Kemunafikan adalah merupakan kepura-puraan yang dizahirkan bagi menutupi hakikat sebenar. Si munafik berpura-pura mempercayai sesuatu yang dia tidak percayai, dan melakukan sesuatu perbuatan bagi menunjukkan rupa luaran yang menutupi hakikat dalaman. Oleh kerana kemunafikan melibatkan perbezaan yang ketara antara tingkah laku luaran seseorang dengan sikap sebenarnya maka ia hakikatnya hanyalah merupakan satu bentuk penipuan. Justeru, ia dikutuk oleh semua masyarakat manusia, walaupun tidak dapat dinafikan kemunafikan itu juga adalah kecacatan biasa manusia, yang berakar umbi dalam kehidupan bermasyarakat, psikologi dan tingkahlaku manusia yang kompleks.
Pada dasarnya kemunafikan berpunca dari percanggahan di antara apa yang diharapkan oleh seseorang dengan apa yang sebenarnya berlaku kerana seringkali manusia gagal mencapai apa yang dicita-citakan. Jurang di antara cita-cita (yang gagal dicapai) dengan siapa sebenarnya seseorang itulah yang membuka pintu kepada kemunafikan. Sebagai contoh, seseorang yang secara terbuka mengecam rasuah dan salahguna kuasa tetapi secara diam-diam dia sendiri turut terlibat dengan perkara berkenaan, maka berlakulah percanggahan moral yang dikenali sebagai kemunafikan.
Kerosakan terbesar yang diakibatkan oleh kemunafikan ialah rosak dan hilangnya kepercayaan sedangkan hubungan manusia itu dibina atas kepercayaan. Pemimpin yang munafik atau dipandang sebagai munafik akan kehilangan kredibiliti di mata rakyat, dan dengan terhakisnya kepercayaan rakyat semakin lunturlah juga kewibawaan kerajaan. Mana-mana pemimpin politik, agama, dan masyarakat yang membuat dakwaan-dakwaan yang sebenarnya terkena kepada muka sendiri lambat laun akan terdedah tembelang mereka dan ditinggalkan oleh para pengikut yang merasa kecewa dan dikhianati.
Dari segi psikologi, kepura-puraan kebiasaannya timbul dari keinginan seseorang untuk dilihat baik, berbudi pekerti mulia, dan menepati nilai-nilai yang dipandang tinggi oleh sesuatu masyarakat. Namun, apabila semua itu gagal dicapai, imej palsu yang cuba ditonjolkan, bukannya mengakui kekurangan dan kelemahan sendiri. Perbuatan ini dilakukan mungkin bagi menutup rasa tidak selesa terhadap diri sendiri, tetapi ada juga yang tidak menyedari langsung kemunafikan sendiri disebabkan oleh kebiasaan buruk merasionalkan semua tindakan sendiri walaupun tidak bermoral.
Dari segi sosial, kemunafikan sering dijadikan menjadi alat untuk mengekalkan status atau kuasa. Golongan yang bercita-cita mendapatkan pengaruh dan kuasa tidak akan segan-silu mengangkat nilai-nilai mulia atau tingkah laku terpuji secara terbuka demi mendapatkan sokongan dan kepercayaan orang ramai walaupun secara peribadi nilai-nilai itu tidak bermakna kepada mereka. Inilah apa yang dimaksudkan dengan peribahasa ‘ibarat ketam mengajar anak berjalan lurus’ – apabila penguasa menetapkan suatu piawai untuk diikuti oleh masyarakat sama sedangkan mereka sendiri enggan mengikutinya.
Kemunafikan menjadi masalah etika yang serius kerana ia merosakkan integriti, sedangkan integriti menuntut keselarasan tindakan seseorang dengan nilai-nilai yang menjadi pegangan, maka apabila seseorang melakukan sesuatu yang berlawanan dengan prinsip atau kepercayaan mereka, integriti moral mereka akan dipersoalkan. Kita tidak menafikan tiada siapa pun dari kalangan manusia yang sempurna akhlak dan budipekertinya, dan mungkin melakukan berbagai kesilapan, sifat munafik hanya akan menyebabkan kebobrokan akhlak menjadi budaya dan cara hidup yang sukar untuk dihapuskan.
Sayugia diinsafi bahawa kemunafikan adalah merupakan penyakit batin yang tersembunyi, dan manusia adalah merupakan suatu makhluk yang kompleks dan sukar untuk diramal isi hati mereka. Adakalanya seseorang itu mungkin benar-benar mahu mencapai suatu cita-cita tertentu serta telah berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkannya tetapi gagal disebabkan faktor peribadi atau luaran. Dalam keadaan sedemikian, agak melampau untuk melabelkannya “munafik” kerana kemunafikan adalah penipuan yang disengajakan, bukannya ketidaksempurnaan manusia.
Di antara faktor utama yang menyuburkan kemunafikan adalah tekanan masyarakat sendiri. Seringkali orang ramai terpaksa akur terhadap norma-norma sosial yang mereka sendiri tidak fahami ataupun persetujui. Dalam keadaan ini kemunafikan mungkin berlaku disebabkan oleh ketegangan antara pegangan peribadi dengan jangkaan masyarakat sekeliling. Ketegangan ini kebiasaannya amat ketara dalam sesuatu masyarakat di mana piawaian moral atau agama itu dikuatkuasakan secara ketat dan keras, dan akibatnya ialah kepatuhan yang dibuat-buat secara zahir sahaja sedangkan tiada sedikitpun kerelaan atau keikhlasan di dalam hati.
Kesimpulannya, kemunafikan adalah merupakan suatu penyakit yang amat merbahaya kerana ia mampu menjangkiti individu dan seterusnya merosakkan kehidupan masyarakat secara keseluruhan. Kemunafikan menjejaskan kepercayaan, menghakis integriti, dan menyebabkan kezaliman dikekalkan. Kemerdekaan tidak bermakna kalau negara masih dibelenggu oleh budaya munafik, dan tindakan segera mestilah digerakkan bagi mangawalnya. Pendidikan rakyat hendaklah dijuruskan kepada pembentukan generasi yang berbudi pekerti mulia, di samping generasi yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi pasaran kerja. Kemunafikan hanya dapat dibendung dengan kesedaran diri, kejujuran, dan kesediaan untuk mengakui dan membetulkan kesilapan dan kelemahan diri. Hanya apabila tindakan kita selaras dengan nilai pegangan kita sahaja barulah kepura-puraan dapat dihapuskan dan barulah dapat diharapkan dunia yang lebih tulen dan beretika.