Pada 10 Oktober setiap tahun, dunia menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia sebagai usaha global untuk meningkatkan kesedaran dan advokasi tentang kepentingan kesihatan mental untuk semua. Tema yang dipilih untuk tahun 2024, “Sudah Tiba Masanya untuk Mengutamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja,” yang sebenarnya adalah refleksi terhadap keperluan mendesak untuk memberi perhatian khusus kepada kesejahteraan mental dalam persekitaran tempat kerja. Dengan peningkatan tekanan dan tuntutan kerja, terutama dalam fasa pasca-pandemik COVID-19, kesejahteraan mental di tempat kerja semakin menjadi isu penting yang perlu menjadi keutamaan dalam persekitaran pekerjaan.
Kesihatan mental di tempat kerja memainkan peranan kritikal kerana ia menentukan corak dan tahap produktiviti, kepuasan kerja, dan kesejahteraan pekerja secara total. Berkaitan perkara ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan lebih daripada 264 juta orang di seluruh dunia mengalami kemurungan, yang sering membawa kepada ketidakupayaan bekerja. Gangguan mental lain seperti kebimbangan, tekanan, dan keletihan mental juga menyumbang kepada penurunan produktiviti dan peningkatan ketidakhadiran kerja. Oleh itu, mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong kesihatan mental adalah penting untuk memastikan keberkesanan dan kesejahteraan pekerja. Lebih-lebih lagi apabila senario isu kesihatan mental dalam negara mendapati tren yang menjulang membimbangkan semua pihak.
Sepintas lalu berkaitan perkara ini, terdapat peningkatan lima kali ganda dalam bilangan individu yang mendapatkan sokongan psikososial melalui Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) pada tahun 2022 berbanding 2020. Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 turut menunjukkan bahawa satu pertiga rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas berdepan dengan masalah mental, dan angka ini dijangka terus meningkat.
Isu kesihatan mental ini turut dikaitkan dengan peningkatan tingkah laku bunuh diri, di mana terdapat peningkatan 81% dalam kes bunuh diri pada tahun 2021 berbanding sebelumnya. Masalah ini tidak terhad kepada orang dewasa sahaja, kerana sebanyak 424,000 kanak-kanak telah disahkan mengalami masalah mental, dengan 12.3% remaja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang cenderung kepada tingkah laku bunuh diri.
Masalah kesihatan mental di Malaysia melibatkan pelbagai faktor dari aspek biologi, psikologi, sosial, dan spiritual. Dalam konteks ini, Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 memasukkan pengukuhan kesihatan mental sebagai sebahagian daripada Teras Ke-8 iaitu Keselamatan Rakyat, yang menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isu ini dan usaha yang perlu ditingkatkan dalam mengesan, mencegah, dan menangani masalah kesihatan mental.
Fakta juga mendapati terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kesihatan mental di tempat kerja. Antaranya ialah tekanan kerja yang berlaku akibat dari tuntutan kerja yang berlebihan dan tidak seimbang yang menyebabkan tekanan yang berpanjangan, lalu menjejaskan kesihatan mental pekerja. Kekurangan kewujudan sistem sokongan sosial sama ada dari rakan sekerja dan pengurusan, lalu mewujudkan satu perasaan terasing dan tidak dihargai, turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental. Selain itu, tiada keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi yang akhirnya membawa kepada keletihan melampau dan berpanjangan lalu menjejaskan kesejahteraan mental pekerja. Kebimbangan terhadap masa depan pekerjaan juga menimbulkan kebimbangan dan tekanan kepada pekerja yang bukan sahaja mengganggu kesejahteraan tetapi juga menjejaskan produktiviti syarikat. Tekanan emosi yang berlaku akibat dari isu buli, gangguan seksual dan penderaan di tempat kerja perlu diatasi segera sebelum ia menjejaskan kemajuan organisasi.
Kesihatan mental dalam persekitaran tempat kerja perlu dipertingkat dan dipromosikan bagi menjamin kesejahteraan semua pekerja dan peningkatan produktiviti. Selain itu, terdapat beberapa langkah proaktif oleh organisasi dalam mengutamakan kesihatan mental pekerja termasuk mewujudkan budaya kerja yang menyokong dan inklusif, di mana kesejahteraan mental pekerja adalah keutamaan. Ini boleh dicapai melalui komunikasi secara lebih terbuka, pihak pengurusan yang sudi untuk memahami isu pekerja dan syarikat, serta anjuran program berkaitan kesihatan mental yang disediakan untuk semua pekerja. Ini termasuk menyediakan latihan kesedaran kesihatan mental kepada pekerja dan pihak pengurusan dalam mengenali tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan cara untuk mengatasinya yang turut boleh membantu mengurangkan stigma dan meningkatkan sokongan kesihatan mental dalam organisasi.
Menyediakan kemudahan waktu anjal dan fleksibiliti dalam jadual kerja atau peluang untuk bekerja dari rumah boleh membantu pekerja menguruskan tekanan dan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Menyediakan akses kepada sokongan profesional seperti terapi dan kaunseling atau program bantuan pekerja (Employee Assistance Program, EAP) adalah langkah penting untuk membantu pekerja yang menghadapi cabaran kesihatan mental. Mengiktiraf usaha dan pencapaian pekerja boleh meningkatkan motivasi dan kesejahteraan mental mereka.
Amat perlu untuk mengambilkira pendekatan spiritual keagamaan dalam pengurusan masalah kesihatan mental tempat kerja kerana ia digalakkan dalam Islam. Islam mendorong budaya kerja berasaskan ukhuwah, di mana pekerja saling membantu dan menyokong antara satu sama lain. Ini boleh mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni dan mengurangkan rasa terasing atau tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan mental. Islam sangat menekankan kejujuran, amanah, dan etika kerja yang baik. Apabila pekerja menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan, mereka akan merasai ketenangan dan kepuasan dalam pekerjaan. Islam turut melarang penindasan dan ketidakadilan di tempat kerja, yang boleh menyebabkan tekanan mental.
Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994), pihak pengurusan dan kepimpinan atasan selaku majikan dalam organisasi memainkan peranan amat penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan selamat. Pemimpin perlu memberi contoh yang baik dengan mengutamakan kesejahteraan mereka sendiri dan golongan pekerja seliaan mereka. Ini termasuk menguruskan tekanan mereka sendiri, menunjukkan empati, dan menyediakan sokongan yang diperlukan kepada pekerja. Pengurusan juga perlu mengambil pendekatan proaktif dalam mengenal pasti dan menangani masalah kesihatan mental dalam organisasi, termasuk menyediakan sumber dan program yang diperlukan untuk menyokong kesejahteraan pekerja. Secara tidak langsung, mereka telah membantu menghakis stigma negatif kesihatan mental di tempat kerja. Dengan tema “Sudah Tiba Masanya untuk Mengutamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja” untuk Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024, organisasi di Malaysia diseru untuk mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dalam menyokong kesejahteraan mental pekerja mereka. Dalam dunia kerja yang semakin mencabar, adalah penting untuk memastikan bahawa kesihatan mental diutamakan, bukan sahaja untuk manfaat pekerja tetapi juga untuk kejayaan jangka panjang organisasi. Dengan mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong, menyediakan latihan dan sokongan, serta mengambil pendekatan proaktif dalam pengurusan kesihatan mental, kita boleh mencapai matlamat mewujudkan tempat kerja yang lebih sihat, selamat dan produktif.