Jika soalan ini ditanya pula di kalangan para pelajar mungkin masa yang lebih panjang diperlukan bagi mendapatkan jawapannya. Situasi ini menunjukkan betapa rendahnya pengetahuan kita serta ahli masyarakat terhadap saintis wanita serta hasil-hasil kajian mereka.
Perbincangan-perbincangan di atas menunjukkan kurangnya pengetahuan masyarakat terhadap saintis wanita di Malaysia. Malah, jika ditanya tentang saintis wanita di zaman kegemilangan tamadun Islam, jawapannya pasti lebih mengecewakan. Siapakah saintis wanita Muslim di era kegemilangan tamadun Islam yang kita kenali? Dengan rendah diri, penulis mengakui bahawa tidak mengenali tokoh-tokoh tersebut sehinggalah penulis berpeluang membaca satu makalah yang memuatkan satu sesi temuramah bersama Professor Al-Hassani, seorang Profesor Emeritus dari University Manchester berkaitan perkembangan sains di era kegemilangan Islam.
Dalam temuramah ini antara lainnya beliau menyebut tentang sumbangan saintis wanita di zaman kegemilangan Islam. Beliau menyebut bahawa “al-Biruni pernah menulis bahawa, “jika tidak kerana Rehana (seorang wanita), al-Biruni tidak akan berjaya memperoleh apa yang dihajatinya [dalam kajian-kajian beliau]”. Ini menunjukkan bahawa al-Biruni mengiktiraf wanita sebagai individu yang membantunya dalam menghasilkan kajian-kajian beliau yang terkenal. Ini juga bermakna, penglibatan wanita dalam penyelidikan sains telah lama wujud. Selain itu, Professor Al-Hassani turut menyebut tentang dua tokoh saintis wanita iaitu, Sutaita Al-Mahamli dari Baghdad (seorang ahli matematik) dan Meriam Al-Ajlia (terlibat dalam pembikinan astrolob di Aleppo atau Halab di Syria).
Dalam beberapa kajian tentang persepsi pelajar terhadap bidang sains dan saintis yang dijalankan di luar negara menunjukkan beberapa perkara yang menyokong kenyataan berkaitan pengetahuan kita terhadap saintis wanita. Di sini, penulis ingin merujuk kepada dua buah kajian. Satu kajian dijalankan pada tahun 1996 di Amerika Syarikat (melibatkan 23 negeri di bawah Daerah Colombia) dan satu lagi kajian dijalankan pada tahun 1999 di Taegu, Korea Selatan.
Dalam kajian pertama, pelajar telah diminta untuk melukis imej saintis yang sedang menjalankan aktiviti sains atau penyelidikan. Manakala, dalam kajian kedua pula, pelajar disoalselidik dan diminta melukis gambar saintis berdasarkan beberapa soalan. Salah satunya, pelajar diminta melukis “imej fizikal seorang saintis” dan memberikan penerangan (caption) terhadap beberapa perkara dan salah satu perkara tersebut adalah gender saintis tersebut.
Hasil kedua-dua kajian ini menunjukkan keadaan yang hampir sama. Dalam kajian pertama, daripada lukisan-lukisan yang dibuat pelajar, lebih 60 peratus pelajar melukis saintis lelaki berbanding wanita. Manakala, bagi kajian di Korea Selatan pula, lebih 75 peratus pelajar melukis saintis lelaki.
Oleh itu, pengkaji-pengkaji kajian ini telah membuat kesimpulan bahawa tokoh atau kerjaya sebagai saintis ini jarang sekali dikaitkan dengan wanita berbanding lelaki. Oleh itu, usaha untuk mempromosi atau mengetengahkan saintis wanita amatlah diperlukan. Usaha ini akan menunjukkan bahawa saintis wanita wujud dalam kalangan masyarakat. Selain itu, turut dicadangkan agar disediakan lebih banyak persekitaran mesra wanita (girl-friendly environment) dalam pembelajaran sains.
Daripada hasil kajian yang disebutkan di atas jelas bahawa pengetahuan umum terhadap saintis wanita masih terlalu rendah. Walaupun kajian yang ditunjukkan itu agak lama (sekitar 10 hingga 13 tahun yang lalu) namun penulis yakin keadaan masa kini tidak banyak berbeza apatah lagi bila kita bercakap tentang masyarakat yang baru sahaja ingin membangun seperti negara kita ini.
Oleh itu, pendedahan kepada saintis wanita amatlah diperlukan. Ini boleh dianggap sebagai satu galakkan (motivasi) kepada pelajar-pelajar wanita untuk mengambil bidang sains dan juga menggalakkan kajian-kajian yang “mesra wanita”. Pastinya wanita lebih memahami tubuh badan seorang wanita dan diharapkan dengan kefahaman ini saintis wanita dapat membuat penemuan tentang penyakit-penyakit yang dihidapi wanita. Selain itu, pendedahan ini juga merupakan satu bentuk kebanggaan kepada masyarakat keseluruhannya.
Dalam soal pendedahan ini, media (cetak atau elektronik) perlu memainkan peranan mereka. Berilah peluang kepada para saintis membincang serta memperkenalkan hasil kajian mereka kepada umum. Pendedahan ini sekurang-kurangnya membuka mata masyarakat tentang kehebatan saintis tempatan dan ahli masyarakat boleh mengetahui hasil-hasil kajian mereka yang pastinya boleh dimanfaat oleh ahli masyarakat itu sendiri.