UMPAMA ungkapan ‘menang isi kalah bentuk’. Begitulah juga hakikat di sebalik kemerdekaan negara selama 48 tahun, apabila hakikat sebenar menyaksikan ada penduduk, terutama generasi muda yang masih belum memenuhi takrifan merdeka atau kebebasan menurut Islam.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata hal ini dapat dilihat menerusi definisi kemerdekaan menurut Islam itu sendiri iaitu apabila seseorang, bangsa atau umat merdeka daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahiriah ataupun batiniah.
Beliau bagaimanapun berkata, umat Islam terutama golongan muda pada masa kini semakin jauh daripada erti sebenar kemerdekaan dan walaupun lahir pada zaman pasca kemerdekaan, mereka sebenarnya masih terjajah.
Sehingga hari ini, kita melihat minda terjajah masih menjadi dominan dalam pemikiran anak muda sekarang.
“Tidak sayukah hati kita apabila melihat anak muda berpeluk dan bercium dalam rancangan hiburan yang disiarkan secara terus?” katanya ketika merasmikan Seminar Islam Hadhari – Kefahaman Mengenai Rakyat Berjiwa Merdeka, di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Erti kemerdekaan sememangnya berbeza antara generasi dulu yang memperjuangkan kemerdekaan dengan air mata dan darah. Hal ini kerana bagi mereka, kemerdekaan adalah sesuatu yang tidak ternilai manakala bagi golongan muda pula, 31 Ogos hanya sekadar cuti umum.
Ahmad Sarji berkata, umat yang merdeka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa dan kepentingan umat keseluruhannya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangnya.
Katanya, tiada yang ditakuti kecuali Allah dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah.
Ada juga manusia, bangsa atau umat meskipun lahirnya mereka sudah mencapai kemerdekaan selama ratusan tahun, tetapi jiwa mereka dijajah hawa nafsu jahat.
“Yang menjadi tuhan mereka hanya nafsu dan apa yang dilakukan mereka membawa bencana kepada seluruh umat manusia,” katanya.
Menyoroti ayat ke-23 daripada surah al-Jatsiyah, Allah berfirman: “Adakah engkau lihat orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi tuhannya dan Allah menyesatkan dia kerana mengetahui (kejahatan hatinya) dan menutup pendengaran dan mata hatinya serta mengadakan penutupan terhadap pemandangannya. Maka siapakah yang akan menunjukkannya sesudah Allah? Tidakkah kamu menerima peringatan?”
Ahmad Sarji berkata, pendekatan digunakan Islam adalah memerdekakan rohaniah manusia terlebih dulu sebelum membebaskan aspek jasmaninya.
Malah, katanya, kedua-duanya penting bagi memperoleh kemerdekaan.
Beliau berkata, golongan penjajah pada masa kini tidak lagi datang menaiki kapal dan menggunakan senjata seperti masa dulu, sebaliknya berupaya menjajah umat Islam menerusi talian kuprum, fiber optik dan satelit serta menggunakan kuasa kewangan dan media.
Dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, ia menjadi semakin mudah untuk mereka melebarkan pengaruh dan mengawal aspek politik, ekonomi dan sistem sosial milik kita.
Sesetengah negara masih bergantung kepada negara yang menjajah mereka dalam banyak sektor seperti perdagangan, pendidikan dan ketenteraan.
“Malah, perkara terburuk adalah penjajahan masih berlaku terhadap minda penduduk negara itu,” katanya.
Sumber : Berita Harian 06/09/2005